Kehendak Takdir

***************************

Dalam bayangan
terlindung pedih
derita tak terungkap

Bisakah ada
kesabaran yg sempurna
mengurung kerisauan

Dalam senyuman
hati menangis
Dalam nasihat
jiwa mencela
pada diri yang fana

Azam yang goyah
yang tidak sekuat
Rasulullah saw mendakwah
bapa saudara dikasihi

jiwa yang lemah
yang tidak sekukuh
Amirul mukminin Umar r.a
dalam mengadili anaknya

Ya Allah..
tiada kekuatan bagiku
selain mengharap segalanya dari Mu

****************
Share/Bookmark

Program G.Jerai

Assalamua'laikum

Alhamdulillah, usai program di Gunung jerai selama 2 hari. Agak banyak penuntut dari IKM, USM dan lain-lain pengunjung datang mendaki gunung jerai semasa cuti.
Sedikit kesal kerana surau Kg Kepala Bukit sentiasa dikunci untuk kegunaan orang ramai. Kebanyakan yg mengharap dapat menggunakan tandas dan solah di tempat yang selesa hampa apabila tandas dan pintu surau dikunci sepanjang waktu. Hanya ruang kecil yang ditinggalkan untuk solah, kasihan terutamanya bagi jemaah wanita.

Pengajaran yang paling berguna adalah kandungan nasihat daripada abang faisal yang menekankan surah yang sentiasa masyarakat Melayu amalkan. Abang Faisal menghuraikan maksud kisah yang terdapat dalamnya. Akan sebuah kisah tukang kayu, Habibunnajar yang mengajak kaumnya menyahut seruan tauhid. Sangat menyentuh hati terutamanya di saat pengulasan Abang Faisal dalam menceritakan saatnya habibunnajar diangkat ruh nya dan ditunjukkan segala nikmat yang disediakan untuknya di syurga.. dengan kesedihan dia berkata , "Sekiranya kaum ku mengetahui.."

Dan juga dengan nasihat daripada ikhwan-ikhwan yang lain. Berkaitan dengan keikhlasan niat, amalan yang istiqomah dan lain. Belajar melihat cara memasak kari kurma daging. Dan juga mengambil alih tugas memasak sambal ayam yang bertukar menjadi masakan 3 rasa..(sendiri pun tak tahu macam mana jadi gitu)

Semoga Allah dengan rahmatnya, mengurniakan kesabaran dan kekuatan untuk terus bertapak kukuh di jalan Nya..amiin
Share/Bookmark

ProGram SyaWaL

Assalamualaikum..


ALhamdulillah, usai program di Kg Bongkok pada minggu lepas.

Aturcara majlis telah berlangsung dengan sesi taaruf bersama penduduk kg dan kemudian sesi tazkirah dan taalim kepada remaja yang cuti sekolah.

Sepanjang perjalanan program, apa yang ana dapat ambil iktibar adalah dengan tazkirah daripada Ust Amir Shamsuddin yang menekankan tentang kepentingan melakukan amalan kerohanian agama dalam surau dan rumah. Bagaimana pengaruh daripada nur Al Quran dan hadith dapat melembutkan hati-hati ahli kariah/rumah dan juga membuang kebiasaan buruk mereka. Ust turut menyelitkan perihal masalah rezeki yang menimpa umat. Masing-masing mengabaikan perintah Allah kerana masalah rezeki. Nelayan, Petani, Penoreh, Pemandu van, engineer dan semua yang memilih untuk mengabaikan waktu solah kerana masalah rezeki.

Penekanan oleh Ust dalam muhasabah sejauhmana amalan agama yang sempurna datang dalam kehidupan kita. Dengan memeriksa setiap amal yang telah kita lakukan. Turut diberitahu tentang afdhalnya satu amalan yang istiqomah. Umpamanya, 10 ayat satu malam sepanjang stahun lebih baik daripada 10 juzuk untuk hanya satu malam dalam setahun. 2 rakaat tahajud setiap awal pagi lebih baik dari 20 rakaat tahajud dalam satu malam dalam setahun. Masalah iman dapat dinilai oleh diri kita sendiri apabila diri kita terasa berat untuk mengerjakan amalan agama, itu tandanya iman yang sakit.

Begitu juga ditekankan tentang pentingnya amalan ziarah. Pada saat tazkirah dan tarawih di Ramadhan sebelumnya, betapa ramai yang mampu mengimarahkan masjid. Dengan adanya program agama dan usaha beberapa pihak untuk menyebarkan dan menyampaikan, maka datangnya manusia untuk mengimarahkan masjid. Sekiranya kita semua berpakat untuk menjalankan aktiviti ziarah dan bertanggungjawab melaksanakannya, maka surau dan masjid akan penuh. Kerana lazimnya waktu2 senggang banyak dihabiskan di hadapan peti televisyen.

Pentingnya santapan rohani yang wujud dalam surau/masjid yang dapat mengikat hati-hati setiap tetamunya. Bila wujudnya suasana begni maka akan mudah tersebar kebaikan sesama jemaah.

Alhamdulillah, terlalu banyak perkara untuk diceritakan tetapi memadainya hanya intisarinya. Doakan dipanjangkan umur untuk aktiviti seterusnya.

Ahmad fikry : dah mahir sungguh buat tomyam thai, huu..
Share/Bookmark

Cerpen : Sebuah Peperangan

Panglima menegakkan pedangnya. Diperhatikan oleh setiap ahli lasykarnya. Mereka bersemangat tinggi untuk berjuang. Berkobar-kobar keazaman dalam menegakkan panji syiar agama Allah yang dicintai.

Tuan-tuan yang dimuliakan Allah!! Inilah masanya untuk kita membuktikan keimanan kita. Berkorban pada jalanNya. Ayuh!! Sama-sama kita mara ke medan perjuangan. Sama-sama kita berjuang habis-habisan!!!” laung panglima membangkitkan semangat.

Allah bersama dengan kita!!!!” bergema suara laungan para pejuang untuk bergerak maju ke barisan hadapan. Semangat mereka utuh. Mereka bersatu. Di tangan-tangan mereka tergenggam erat senjata yang bakal memancung musuh-musuh yang telah menghalang tertegaknya agama Allah. Mereka mara dengan semangat yang waja.

------------------------------------

Mereka terhenti sejenak. Segerombolan musuh-musuh datang maju ke arah mereka. Kanan, kiri, hadapan dan belakang mereka. Mereka membayangkan wajah-wajah ganas di sebalik topeng-topeng musuh yang ingin meragut nyawa panglima mereka, malahan setiap nyawa mereka. Mereka terkepung.

Panglima sedar situasi yang berlaku. Pasukannya perlu teguh dalam menghadapi peperangan ini. Mereka tidak boleh kalah dalam peperangan ini. Kekalahan adalah suatu bencana yang besar. Inilah sebuah peperangan yang tiada istilah kalah bagi mereka. Bencananya terlalu besar untuk diterima.

Panglima bingkas bangun dan membaca ayat Al-Quran,
”..Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [ Muhammad :: 7 ]

Para pejuang bersemangat kembali. YA!!!! Kami tidak boleh kalah. Peperangan ini adalah penentuan. Sama sekali kali tidak boleh kalah. Mereka mara untuk mengenali para musuh yang berhadapan dengan mereka.

---------------------------------------

Musuh pertama yang ditempuh adalah daripada segerombolan pasukan yang diketuai oleh satu general perang. Panglima memanggil perisiknya melaporkan identiti pasukan yang bakal ditempuh mereka. Perisik melaporkan infomasi berkaitan dengan pasukan yang dihadapi mereka.

Generalnya adalah nafsu. Yang dicipta Allah bagi setiap hamba-hambaNya sebagai pendorong untuk berbuat keburukan. Dengannya juga Allah menguji sejauh mana kebenaran penghambaan manusia kepada Nya.”

Nyatakan aku sifat-sifatnya! Agar mudah aku berperang dengannya.” Panglima itu mengarah. Perisik terus mengkhabarkan sifat-sifat pasukan yang bakal diperangi.

Sifat-sifat utamanya adalah kebodohan, kezaliman dan ketamakan sehingga ia cenderung kepada keburukan dan lari daripada kebaikan. Ia tidak menyukai kesulitan, oleh sebab itu ia membenci apa saja taklif (pembebanan).” Lapor perisik tersebut.

Pasukan!!! Angkat pedang kamu. Kita mara menempuh mereka. Kita cantas mereka dengan sifat unggul bagi kita. Mujahadah!! Ya!! Kita tempuh lautan pasukan durjana itu dengan mujahadah! Biar dia tunduk patuh kepada Penciptanya. MARA!!!!!!!!!!!!”

Dan aku tidak membebaskan diriku(dari kesalahan), kerana sesunggunya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan...” [ Yusuf :: 53 ]

Rasulullah s.a.w bersabda; ”Janganlah kalian melakukan kezaliman kerana kezaliman adalah kegelapan hari kiamat dan janganlah kalian bersikap tamak, kerana tamak telah membinasakan orang-orang sebelum kalian yang membawa mereka kepada pertumpahan darah mereka dan menghalalkan apa yng diharamkan bagi mereka.”
[ diriwayatkan Muslim dan Imam Ahmad oleh Jabir ibn Abdullah ]

Lantas mereka mencantas setiap musuh dari pasukan Nafsu dengan sifat mujahadah. Musuh mulai tumpas satu persatu. Kebangkitan musuh ditewaskan dengan ketakutan hari akhirat. Mujahadah dikuatkan dengan keyakinan pada yang dikhabarkan Allah melalui firmanNya,
Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?” [ Al- Furqan :: 43 ]

Teramat rugilah manusia yang tewas pada hawa nafsunya! Yang menjadikan nafsu sebagai rajanya!” laung Sang panglima bersemangat.


-------------------------------

Pasukan musuh berjaya ditawan. Mereka tunduk patuh pada Panglima yang memimpin pasukan kebenaran. Sedikitpun Panglima tidak lepas pandang terhadap mereka. Sesungguhnya Nafsu akan mengkhianatinya jika dia tenang dengannya.

”...Allah tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” [ Ali Imran :: 117 ]

-------------------------------

Tiba-tiba mereka diserang oleh musuh yang tidak dapat dilihat mereka. Semangat mereka menjadi pudar. Dilihat tawanan nafsu mula melonjak-lonjak untuk bangun menentang. Panglima dengan pantas memanggil perisiknya.

Khabarkan padaku. Dengan musuh apakah yang kita berhadapan? Musuh ini tidak berkuasa tetapi dengan mudah merebahkan segelintir pejuang kita dan membangkitkan kekuatan pada nafsu. Khabarkan padaku.” tanya Panglima.

Perisik menghadap dengan resah. ”Ini musuh kita yang paling utama Tuan!! Ini adalah pasukan dari Syaitan!!”

Panglima bertanya lebih lanjut, ”Terangkan padaku akan keadaannya. Supaya lebih mudah aku berperang dengannya! Sungguh musuh utama ini telah lama berazam untuk menumpaskan iman setiap manusia.”

Perisiknya menjawab, ” Musuh utama kita, syaitan, mempunyai peranan penting dalam pertempuran yang sengit antara panglima dengan nafsu. Meskipun ia tidak mempunyai kekuasaan ke atas panglima namun ia memanfaatkan kebodohan nafsu untuk memenuhi hasratnya. Syaitan menghiasi nafsu dengan pemikiran-pemikiran dan tindakan-tindakan yang dikehendakinya. Dia selalu mengulangi godaan dan hasutannya sehingga nafsu melakukannya. Dia tidak akan berhenti berusaha sehingga panglima tunduk patuh padanya.

Tidak!! Musuh ini akan aku tentang habis-habisan!! Hingga ke akhirnya!! Pasukan..Mara!!” laung panglima. Pasukan panglima mara menghadapi musuh yang tidak dapat dilihat. Pasukan musuh Nafsu mula bangkit memberontak. Kelihatan pengaruh kuasa musuh daripada kesan harta mula menyelubungi pasukan panglima.

Harta tidak dapat memberikan manfaat jika aku tidak menggunakannya di jalan Allah!! Tidak akan aku tinggalkan pengaruh kesan harta dalam pasukanku!!

Pengaruh kuasa harta mula menghindar. Nafsu berterusan melonjak. Mereka memberontak terhadap para pejuang yang menekan mereka.

Dalam peperangan yang sengit itu, datang wakil dari pengaruh pangkat. Ia menawarkan darjat kebesaran dan kemuliaan kepada Panglima. Ya, sekadar supaya panglima berundur dari peperangan itu.

Pangkat, darjat dan kemuliaan tiada ertinya jika dia menjauhkan aku dari Allah. Sungguh! Kemuliaan hanya datang melalui pandangan Nya pada hamba yang bertaqwa.. Itulah sebaik-baik pangkat yang diinginkan, yang kami berlumba-lumba untuk mendapatkannya!!”

Wakil dari pengaruh pangkat melarikan diri. Sungguh kuat keyakinan Sang Panglima pada janji Allah. Mereka bertungkus lumus menghadapi peperangan yang kian sengit itu. Iman perlu mereka pertahankan. Tiada istilah kalah harus wujud. Tiada.

-------------------------------------------

Peperangan kian sengit. Panglima kembali memanggil perisik ilmunya. ”Khabarkan kepadaku lagi akan musuh utama ini.”
Perisik ilmu itu mengkhabarkan ayat-ayat Al Quran yang dipelajarinya;

Allah S.W.T berfirman ;
Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka.” [ An Nisa :: 120 ]

”...Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah)...” [ Al ’Ankabut :: 38 ]

Maka datang pengaruh pasangan ajnabi yang menawarkan bantuan dan kenikmatan. Pengaruh ajnabi ini memperlihatkan kelembutan dan kesenangan. Panglima menjadi kaget ketika beberapa pejuang kian menjauh dari barisan peperangan. Lantas membacakan ayat Al-Quran yang bermaksud,

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya...” [ Al A’raf :: 20 ]


Sesungguhnya pasangan terbaik adalah pasangan yang halal untukku. Yang dengannya aku menjadi lebih dekat kepada Tuhanku. Nyah segala tipu daya syaitan ke atasnya!!” laung panglima menggetarkan pengaruh dari pasangan ajnabi. Mereka hindar dari para pejuang yang tekad yakin akan ketentuan Tuhannya.

Panglima kembali membaca,

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar..” [ An Nur :: 21 ]

Barisan para pejuang panglima memperkukuhkan kekuatan. Mereka gigih berusaha menundukkan nafsu dan mencantas setiap serangan bisikan dan godaan syaitan. Mereka berusaha mempertahankan iman mereka.

-----------------------------

Peperangan mulai sedikit redha. Barisan para pejuang tetap kukuh melakukan pertahanan. Tembok yang kuat mula dibina. Mereka bertungkus lumus berusaha untuk menghindar dari serangan musuh yang akan terus menyerang.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dngan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selalin) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.”
[ At Taubah :: 111 ]


Para pejuang merasakan kemanisan dan keindahan setiap kali selesai daripada berjaya dalam perjuangan untuk mempertahankan iman. Janji-janji Allah membelai mereka dengan lembut. Sungguh mereka yakin pada kepastian urusan akhirat yang dikhabarkan Allah.

------------------------------

Dalam khemah, Sang Panglima menyucikan dirinya dari sisa-sisa dosa dan debu mazmumah. Dia membuka baju perisai perangnya dan meperlihatkan identitinya. Panglima yang bernama Hati. Hati lantas sujud menyembah dan melafazkan syahadah untuk memperbaharui pengakuannya.
Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.”
Hati adalah mukallaf di sisi Allah s.w.t. Dengan menundukkan perasaannya kepada hati hingga membuat kecintaannya hanya kerana Allah dan tidak mencintai sesuatu kerana dirinya sendiri. Hati adalah tempat tinggalnya iman.

Hati adalah unit terpenting dalam diri manusia, raja yang ditaati dan selainnya adalah pengikutnya baik akal, nafsu dan seluruh anggotanya. Semuanya adalah bala tenteranya yang melaksanakan apa yang diperintahkannya dan meninggalkan apa yang dilarangnya.

Hati mengambil keputusan dan keputusan itu dilaksanakan atas perintahnya. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
”...Ingatlah! Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jikalau ia rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati.”
[ riwayat Muttafaqun alaihi dari An Nu’man ibn Basyir ]



*************************************************
Share/Bookmark



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.
Powered by Blogger.