Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

SaMBuNGaN AL AzWAju ShaLihah

---------------------------------------------------


Safi merasakan rindu pada Hanif. Sepanjang kehadirannya di sekolah Hanif, seringkali Safi mengajak Hanif dan kakak-kakaknya keluar. Minggu ini Safi bercadang untuk mengajak mereka berjalan di kawasan peranginan yang tidak jauh dari kawasan mereka.

"Safi..jangan-jangan Safi nak ambil hati bakal mertua tak?" duga yusni. Safi memandangnya dengan penuh rasa terkejut.

"Astaghfirullah..kenapa Yus cakap macam tu? Tak baik tuduh Safi macam tu. Safi memang rasa suka hati bila boleh bawa Hanif, Sarah dengan Zulaikha keluar sama. Seronok, rasa macam adik-adik Safi. Safi pun bukannya ada adik. Bukan pasal Nizam..sampai hati Yus.." Safi sedikit terhiris dengan kata-kata Yusni. Dia juga hairan kerana Yusni boleh keluarkan pertanyaan seperti itu walhal Yusni tahu Safi masih belum bersedia dalam mencari cinta untuk mendirikan rumah tangga.

Yusni tersedar akan ketelanjuran kata-katanya. Memang dia agak sedikit beremosi saat bertanya soalan itu tadi. Dia beristighfar akibat rasa cemburunya.

"Alalalala...intan payung. Yus gurau je lah Safi. Yus tahu lah Safi tengah tunggu Hanif membesar pastu ajak dia kahwin. Ye tak? Pandai safi yer..hehehe" Yus mengusik Safi.

"Eh..ke situ pulak Yus ni. Dah....jom bersiap. Jangan-jangan bebudak tu dah sedia tunggu kita. Gembira diorg bila kita ajak jalan-jalan. Biar Safi bawa kereta."

Yus membeliakkan biji mata,"Taknak..Yus nak pandu nanti. Safi rempit laju sangat, takut Yus."

"hehehe...Yus yang lemah semangat.."

--------------------------------------------------------------

Sepanjang perjalanan, Safi dan Yusni banyak berbual tentang kedai-kedai yang menawarkan harga dan koleksi baju raya yang menarik. Yusni berkadar sekadar menyerahkan urusan itu kepada ibunya dan Safi pula akan keluar membeli belah baju raya untuk dia dan ibunya. Mereka rancak berbual dalam memilih warna baju raya akan datang.

"Ish..ish..Ramadhan tak abis lagi dah sibuk nak raya kita ni kan?" Yusni mencelah.
"Hehe..biasalah Yus. Orang perempuan, banyak yang kena fikirkan."
"amboi..mengada-ngadanya Safi ni.."Yus menepuk bahu Safi yang melakonkan gaya persis seorang datin.

Sampai di suatu kawasan, mereka melalui jalan yang akan menuju ke Pusat Rawatan Asy Syifa. Yusni sememangnya sedia maklum dengan jalan itu.

"Safi..jom kita singgah sekejap di tempat Nizam. Kita buat pemeriksaan kesihatan. Jom?" tanya Yusni.

"Ala Yus, nak check buat apa sihat macam ni. Nanti la Yus."

"Kan Safi sakit sebelum ni, kita tengok lah apa masalahnya. Lagipun Makcik Saadiah bagitahu hari tu, yang Nizam dengan teman-teman dia ada beli mesin yang dapat detect masalah kesihatan dalam tubuh badan walaupun dari hanya 30%. Bukannya lama Safi...ye?" pinta Yusni.

"Baiklah..baiklah, kita singgah sebentar. Yusni kot yang sukakan Nizam ni?" safi bertanya selamba.

Muka Yusni jelas kemerahan. "Mana ada Safi ni!"

---------------------------------------------------

Yusni menghendap di balik cermin pusat rawatan itu. Dilihatnya Nizam sedang asyik menghadap skrin komputer dan menaipkan sesuatu. Sepertinya Nizam sedang memasukkan data di dalam komputer. Yusni melihat lagi ke arah lain, memang hanya Nizam yang berada di dalam pusat rawatan itu.

"Haaa!!"tegur Safi membuatkan Yusni terkejut beruk. "Tunggu apa lagi. Tadi kata nak check. Masuk lah?" tanya Safi.

"Terkejut la Safi!! eii! Yus tunggu Safi lah. Lama sungguh jawab panggilan."dengus Yusni.

"Dah..jom..jom..jangan jadi pengintip kat sini." safi menarik lengan Yusni. Yusni hanya mengikut,tersengih.

---------------------------------------------------

"Assalamu'alaikum doktor Nizam. Kami mai ni nak check kesihatan. Free ke bayar? Kalau kena bayar,kami nak balik."ucap Safi dengan selamba.

"Waalaikummussalam.." Nizam berpaling ke arah suara yang dikenalinya itu. Safi dan Yusni.

"Ohh..masuklah. Pemeriksaan kali pertama percuma. Kali kedua barulah kita charge 10 ringgit." jawab Nizam. Entah mengapa dengan gadis hadapannya ini, rasa gemuruhnya tiada. Tetapi apabila melihatkan Yusni yang malu-malu di sebelah safi, Nizam mula gemuruh.

"Um..aa...um..Makcik berdua tunggu sekejap ye. Ana nak hidupkan air-cond bilik pemeriksaan sekejap." Nizam cuba mengatur bicaranya. Dia bergurau.

Safi dan Yusni saling berpandangan. "Makcik dia panggil kita Yus? huii..melampau." Yusni tertawa kecil melihatkan mata Safi yang terbeliak bulat.

"Takpe lah cu, ambil lah masa banyak mana pun. Nenek berdua ni tunggu." sinis Safi. Nizam sudah tersengih saat melangkah. Yusni pula menahan rasa geli hatinya dan menepuk-nepuk bahu Safi.

Nizam melangkah masuk ke dalam bilik untuk menghidupkan lampu dan air-cond. Dia masih tersengih, merasa lucu akan kata-kata Safi tadi. tidak lupa dia mengingatkan dirinya..

"Ya Allah, peliharalah kami dari tipu daya syaitan yang menyesatkan...ameen"


--------------------------------------------------------


Nizam menunggu alat digital mempamerkan bacaan tekanan darah. Sambil itu, Nizam membulatkan beberapa bacaan yang sudah diambilnya. Sarung tangan getah itu ditanggalkan dan tuala kecil diambil dan dilapkan tangannya.

“Bagaimana? Sihat ke kami?” Safi bertanya perlahan. Langsung tidak difahami catatan yang telah dibuat oleh Nizam yang berbentuk angka.

Nizam tersenyum. Matanya difokuskan kepada bacaan yang telah diambilnya. “Sekejap, lepas saya siap ambil bacaan, saya akan jelaskan.”

Teet..alat digital mengeluarkan bacaan tekanan darah. Nizam melihat dengan teliti dan mencatatnya. Bacaan itu diletakkan di sebelah bacaan pertama yang diambil.

“Bismillah..baiklah, saya akan jelaskan. Yusni, dari bacaan yang saya ambil. Bacaan-bacaan adalah di tahap normal, tapi pada bahagian usus besar menunjukkan bacaan yang rendah. Adakah cik Yusni punya masalah sembelit?” Nizam bertanya. Matanya masih kekal memandang catatan yang dipegangnya.

Safi memandang Yusni, dia tahu sahabatnya itu seringkali menghabiskan masa yang lama apabila memasuki bilik air. Yusni pula agak kemerahan, tidak sangka Nizam akan bertanyakan soalan sebegitu. Tetapi apabila melihatkan wajah Nizam yang serius, Yusni sedar yang Nizam menjalankan tugasnya sebagai perawat dan Safi bukannya orang asing baginya.

“Saya memang menghadapi masalah itu, kadang-kadang masalah itu berlanjutan sehingga 3 hari. Apakah puncanya?”

“Pertama,mungkin dari segi pemakanan, adakah Yusni amalkan memakan sayuran dan buahan? Minum air yang cukup?” Nizam bertanya lagi.

Yusni senyum,” Saya memang tak suka makan sayur..”

“Hmm..kena suka makan.” Nizam senyum simpul. Kemudian perhatiannya dialihkan kepada bahagian lain. “Sedikit bacaan tinggi pada jantung..Cikgu Yusni sering tidur lewat malam? Banyak berfikir?” Ataupun sering terjaga dalam jangka masa tidur?”

Yusni mengangguk. “Ye, saya memang tak dapat tidur awal, kalau awal pun, saya mudah terjaga dan susah nak tidur semula.”

Nizam kembali mengangguk.

“Tekanan darah Yusni normal. Saya syorkan Yusni amalkan makanan kesihatan ini.” Nizam mencapai satu botol sample di hadapannya.

“Ini adalah gabungan madu asli Iran dan habbahtus sawda dari Syria. Formula kandungannya adalah mengikut sukatan formulasi kitab At-Tibb An Nabawi. Insya Allah, segala masalah Yusni akan selesai.”

Yusni mengangguk. Safi kemudiannya mencelah, “Ustaz..apa pula masalah saya?”

Nizam tersenyum dengan sikap terburu-buru Safi. Ustaz atau Doktor, memang suatu gelaran yang sinonim dengannya saat melakukan pemeriksaan kesihatan. Nizam meletakkan kertas catatan Yusni dan mengambil catatan Safi.

“Cikgu..cikgu suka minum minuman berkafein?” Nizam bertanya.

“Umm..suka, dapat hilangkan rasa mengantuk, al maklum la student..banyak assignment nak kena buat.” Safi menjelaskan.

“..tapi kesihatan kena jaga juga cikgu..” perlahan. Nizam kemudiannya membuka fail pesakit sebelumnya.

“Cikgu, setakat dalam tempoh 5 bulan ini, sudah hampir 1000 lebih orang saya periksa. Dan saya dapati hampir 80% pesakit yang menghadapi masalah tekanan darah rendah adalah penggemar minuman berkafein. Cikgu boleh lihat catatan ini.”

Safi melihat catatan yang ditunjukkan Nizam. Memang banyak bacaan tinggi dalam ruangan yang disediakan.

“Cikgu, cikgu punya masalah tekanan darah rendah. Mesti cikgu masalah selalu rasa mengantuk dan pening-pening kepala, cepat letih?”

Safi mengangguk, sememangnya dia mudah menghadapi masalah itu. Mudah termegah-megah setelah menaiki tangga ke bilik hostel. Pandangannya kembali memberi perhatian kepada Nizam.

“Cikgu ada alahan? Masalah kulit sensitif?” Nizam bertanya kembali.

Safi terkejut. “Eh, mesin ini boleh kesan ye?”

“Mesin ini teknologi Jerman, yang dapat mengesan bacaan bio-energy yang terhasil dalam badan kita. Insya Allah,kebanyakan bacaan yang bermasalah adalah 90% tepat”, ujar Nizam.

“Ye, saya memang ada masalah kulit. Kalau terkena panas matahari, kulit saya akan jadi kering dan mengelupas. Kemudian kalau dicubit, lebamnya akan kekal berhari-hari.” Jelas Safi. Yusni mengangguk-angguk menyetujui. Itulah sebabnya Yusni sering terhenti saat geram ingin mencubit Safi. Dia sedia maklum dengan masalah Safi.

“Produk yang Safi kena amalkan adalah ini, tambahan campuran dari za’faran. Selebihnya adalah madu dan habbahtussawda. Insya Allah”

“Aihh..berniaga madu je ni ustaz..hee..” Safi tersenyum. Diikuti Yusni.

Nizam ikut tersenyum. Bidang perniagaan telah membiasakan dia dengan kata sinis. Sedikit rasa terkilan pun tidak akan disimpan dalam hatinya. Dia akan menjelaskan pengalamannya setiap kali.

“Kesembuhan itu berada dalam 3 perkara; madu,bekam dan al kay (rawatan secara besi panas). Dan aku melarang umatku berubat dengan al kay. Hadith riwayat al Bukhari.”

“Alhamdulillah,sebelum ini saya ada juga menjual produk kesihatan lain, namun perbezaannya berlainan saat saya mengenal madu. Dengan keberkatan wahyu, Al Quran dan Hadith melalui penawar madu dan habbahtussawda, saya melihat dengan mata saya sendiri..pesakit beransur pulih. Darah tinggi, Ghout, Leukimia, Kanser, Jantung, Diabetes,..dan macam-macam lagi kini telah pulih. Keyakinan saya hanya pada Allah yang menjanjikan keberkatan apabila kita mengambil kembali tuntutanNya. Semakin bertambah keazaman saya untuk menyebarkan cara perubatan Islam sebagai pilihan pertama, bukan alternatif dan menjadi satu perkara yang umum. Itu sebabnya saya dengan teman-teman sering mengadakan ceramah dan pemeriksaan kesihatan percuma untuk menekankan perkara ini. Supaya umum mengetahui dalam tuntutan wahyu, ada keberkatannya. Lagipun , formula campuran madu dan habbahtus sawda ini adalah berdasarkan Kitab Perubatan Zaman Nabi S.A.W. Insya Allah.”

Safi dan Yusni mengangguk-angguk.

“Tetaplah kamu dengan Al Habbah Al Sawda, kerana ia merupakan penawar bagi segala penyakit kecuali mati. Hadith riwayat Al-Bukhari. Berapa ramai kalangan kita yang mengikut tuntutan hadith ini? Inilah satu kesedaran yang saya ingin pupuk di kalangan masyarakat kita, hanya dengan mentaati perintah Allah dan Rasul Nya, kita berjaya dunia akhirat.”

Nizam berhenti berucap. Kadang-kadang dirinya terdorong dengan semangat bila bercakap, tetapi biarlah supaya setiap butir bicaranya jelas dan mudah dihadam.

Safi seronok mendengar Nizam menjelaskan sebentar tadi. Patutlah terlihat peribadi Nizam dalam diri Hanif, adiknya yang kelihatan sopan dan malu tetapi menjadi berbeza saat dihadapan menyampaikan sesuatu. Fokus dan bersemangat.

Yusni kemudian mengambil satu katalog dan bertanyakan sesuatu,” Um..akhi. Semua barang-barang yang ada dalam katalog ini ada dijual disini?”

“Insya Allah,akan datang. Memang niat kami nak memasarkan produk keperluan harian halal dan baik di sini. Selain itu, kami juga akan sediakan pelan takaful dan juga lain-lain muamalah mengikut syarak. Ramai umat Islam hari ini tidak prihatin kesamaran yang wujud dalam pemakanan, keperluan harian dan juga muamalah lain. Sebab itu rata-rata antara kita umat Islam masih mengambil makanan syubhah yang tidak suci, sistem insuran konvensional yang difatwakan haram kerana adanya riba, maisir dan ghahar… Perlunya satu usaha ke arah kesedaran umum, selama ini kita menyangka cukup dengan mencari sumber rezeki dalam bentuk kewangan yang halal tetapi leka untuk prihatin akan perancangan Yahudi dan Nasrani yang memang hendak menyesatkan kita dalam pelbagai aspek kehidupan,termasuk pemakanan, muamalah dan sebagainya..inilah yang telah membentuk generasi yang rosak. Hati-hati yang buta dalam memilih yang haq dan bathil…tapi kalau saya nak jelaskan, tak sempat pula Safi dan Yusni nak bawa adik-adik saya keluar makan angin.”

Yusni dan Safi sama-sama tertawa kecil. Mereka baru mengingati bahawa mereka punya janji dengan Hanif, Hakim, Sarah dan Zulaikha untuk dibawa keluar makan angin.

“…tapi cikgu berdua, saya akan bawa ibu dan adik saya ke majlis taalim untuk kaum ibu dan wanita dahulu,..um..cikgu boleh tunggu dahulu atau sama-sama join ibu dengan adik saya. Memang kebiasaan hujung minggu program ini untuk keluarga saya.”

Safi dan Yusni saling berpandangan. Meneka jawapan masing-masing.

“Insya Allah, kami teringin untuk ikut sekali. Amal baik di bulan baik..” jawab Safi.

“Baiklah kalau begitu, cikgu boleh beransur pergi ke rumah saya dahulu. Saya akan menyusul kemudian. “ ucap Nizam yang semakin boleh mengawal gemuruhnya apabila berhadapan dengan Safi dan Yusni. Tambahan pula, Umminya sering memuji-muji kedua-dua wanita dihadapannya dan ummi merasakan mereka seperti anaknya sendiri.

“Insya Allah, kami pergi dulu..kami ambil barang selepas program nanti” lafaz Yusni yang melangkah diikuti Safi.

“Insya Allah”, Nizam sedikit menunduk untuk menyatakan hormatnya sebagai seorang ajnabi pada dua orang muslimah yang suci.

------------------------------------------------

Khairul memasuki kedai, mengambil tugas untuk mengganti Nizam buat sementara. Nizam yang usai menyemak akaun syarikat bangun dan menyambut huluran salam Khairul.

"Ok, giliran enta ambil family enta. Ana tunggu di sini. Lepas itu, ada sedikit urusan yang ana ingin mesyuaratkan..berkenaan cawangan kita di Perak." Khairul menjelaskan.

Nizam mengangguk. Dicapainya kunci motosikal dan keluar. Ummi, Sarah dan Zulaikha pasti sedang menunggu. Getaran telefon bimbit membantutkan langkahnya.

(unknown-019999999)
"Salam..akhi Nizam. Yusni ni. Mana perginya?
Makcik Saadiah cakap kalau Nizam lewat, Makcik nak pergi dengan kami aje."


Tidak Nizam sangka Yusni, gadis pemalu yang sering tersipu-sipu itu akan mengirim pesanan SMS kepadanya. Mungkin memperoleh nombornya dari adiknya, Sarah. Nizam tersenyum sendiri laksana seorang pria yang diberi perhatian oleh sang gadis suci. Namun, cepat-cepat dia beristighfar. "dah gatal aku ni..." ujar Nizam perlahan. Nizam membalas sekadarnya.

Nizam mencapai helmet dan memandu motosikalnya merentasi jalan yang sibuk itu.

------------------------------------------------


(akhi nizam)
"...otw"


Yusni tersenyum. SMS nya berbalas. Satu nombor baru dalam telefon bimbitnya. Sedang leka dia memasukkan data-data pemanggil, Mak Cik Saadiah datang duduk bersama Safi dan Yusni.

"Bagaimana? Nizam ada datang?"
"Dalam perjalanan, makcik. Kejap nanti sampailah." Yusni memberitahu.

Kelihatan Safi sibuk bermain dam ular dengan Zulaikha dan Hanif. Sesekali terdengar suaranya ketawa apabila buah caturnya ditelan ular raksasa sehingga turun ke ekornya. Yusni menggeleng-geleng kepala melihat kelibat Safi yang keanak-anakan.

"Seronok sungguh Safi bermain ye?" tanya Makcik Saadiah kepada Yusni.
"Safi memang begitu Makcik..suka bermain dengan budak-budak. Mungkin sebab itu dipilihnya kerjaya seorang guru." jelas Yusni
"Iye..Hanif pun banyak bercerita tentang Safi tu..seronok katanya dapat cikgu macam Safi." ujar Makcik Saadiah yang tersenyum melihat tawa manis lesung pipit Safi yang sedang bermain.

Kemudian perbualan mereka terhenti apabila melihat Nizam menaiki motosikal menghampiri mereka. Dilucutkan helmet dan kembali menyarung kopiahnya.

Safi yang tadinya leka bermain, cepat-cepat memulas manja telinga Hanif untuk menyimpan barang permainan mereka,iaitu dam ular. Zulaikha yang tertawa turut dipulas telinganya. Dari jauh Nizam tersenyum melihat keakraban adik-adiknya dengan Safi. Sesekali memerhati Yusni yang sedang berbual di kerusi dengan umminya.

"Dah siap ke?" tanya Nizam.
"Dah...abang je yang lambat." tegur Sarah. Barulah Nizam tersedar adiknya Sarah ada di dalam kereta sedang memanaskan enjin sambil mendengar radio.
"Dah..dah..jangan banyak cakap. Jom kita pergi. Ummi..ummi pergi dengan Yusni dan Safi na? Abang bawa budak-budak ni.."

Mereka kemudian bertolak ke rumah Ustaz Khairudddin untuk sesi majlis taalim khusus untuk wanita.

-----------------------------------------------------

Setibanya di rumah Ustaz Khairuddin, Nizam dan Yusni meletakkan kenderaannya. Kelihatan beberapa wanita telah mula memasuki rumah. Terlihat juga beberapa orang gadis remaja yang leka berbual di luar turut diajak memasuki rumah. seorang daripadanya hanya berskaf. Kelihatan dirinya agak canggung dengan majlis sebegitu.

"Alhamdulillah,..." Nizam sedia maklum program sebegini telah banyak membantu menunjukkan para remaja perempuan pada jalan yang benar. Meninggalkan budaya barat yang diagung-agungkan. Mencerahkan pandangan hati pada yang haq dan bathil. Malis yang mengagungkan Allah sebagai Rabb dan membenarkan kata-kata utusan Nya, Rasulullah saw. Majlis yang tidak tertuju kepada penyekutuan padaNya, perorangan, harta kedudukan ataupun pangkat darjat. Hanya kepada Allah semata.

Nizam datang dan bersalaman dengan para suami dan bapa yang berkumpul di laman luar rumah. Hari ini, menjadi kewajipan mereka untuk mengasuh anak-anak pada waktu para ibu menjalani program mereka. Nizam berbual bertanya khabar masing-masing.

Yusni dan Safi pula membiasakan diri dengan mengikuti Makcik Saadiah, Sarah dan Zulaikha. Hanif pula dilepaskan menuju ke arah abangnya. Mereka berlima melangkah masuk ke dalam rumah yang pintunya dipsahkan dengan sehelai kain tebal sebagai hijab.

--------------------------------------------------------

Nizam memegang tangan Hanif dan ingin membawanya ke kereta. Kebiasaan bagi Nizam meninggalkan majlis menuju ke pusat rawatan kerana majlis berlangsung hampir 2 jam setengah. Hanif sekadar mengikuti abangnya.

Alhamdulillah, sambutan majlis itu kian menggalakkan. Sebelumnya, Nizam sudah menziarahi beberapa buah rumah menyatakan program yang berlangsung. Terdapat perkembangan apabila pertambahan bilangan pasangan yang baru berkahwin mengikuti majlis taalim yang dijalankan. Mereka begitu tertarik dengan tautan ukhwah yang terjalin antara mereka. Satu suasana yang jarang terlihat dalam konteks perumahan taman. Masing-masing dengan ehwalnya.

Program majlis berlangsung dengan aturcaranya. Sesama jemaah wanita, akan ada seorang yang ditugaskan memberikan sesi taaruf, yakni pengenalan agar mereka tidak tercengang-cengang dengan perjalanan majlis. Kemudian dijalankan sesi taalim kitabi yang memetik firman Allah, dan Hadith Nabi dan keterangannya melalui panduan kitab-kitab sahih terkemuka. Diikuti dengan pembentukan halaqah Al Quran, untuk memperbaiki tajwid bacaan dari bimbingan yang betul. Dan sesi muzakarah sesama jemaah wanita yang dalam menghidupkan amalan kerohanian agama Islam dalam rumah. Sama ada hidup solah berjemaahnya, amalan Al-Quran dan zikirnya dan juga perancangan masa mereka untuk agama. Sesi setengah jam yang terakhir akan disudahi dengan Tazkirah dan terkadang daripada penceramah-penceramah jemputan. Para Alim dan Ustaz akan memberi tazkirah di sebalik hiajb yang tebal bersama dengan lingkungan para suami dan bapa.

Nizam berlalu pergi bersama Hanif, tetapi langkahnya terhenti dengan kehadiran sebuah kereta.


---------------------------------------------------------


Nizam memerhatikan kenderaan yang diletakkan bersebelahan dengan keretanya. Dilhatnya seorang lelaki 50-an sedang keluar daripada keretanya. Nizam mengenali lelaki itu. Wajahnya bersih tersenyum ke arah Nizam sambil memberikan salam. Nizam menjawab salam yang diberikan dan pergi menghulurkan tangannya.

“Apa khabar Nizam?” Tanya lelaki yang berjanggut kemas itu. Tangan kanannya tidak melepaskan tangan Nizam sementara tangan kirinya menggosok-gosok bahu Nizam. Nizam mengikuti langkah mengiringi Ustaz Zakaria. Hanif pula yang mengikuti Nizam terus menyalami Ustaz Zakaria dan mencium tangan Ustaz Zakaria. Ustaz Zakaria sedikit membongkok menyambut salam Hanif.

“Alhamdulillah.. Ustaz apa khabar? Masya Allah..sejak dengar pergi ke Mekah, sampai sekarang baru nampak Ustaz.” Nizam memulakan bicara.

“Beginilah Nizam, dah tua. Lagipun urusan di Mekah sudah selesai. Nizam masih belajar lagi ke sekarang?” Tanya Ustaz Zakaria.

“Sudah habis Ustaz. Sekarang ni Nizam berniaga dengan kawan-kawan. Ada masa, jemputlah ke kedai. Depan masjid lama kawasan pekan sana.” Jelas Nizam.

Dari kereta Toyota Camry milik Ustaz Zakaria, Nizam dapat melihat Ummi Anisah dengan kedua-dua anak perempuannya yang berpurdah. Mereka bersama-sama menuju ke dalam rumah. Isteri Ustaz Khairuddin sudah sedia menyambut mereka.

Ustaz Zakaria adalah bekas imam masjid negeri. Dia memilih untuk mengorbankan tenaga dan usianya untuk membimbing para remaja kepada jalan hidayah. Nizam menghormatinya sebagai seorang guru yang baik baginya. Tidak pernah dia lupa saat Ustaz Zakaria begitu prihatin dalam membimbing dia dan sahabatnya untuk mengenal jalan dakwah. Setiap masa yang dikorbankannya sentiasa diingati. Ustaz Zakaria tidak pernah minta dibalasi segala usahanya. Nizam masih ingat saat dia bersama sahabatnya belajar dengannya. Seringkali mereka meluangkan masa di madrasah dan masjid untuk mempelajari ilmu agama. Mereka melapangkan masa di masjid untuk bermuzakarah akan usaha-usaha dakwah yang dijalankan. Setiap butir bicara tertumpu hanya kepada usaha mendekatkan hati kepada Allah SWT. Nizam sangat-sangat bersyukur kerana dalam jutaan manusia, dia terpilih untuk hidayah Allah.

“Nizam, kukuhlah dengan usaha agama. Gigit dengan gigi-gigi geraham. Sentiasa doa dan harap hidayah Allah SWT. Sentiasa berusaha untuk mengekalkan hidayah dan meningkatkan iman dalam diri. Keimanan hanya dapat dicapai melalui mujahadah, hati yang melihat Allah dalam setiap tindakan, paling tidak merasai dilihat Allah. Kesolehan hanyalah pada mereka yang mengikut amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW mengikut Al-Quran dan Hadith dan digariskan oleh ahlus sunnah wal jamaah. Jangan Nizam tersimpang kepada selain itu. Hati tidak akan tertuju kepada Allah SWT sekiranya jalannya menuju kepada selain Nya. Insya Allah, saya harap Nizam dapat menjadi seorang da’ie yang berkualiti, yang diterima Allah segala amalannya.”

Nizam masih mengingati kata-kata nasihat yang berharga saat Ustaz Zakaria ingin menyelesaikan urusannya di Makkah. 2 tahun sudah berlalu, wajah tua itu sedikitpun tidak menunjukkan dirinya lelah dengan pengorbanannya.

“Nizam, iringi tazkirah saya dengan zikir nanti.”
Lamunan Nizam terhenti. Permintaan Ustaz Zakaria diiyakan. Khairul pasti boleh menguruskan pusat rawatan semasa ketiadaannya. Nizam berjalan mengikuti Ustaz Zakaria sambil mengarahkan Hanif bermain dengan teman-temannya yang telah menggamit dari jauh. Hanif melangkah laju dengan riang.

--------------------------------------------------

Episod 21 : Kedudukan Cinta (hentam je episod brape)

Nizam menghela nafas panjang. Segala masalah yang diluahkan oleh sahabatnya Rohaizat didengar dengan penuh perhatian. Angin malam yang menghembus perlahan menggamit lagi suasana di perkarangan masjid itu. Dua sahabat saling bermuzakarah di halaman luar masjid berbumbungkan hamparan bintang di langit.

“Sabarlah Izat.. semua ni ujian buat kau. Tak semestinya apa yang kita idamkan sentiasa tercapai. Inilah lumrah dunia, terkadang apa yang kita inginkan bukan milik kita. Hargai apa yang kita miliki. Sekarang ni, kau ada adik-adik. Fokus jaga adik-adik kau untuk hilangkan kedukaan kau tu.”

Rohaizat menunduk. Setiap butir nasihat yang diberikan sahabatnya memang betul namun sukar untuk mehapuskan kegelisahan hatinya itu. Setelah sekian lama dia berkorban untuk memiliki hati seorang gadis, dia kecundang ditentukan takdir. Hatinya sebak memikirkan segala usahanya selama ini menjadi sia-sia. Harapannya untuk mencari keperluan untuk membina mahligai indah, terkubur. Baginya sebahagian dari hidupnya, matlamatnya telah disentap kuat darinya.

”..Tapi Zam. Dah berbagai pengorbanan yang aku lakukan untuk buktikan aku ikhlas ingin menyunting dia sebagai isteri. Aku berusaha dalam mencari keperluan hidup. Aku lakukan apa yang termampu, tapi...begini akhirnya. Aku kecewa Zam..Entah mengapa dia sanggup menerima lamaran orang tu. Aku kecewa sangat-sangat..” Rohaizat meluahkan apa yang terpendam. Sekilas kelihatan air mata bergenang di kelopak matanya.

Nizam mendongak memandang ke arah langit yang luas. Subhanallah, hamparan bintang-bintang yang jelas menjadi bukti kebesaran Nya. Dalam pada itu,Nizam cuba mencari kata yang terbaik untuk menyentuh hati sahabatnya. Dia sedar gelodak perasaan yang kini menyelubungi Izat. Jiwa yang muda, sememangnya sentiasa bergolak dalam mencari kepastian dan kebenaran. Pengalaman dalam menempuh kehidupan yang akan mematangkan setiap dari kita. Mustahil untuk seseorang berkali-kali jatuh ke dalam lubang yang sama kecuali hanya matanya buta. Dan gelojak nafsu itulah yang sering mengkaburkan pandangan kita.

"Rasa derita, hampa dan kecewa itu harus kau rasai, lantaran keyakinanmu yang salah! Kerana kamu meletakkan cinta pada tangan yang salah!” Nizam menjelaskan.

"Cinta pada tangan yang salah?!! Salahkah aku mendamba seorang isteri yang solehah? Salahkah aku mendamba kehidupan berkeluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah? Salahkah aku mengimpikan isteri yang mendorongku menuju cinta Allah?!" Nada Rohaizat sedikit tinggi. Seakan-akan dia mahu mempertahankan kebenaran impiannya dalam meraih cinta berbuah taqwa.

"Akhi..itu maksudku. Kamu menjanjikan bintang-bintang,sedangkan kamu masih belum menggapai bulan. Kamu meletakkan jodoh dan impianmu pada tangan si dia. Izat..kamu tahu kan, jodoh dan keberhasilan impianmu itu sebenarnya di tangan Allah?" ujar Nizam, lembut.

Rohaizat terasa dirinya bagaikan disambar kilat. Dia kelu. Suasana khali seketika. Perlahan, air mata mula merembes keluar.

"Cinta itu kamu letak pada tangan yang salah, lantas jatuh..pecah berkecai. Wajar untuk kau bersedih kerana cintamu pecah berkeping-keping. Namun kau harus cepat sedar akan hikmahnya,ya Akhi. Allah menyayangimu."

Rohaizat mengalirkan air mata tanpa sedar. Dia menangis. Dia tersedar dari kelalaiannya. Kelalaian dalam merencana tunjang cintanya. Cinta Ilahi yang hakiki.

"Alhamdulillah,Allah menyayangiku.." kata Rohaizat dengan sayu.

"Kamu berada di jalan-Nya, ya Akhi. Ujian untukmu dalam lebih mengenali-Nya." Nizam memegang bahu Izat. Digosoknya perlahan.

"Syukran ya Akhi. Sahabat dunia akhirat ku." Izat mengesat air matanya. Direnung sahabatnya Nizam. Rohaizat senyum.

"Sudah..jom kita keluar makan. Kamu belanja..hihi" tawa Nizam,tawa yang menyenangkan.

--------------------------------------------------

Nizam membuka buku catatannya dan berjalan ke arah katil di biliknya. Sayup-sayup kedengaran suara alunan Al Quran dari speaker komputer miliknya. Nizam biasa melapangkan masa dalam satu hingga ke tiga jam untuk membaca, itupun jika usai membaca Al-Quran. Buku catatan itu dibelek dengan perlahan-lahan. Nizam sering memncatatkan mutiara nasihat, perancangan mahupun himpunan puisi karangannya untuk muhasabah dirinya. Nizam terhenti di salah sebuah helaian mukasurat. Tertulis bahawa sebuah puisi yang didapatinya dari akhbar tempatan beberapa tahun lalu. Nizam tidak mencatatkan penulisnya tetapi kandungan puisi yang dibacanya menarik perhatiannya.

Terkadang terasa ingin
Dicintai dan mencintai
Fitrah setiap makhluk
Dicipta berpasang-pasangan
Masakan ada bumi, tanpa langit
Masakan hadirnya siang, tanpa malam
Masakan Adam gembira, tanpa kehadiran hawa.

Namun ia hanya sementara
Lumrah alam
Cinta manusia, akan pergi
Cinta bunga, akan layu
Hanya cinta ALLAH yang hakiki

Namun..
Kita tetap berdegil
Merebut cinta manusia
Ghairah mendamba cinta dari bunga
Tetapi hambar..dalam meraih cinta ALLAH.

Walau kita sedar ia bisa mematahkan jiwa
Walau kita tahu ia bisa mengguris luka
Walau kita pasti kekecewaan pasti ada

Namun..
Kedegilan mengatasi segala
Kita rela menjerumuskan diri di lembah cinta
Kita rela menjadi hamba cinta dari mendamba kasih Ilahi
Kita rela disakiti demi kebahagiaan sekelip mata
Kita rela membina kebahagiaan dari kesengsaraan insan lain.

Demi cinta..
Betapa daifnya kita
Betapa kita tidak mampu memahami sebenar..erti cinta
Betapa kerdilnya kita..mencari cinta sejati lagi hakiki

Wahai cinta agung..
Bilakah diri ini mahu diketuk?
Ya Allah, kurniakan cintaku pada Mu
Melebihi segala cinta yang ada di dunia ini.
Amin Ya Rabbal ’Alamin.

Nizam merebahkan badannya. Memejamkan mata seolah-olah memikirkan sesuatu. Pelbagai tafsiran umum tentang definisi cinta. Pelbagai huraian daripada perasaan yang lahir dari cinta. Pelbagai permasalahan yang wujud kerana cinta. Pelbagai keindahan yang tercipta kerana cinta. Setiap orang punya pandangan sendiri tentang cinta mengikut pengalaman hidup masing-masing.

Nizam terfikirkan...Kerana cinta, Abu Bakar r.a menahan dirinya dengan sengatan kala jengking supaya tidak terkena pada Rasulullah s.a.w. Kerana cinta, setiap sahabat gigih berdakwah menyampaikan kalimah tauhid menyelamatkan manusia daripada azab neraka. Kerana cinta, ketulusan kasih sayang seorang Rasul saat detik-detik akhir hayat baginda yang mulia pada sekalian umatnya.

Air mata Nizam menitis..terharu dengan sekelumit kisah cinta dalam sekian banyak riwayat dan ceritanya. Kisah-kisah cinta dari seluruh pelusuk dunia. Manusia tercari-cari apakah cinta. Biarpun puas manusia merumus, tetap tidak terjumpa penghujung noktah cinta. Nizam bangun, duduk menghadap meja sisi. Mengambil pena dan mencatatkan sesuatu.

Cinta..
Adalah didalam perbendaharaan Nya.
Yang tidak terputus tanpa izinNya.

Cinta..
Adalah takdir dalam qadar dan qada’ Nya.
Yang mengikut segala ketentuan Nya.

Cinta..
Datangnya dari Nya
Perginya jua oleh Nya.

Berbahagia lah..
Pada mereka yang memahami cinta
Yang tersemat keredhaan Pencipta nya.


Nizam menutup bukunya, dan bangun mematikan suis komputernya. Berjalan ke arah ruang solah, dengan niat untuk bercinta dengan Pencipta bagi segala keindahan, Allah S.W.T.

---------------------------------------------
Episod 22 : Fitrah


Nizam memandang setiap jemaah yang hadir dalam surau kecil itu. Kedatangan Nizam pada petang itu adalah kerana permintaan sahabatnya, Razali yang inginkan dia bersama-sama mereka dalam menyampaikan mutiara kata kepada pelajar baru yang usai mendaftar masuk ke asrama. Pada asalnya Nizam menolak kerana kesibukkannya menguruskan perniagaan dan juga persekolahan adiknya, namun terdetik kerinduannya pada zaman pengajiannya di ipt.

Nizam tersenyum sendiri bila melihat ruang surau yang penuh. Begitulah keadaan seperti dalam kenangannya. Hari pertama minggu pendaftaran ke asrama, surau dipenuhi dengan pelajar-pelajar sehinggakan terpaksa melakukan giliran untuk solah berjemaah. Pada masa itu muncullah wajah pemimpin pelajar yang menyampaikan tazkirah. Namun semuanya beransur sepi pada hari-hari berikutnya.

Nizam bermunajat kepada Allah dengan tahmid kesyukuran dan berselawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Dalam pada itu dia melihat wajah-wajah dihadapannya dengan senyuman, Nizam memperkenalkan diri dan sahabatnya yang bakal bersama-sama dengan mereka dalam usaha untuk pengislahan diri ke arah lebih baik. Kemudian, Nizam memulakan bicaranya.


“Setiap jiwa punyai fitrah sebagai bekal baginya untuk mencari kebenaran. Fitrah itu adalah suatu perasaan yang rindukan kebenaran. Fitrah itu adalah keinginan yang mendalam pada kehidupan yang hanif. Fitrah itu adalah Islam yakni rasa penyerahan diri pada Dzat yang Maha Kuasa, Allah S.W.T.”
“Fitrah sukakan kebaikan, kebahagiaan dan keinginan untuk hidup dalam ajaran yang hanif, lurus, tidak ada penyelewengan, bersih dengan tauhid dan tidak dikotori dengan debu syirik. Tanpa semua itu, jiwa tidak akan tenang dan sentiasa tercari-cari makna kebenaran dan kebahagiaan yang hakiki.”
“Fitrah yang belum disinari nur Al-Quran dan Sunnah maka ia masih dalam kegelapan, ia masih belum boleh melihat, ia masih dalam lembah kejahilan. Walau fitrah sentiasa dambakan kebenaran, lazim untuk kita memilih jalan nafsu daripada bersusah untuknya. Menyebabkan fitrah terbenam jauh di sudut hati, lemah dalam mengungkapkan keinginannya. Kita sering mengambil jalan mudah tanpa berfikir panjang akan kesannya terhadap jiwa. Lantaran itu, kita melalaikan ibadah, melupakan jihad dan menyenangi maksiat. Rasa bersalah yang terkadang wujud dalam jiwa terabai kerana penguasaan nafsu ke atas kita. Lantas menjadikan kita seorang yang buta dan tuli dalam menerima hakikat kebenaran.”

“Jiwa kita tenang dengan ibadah dan zikrullah, mengapa kita bermalas?
Jiwa kita membenci maksiat dan keseronokan dosa, mengapa kita abaikan?
Jiwa kita menyenangi kebahagiaan dari tautan ukhuwah, mengapa kita bersikap sombong? Jiwa kita bersemangat untuk jihad, mengapa kita lemahkan?”
”Persoalan itu yang sering ana tanyakan pada diri sendiri yang masih mempunyai jiwa yang berkecamuk antara keinginan fitrah pada syariat dengan hawa nafsu yang merosakkan. Berperang antara rasa jiwa yang damai dengan kebaikan dengan jiwa yang gelisah oleh bisikan syaitan. Semoga Allah terus mengekalkan ana dan kita semua untuk terus teguh berada atas landasan Nya, Al Quran dan Sunnah.”
”Kita sering memandang seseorang dengan sangkaan yang buruk padahal kita tidak mengetahui langsung keadaan jiwanya. Sehinggakan kita leka dalam menilai keburukan diri sendiri yang ternyata banyak kekurangan. Kita menasihati dengan menurut rasa prasangka bukannya secara hikmah yang menyentuh lembut relung hatinya.”
”Bagi ana, kalaulah dicari intisari yang terkuat dari segala kekuatan..jawabnya adalah sabar. Dengan kesabaran, kita melihat sesuatu secara hikmah. Dengan kesabaran, kita meneroka kebahagiaan dalam kesusahan. Dengan kesabaran, kita berusaha wujudkan situasi yang lebih baik. Semua dengan izin Nya.”
”Bentuklah jiwa yang hanif, iaitu jiwa yang cenderung kepada Nya, melihat kepada kebaikan dan bersangka baik...jiwa yang lurus dan bersih.”
”Dan hanya kepada Allah, segalanya dikembalikan.”

Hampir 40 minit Nizam mengambil masa menyampaikan isi tazkirahnya. Nizam kemudiannya menyerahkan kembali perjalanan majlis kepada sahabatnya dalam mengaturkan rencana aktiviti di asrama tersebut. Melihatkan segalanya berjalan lancar, Nizam meminta diri untuk pulang. Razali yang menyetujui dan menemani Nizam ke tempat parking.

”Alhamdulillah, mantop penyampaian tazkirahnya.” usik Razali.
”Alhamdulillah..yang baik datang dari Allah. Ana lihat sesetengah sahabat kita yang lain tiada dalam majlis, ada program lain?” Nizam menyuarakan soalannya.
Razali menunduk dan kembali melihat wajah Nizam dengan senyuman.
”Begitulah keadaannya..ana ingat nak jemput anta dalam mesyuarat yang akan datang. Bagi buah fikiran kepada kami semua untuk istiqomah dalam perjuangan.”
Nizam mengangguk faham. Keadaan yang sama turut berlaku pada zaman pengajiannya,apabila penggerak usaha dakwah semakin beransur hilang. Ada yang tenggelam dalam budaya couple, ada juga dipancing pihak tertentu dan sibuk dalam jawatannya, dan juga ada yang lesap bersama kawan-kawan lain. Nizam tidak henti-henti melahirkan kesyukurannya dalam setiap solah hajat malamnya kerana Allah telah mengekalkan dirinya yang hina untuk istiqomah dalam usaha dakwah antara insan lain yang lebih luas ilmunya, lebih tinggi pengaruh dan kedudukannya.. Nizam bersyukur.

”Insya Allah, sama-sama kita doakan hidayah untuk kita semua. Baiklah Li, ana balik dulu. Ada urusan lain yang perlu ana selesaikan, jumpa lagi insya Allah. Assalamu’alaikum.” ucap Nizam yang menghulur tangan untuk bersalaman. Dia telah siap duduk di atas seat keretanya.

”Jemputlah datang bila ada masa. Wa’alaikummussalam.” Razali menyambut dan melepaskan tangan Nizam dan kemudian menutup pintu keretanya. Nizam memandu keretanya menyusur keluar ke arah jalan di tepi pondok pengawal. Dia mencapai telefon bimbit yang ditinggalkan di dalam kereta sepanjang majlis berlangsung tadi. Nizam melihat skrin telefonnya tertera 5 panggilan tidak dijawab. Dia melihat nama pemanggil yang menelefonnya dan berasa sedikit hairan. ”Nurul Yusni?”

----------------------------------------



Episod 23 : Gelisah yang terubat


Yusni menjadi tidak senang duduk. Seringkali kedudukannya berubah dan pergerakannya berulang alik sekitar biliknya sepanjang masa. Perasaannya resah dan apa yang ingin dilakukannya menjadi serba tidak kena. Berita yang diterimanya sebentar tadi dari sepupunya membuatkan dia tiba-tiba menjadi gelisah. Hatinya menyesali tindakannya yang terburu-buru menelefon Nizam. Risau memikirkan apakah tindakan Nizam sekiranya dia melihat panggilannya tertera di telefon bimbitnya.

Telefon bimbit yang dipegangnya bergetar. SMS diterimanya.

(Akhi Nizam)
”Salam..Yusni telefon saya tadi? Maaf, saya sibuk tadi. Ada apa Yusni?”


Yusni menjadi kelu, tidak tahu apa yang harus dibalasnya. Ingin sekali dia menelefon lelaki itu saat ini, tetapi bimbang. Yusni menaip ringkas jawapan sms dan membalas kepada Nizam.

(Nurul Yusni)
”Wslm..Tidak ada apa-apa Zam.”


Yusni merebahkan badannya ke atas katil. Fikirannya bercelaru. Apa harus dibuatnya? Apa harus dia lakukan? Apa yang harus dia fikirkan? Jiwanya menjadi gelisah lantaran berita yang diterimanya. Yusni menitiskan air mata.

Sayup-sayup kemudian, azan maghrib mula berkumandang. Yusni beristighfar dan bingkas bangun untuk bersedia menghadap dirinya pada yang Maha Esa. Dalam setiap langkahannya, Yusni mengumpulkan kekuatan laksana seorang srikandi, muslimah yang sejati. Dia tidak seharusnya tewas dilambung emosi. Dirinya perlu tabah dan percaya pada kehendak takdir.

---------------------------

Nizam singgah di masjid berdekatan dengan destinasinya. Hairan dengan jawapan dari sms Yusni. Masakan Yusni akan menelefonnya tanpa satu urusan yang khusus. Nizam melupakan sementara soal itu dan melihat beberapa jemaah sedang menuju ke dalam masjid. Nizam turut memerhatikan sekumpulan orang sedang berbual dan bergelak ketawa saat muazzin sedang melaungkan azan. Nizam mengingatkan dirinya sendiri, azan harus dihormati. Bukankah kita semua sentiasa berdiri tegak dan mengikuti rentak jika lagu negaraku dinyanyikan? Lebih-lebih lagi seruan azan sangat perlu dihormati, berbual-bual seakan tidak menghormati, dan perbualan yang sia-sia itu pasti saja akan memberi kesan pada saatnya kita sangat memerlukan lafaz kalimah tauhid waktu sakaratul maut.

Setelah mengambil dan menukarkan seliparnya, Nizam menuju ke arah bilik wudhu.

---------------------------

Usai memberi salam, Yusni berzikir munajat kepada Ilahi, mencari sumber ketenangan hati. Doanya lirih dan kudus, mengharapkan kekuatan dan kemudahan dalan urusan hidup yang dihadapinya. Yusni mencapai mushaf Al-Quran di sisinya dan mula membaca dengan tartil. Hatinya menjadi tenang senada dengan alunan tilawahnya. Sungguh, hanya dengan mengingati Allah..hati menjadi tenang.

------------------------------

Nizam yang usai solah sunat ba’adiyah maghrib bangun melangkah keluar. Melafazkan doa keluar masjid dan melangkah ke kenderaannya. Nizam mengambil telefon bimbit dan memikirkan kemungkinan apakah yang menyebabkan Yusni menelefonnya. Nizam meneka yang muslimah itu mungkin ingin bertanyakan sesuatu tetapi malu. Nizam tidak berniat untuk menggesanya. Nizam memilih salah satu pesanan yang disimpannya dan mengirim ke Yusni. Dia mula menyimpan telefon bimbitnya dan dengan lafaz bismillah, Nizam memulakan perjalanannya.

-----------------------------

Yusni menyudahkan bacaannya lantas menutup mushaf. Dia mencium Al-Quran, mukjizat yang terbesar, berdoa agar hatinya disnari oleh nur Al Quran dan meletakkan kembali ke tempatnya. Ketika Yusni bangun untuk membuka telekung solah, telefonnya berdering irama selawat. Yusni dengan tenang melangkah dan membuka kandungan SMS yang diterimanya.


(Akhi Nizam)
Bila kita letih dan hilang semangat..

Allah tahu kita telah mencuba sedaya upaya.
Bila tangisan kita berpanjangan dan hati kita duka..
Allah telahpun mengira titis air mata kita.
Bila kita rasa ketinggalan dan masa melewati kita..
Allah tetap bersama kita.
Bila kita kebuntuan akal..
Maka Allah adalah penunjuk jalan



Yusni tersenyum. Kegelisahannya pudar sama sekali.
”Benar..Jazakallahu khairan katsira ya akhi...”

-----------------------------------------------------

EPISOD 24 :: Kasih Keluarga

Seindah pelangi petang. Sayup-sayup kedengaran bunyi rintik-rintik hujan, titisan air yang menitis dalam lopak di tanah. Beburung mula berterbangan saling menyahut siulan menandakan hujan yang renyai telah berhenti. Pepohon segar menghijau menerima air, nikmat anugerah Ar Rahman. Semesta alam bergerak menuruti setiap aturan Nya..tiada terkecuali.

Nizam bangun dari zikirnya. Sekilas meregangkan seluruh ototnya dengan meluruskan lengan-lengannya. Untaian biji tasbih dilepaskan atas mejanya. Nizam menarik kerusi dan duduk meraup wajahnya seraya menguap. Diusap-usap seluruh sekitar matanya, supaya rasa mengantuknya sirna. Mata yang tak jemu tidur adalah hasil dari godaan syaitan yang terlaknat. Astaghfirullahal ‘azim.

Nizam mencapai sebuah buku kecil daripada susunan sekelian buku-bukunya. Tajuk “Manzil” tertera pada kulit luarannya. Dengan lafaz bismillah, Nizam memulakan bacaannya.

----------

Si ibu, Puan Saadiah siap menyediakan sarapan petang untuk mereka sekeluarga. Cucur udang dan air radix panas menjadi santapan mereka pada petang itu.
“Sarah! Panggil abang kamu turun, sarapan dah siap ni. Tak sedap kalau sejuk nanti.”
Sarah yang sedang leka menonton televisyen acuh tidak acuh menyahut, “ Ya Mak.”
“Sarah..!! Cepat la.” Gesa Puan Saadiah yang sedia mengetahui perangai anaknya yang perlu disuruh berkali-kali untuk melakukan suatu pekerjaan.
Sarah mencebik. Hatinya mendengus,”takkan la abang tak reti nak turun sendiri. Macam anak raja pula kena panggil-panggil.”

Puan Saadiah kembali melakukan rutinnya. Membasuh peralatan memasak yang digunakan tadi. Mangkuk bancuhan tepung dan senduk dibiarkan dahulu dalam rendaman air. Tangannya dibilas dan dilapkan pada sehelai tuala. Dia terdengar anaknya, Sarah melangkah laju ke atas tangga. “Jatuh nanti Sarah!!”
Sarah menguak pintu bilik abangnya. Dilihatnya abangnya kini sedang tertidur di lengannya bersama dengan buku kecil. Hati Sarah yang panas sebelumnya kini menyejuk..dia perlahan melangkah ke arah abangnya dan menggerakkan abangnya. Surah himpunan Manzil kelihatan bergerak-gerak di tangan abangnya, mata Nizam terbuka perlahan lantas bingkas terduduk.
“Astaghfirullah..tertidur pula.” Gumam Nizam perlahan.
“Abang..mak panggil turun makan cucur udang. Cepat nanti sejuk..” ujar Sarah selanjutnya.
“Baiklah Sarah..” Nizam menggosok-gosok matanya.

------

Makan berjemaah adalah salah satu resepi kebahagiaan sesebuah organisasi berkeluarga. Melalui aktiviti berjemaah dapat mewujudkan ikatan kasih sayang sesama ahli dan persefahaman. Malah mendatangkan keberkatan dan pahala kerana darinya adalah sunnah junjungan mulia, Nabi s.a.w. Keberkatan akan mencurah-curah kepada keluarga yang menerapkan tauladan sunnah dalam kehidupan berkeluarga. Inilah jawapan bagi segala persoalan yang wujud dalam krisis yang sering melanda dunia masyarakat kini.

Hanif berdiri dari kerusi makan dan mahu beredar dari meja makan. Nizam sengaja menahannya dan menghulurkan separuh gelas air masak kepada adiknya. “Minum dulu sebelum main.”

Hanif mencapai gelas itu, kembali duduk dan meneguk isi air yang ada..”Bismillah..” Nizam senang dengan adab adiknya. Minum secara duduk dengan lafaz bismillah dan meneguk 3 kali dan tidak bernafas dalam gelas.

--------------------------------------------

Pak Seman, bilal dan siak surau kampong duduk menghadap pintu hadapan. Renungannya tertumpu pada langit yang terbentang luas dengan hamparan jutaan bintang-bintang yang berkelipan. Sekilas, dia menoleh ke arah Nizam yang sedang melantunkan bacaan ayat-ayat suci Al Quran. Jemaah yang hadir pada hari ini hanya mereka berdua kerana cuaca yang hujan pada hari itu.

Pak Seman menunduk,dia membandingkan dirinya dengan anak muda itu. Selama ini, seringkali dia bersama jemaah yang lain berbual kosong sesudah solah maghrib sehinggalah masuknya waktu Isyak. Berbual membicarakan soal penduduk, mungkin terkadang ter’kutuk’ atau ter’umpat’. Rutin harian yang sekelian lamanya berterusan sepanjang umurnya. Malah dia sedari akan tiada usahanya untuk mempertingkatkan amalnya menghadap Allah.

Anak muda di hadapannya lebih memilih untuk bersikap diam. Sesekali tersenyum jika melalui jemaah barisan veteran dihadapannya. Kerana bau asap rokok yang berkepul-kepul menemani perbualan mereka. Memang kurang menyenangkan sekiranya bersolah bersebelahan dengan ahli jemaah yang baru sudah merokok. Bauan yang pasti dihindari dari kedatangan malaikat. Poster asing wujud memaparkan tentang bahaya dan hukum rokok. Namun mereka memilih untuk bersikap dangkal dari menerima kenyataannya.

“Pak Seman? Dah masuk waktu?” Tanya Nizam yang mematikan lamunan Pak Seman. Dia lantas mendongak melihat jam dan mengangguk.
“Dah, kejap Pak Seman pukul gendang.” Adat biasa dalam surau kampong itu bila menandakan masuknya waktu solah. Dipukul gendang beberapa lama kemudian diikuti perlahan pukulan mengikut turutan rakaat solah.

------

Nizam masuk ke dalam rumah dengan mengucapkan salam. Salamnya bersambut dan Nizam menuju ke arah almari penyusunan buku. Dicapainya kitab terjemahan Riyadh As Solihin dan dibukanya pada penanda. Tidak berganjak. Kelihatan adik-adiknya sedang asyik menonton tayangan nyanyian anak kecil yang menghiburkan. Nizam melangkah masuk ke dalam biliknya dan mencapai remote televisyen yang disimpannya.

“Tuuup!” televisyen ditutup. Semua adik-adiknya geram dengan situasi itu tapi segera terdiam apabila melihat abang mereka sedia duduk di tempat biasa mereka mengadakan majlis ta’alimi kitabi. Nizam memulakan Bismillah dan memulakan bacaannya walau masih tiada seorang pun yang menghampirinya.

--------

“Semoga kita semua insya Allah, dapat mengamalkan dan sebarkan apa yang kita dengar pada malam ni.” Semua adik-adik diam tertunduk tanpa melihat abangnya. Mereka tahu abang mereka akan membebel menzahirkan perasaan tidak senangnya.

“Nur cahaya Al Quran dan Hadith akan menyusup masuk ke dalam hati bila bacaan ayat-ayat Al Quran dan mantan Hadith diulang berkali-kali, lagi dan lagi..Dengan keberkatan wahyu, seseorang mukmin dapat membezakan antara yang haq dengan yang bathil. Dapat melihat ketaatan mahupun kelalaian. Dapat mecongak antara yang hakiki dan kesia-siaan..”

“Siapakah yang rugi jika sekiranya dia mengabaikan longgokan emas kerana beberapa butiran pasir? Siapakah yang rugi sekiranya melalaikan urusan akhirat dalam mengejar duniawi? Bagitahu abang…siapa yang menemani kita di kubur? Sudi mencuba?”
Nizam menekan punat remote. Paparan televisyen dinyalakan. Bunyi tepukan riuh kedengaran. Siaran langsung hiburan masih belum berakhir. Nizam bangkit dan berlalu meninggalkan mereka.

---------

Nizam duduk diatas kerusi dan membuka helaian buku yang masih belum selesai dibacanya. Syarah terjemahan dari kitab tasawwuf Al Hikam. Namun bacaannya terhenti apabila selak pintunya dibuka. Kelihatan wajah Sarah menjenguk dari luar bilik.
Nizam jual mahal,” Kenapa tak tengok tv? Abang dah buka dah..nanti tak tahu pula siapa menang. Rugi..”

“Kami minta maaf abang..”lembut..pinta Sarah dengan Zulaikha.
Nizam tersenyum. Umpannya mengena. Sengaja dia merajuk sebentar tadi supaya adiknya menyedari kesilapan mereka. Amalan ukhrawi perlu diutamakan dalam segenap hal sekalipun. Nizam menutup buku dan melangkah ke arah Sarah yang sedia menyambut tangan abangnya. Sebelum ini, mereka biasa bersalaman usai daripada majlis kitabi dan dicium oleh Nizam sama ada di ubun-ubun atau dahi.

Nizam bersalaman dengan adiknya, Sarah dan disambut dan dicium oleh Sarah. Rambutnya diusap dan dahinya dikucup. Adik-adik yang lain juga beratur menunggu giliran. Wajah mereka bersih dari sebarang cebik dan muncung.. Nizam tersenyum bahagia. Seketika, hatinya merindui adik perempuan sulungnya, Nur Asiah yang kini sedang menuntut di institusi pengajian tinggi..bagaimanalah keadaannya di sana.. Bisikan hati menerjah ruang kalbu.

-------------

(Abg Nizam)
“Fitrah ketaatan seseorang wanita terletak pada keluarganya saat ketika dia masih belum bernikah dan berganti kepada suaminya ketika dia sudah bernikah. Tiada ruang antara keduanya. Jagalah diri, iman dan amal sepanjang berada jauh dari keluarga. Abang tahu sangat pujukan lembut, rayu manis seseorang lelaki sebab abang sendiri lelaki. Jaga diri supaya jangan mudah percaya selagi masih belum wujud ikatan yang sah. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat Nya ke atas kamu.
Abang sayang kamu.”


Nizam menekan butang send. Kiriman sms telah dihantar kepada adiknya. Rasa rindu sedikit terubat. Nizam tersenyum sendiri apabila mengenangkan keadaan mereka sewaktu kecil. Sering bergaduh. Nizam sering menghempaskan adiknya di atas katil dan membiarkan dia menangis. Terkadang sering menyekeh nakal kepala adiknya. Nizam menggeleng…memang dia seorang abang yang sangat kerap mengusik adiknya suatu ketika dulu. Kini setelah menginjaknya usia, semuanya menjadi kenangan.

Hatinya terusik lagi mengimbau kenangan silam. Saat dia masih lagi bersekolah, menghayati lirik lagu sebuah kumpulan nasyid..yang menjadi semarak keazaman untuk mencapai keluarga bahagia.

~~Ketika,insan lain berbahagia bersama keluarga
Namun kita, masih meniti titian rapuh perhubungan
Mengapa kita terpisah daripada rahmat Nya?
Mungkinkah kita seringkali melupakan Nya?
Marilah bina semula, keluarga yang diredhai Allah……
Ohh Ayah….Ohh Ibu..
Dengarlah…rintihan..dan luahan hatiku..
Yang dahaga kasih..jiwaku terasa terseksa
Ketandusan kasihmu, marilah kita bina
Bersama-sama…keluarga bahagiaaaaaa….

Air matanya menitis tiba-tiba. Benar…suatu ketika pernah Nizam merasakan jiwanya kosong, dahaga dengan kasih sayang yang tulus. Walaupun kehidupannya tidak kurang apa-apa, namun perasaan itu terus melonjak-lonjak dalam jiwa. Dia dahagakan kasih sayang yang tulus..seumpama seorang mukmin merindui dan dahagakan air telaga kauthsar. Mereka sekeluarga mentaati perintah solah, mempelajari dan membaca Al Quran..namun Nizam tetap mahu lebih, sentiasa mencari amalan apakah yang mampu untuk menghilangkan dahaganya itu.

Pernah juga dia dalam kemurungan, melihat keluarga bahagia pada tafsir hatinya. Merenung bibit-bibit mesra sekeluarga yang berbual mesra, bergurau canda..dia sedar dia tidak kurang apa-apa namun tetap runsing akan mengapakah rasa ini wujud di jiwanya….
Alhamdulillah..jalan sentiasa terbuka pada mereka yang mahu berusaha. Nizam masih terbayang saat ketikanya dia menangis syahdu,terisak-isak pada suatu malam usai seminggu bersama teman sahabat dakwahnya. Nizam merintih menyesali pada kelekaan dan kebutaan hatinya selama ini dalam mengenal Allah..Nizam mula menghitung dirinya..

Dia bersolah..tetapi tidak pernah menghayati solah, tidak mewujudkan ihsan seolah-olah Allah memerhatikannya.

Dia berdoa..tetapi tidak pernah untuk berdoa sesungguhnya, tidak meluahkan kesungguhan dalam doanya, tidak melahirkan ketakutan dan pengharapan yang amat kepada Pencipta nya.

Dia berbicara..tetapi tidak pernah berbicara berkaitan urusan akhiratnya. Tidak pernah melafazkan kebenaran terhadap Kebesaran Allah SWT dan memuji asma Nya. Tidak pernah bermujahadah pada kalimah tauhid yang diimaninya.
…dan kerana itu dia dahaga dalam kehidupannya. Dan Nizam merasakan kemanisannya kini setelah menggunakan kudrat tenaga, harta dan masanya di jalan Allah.

Dengan taufik Nya, Nizam belajar mewujudkan amalan kerohanian dalam keluarganya..sedikit demi sedikit. Nizam mula menghimpunkan keluarganya untuk sama-sama solah berjemaah, membuat majlis kitabi, dan mula mengambil berat amalan Al-Quran dan tahajud adik-adiknya. Mereka sentiasa berjemaah dalam menghidupkan suasana berkeluarga menurut syariat Islam yang hanif lagi murni. Ternyata Nizam mengakui keluasan rahmat Nya. Tiada perkataan terlewat bagi mereka yang mahu dan berusaha. Alhamdulillah…

Nizam sujud syukur. Air matanya menitis laju. Sama sekali dia tidak mahu suasana ini hilang. Berdoa moga sentiasa dikekalkan taufik dan hidayah dalam keluarganya, menghindarkan mereka dari sebarang bentuk maksiat.
Allahu ya Robbi..suburkanlah kasih ini mewangi sepanjang kehidupanku…Amiin.”

------------------------------------------------
bersambung...

Share/Bookmark

Cerpen : Sebuah Peperangan

Panglima menegakkan pedangnya. Diperhatikan oleh setiap ahli lasykarnya. Mereka bersemangat tinggi untuk berjuang. Berkobar-kobar keazaman dalam menegakkan panji syiar agama Allah yang dicintai.

Tuan-tuan yang dimuliakan Allah!! Inilah masanya untuk kita membuktikan keimanan kita. Berkorban pada jalanNya. Ayuh!! Sama-sama kita mara ke medan perjuangan. Sama-sama kita berjuang habis-habisan!!!” laung panglima membangkitkan semangat.

Allah bersama dengan kita!!!!” bergema suara laungan para pejuang untuk bergerak maju ke barisan hadapan. Semangat mereka utuh. Mereka bersatu. Di tangan-tangan mereka tergenggam erat senjata yang bakal memancung musuh-musuh yang telah menghalang tertegaknya agama Allah. Mereka mara dengan semangat yang waja.

------------------------------------

Mereka terhenti sejenak. Segerombolan musuh-musuh datang maju ke arah mereka. Kanan, kiri, hadapan dan belakang mereka. Mereka membayangkan wajah-wajah ganas di sebalik topeng-topeng musuh yang ingin meragut nyawa panglima mereka, malahan setiap nyawa mereka. Mereka terkepung.

Panglima sedar situasi yang berlaku. Pasukannya perlu teguh dalam menghadapi peperangan ini. Mereka tidak boleh kalah dalam peperangan ini. Kekalahan adalah suatu bencana yang besar. Inilah sebuah peperangan yang tiada istilah kalah bagi mereka. Bencananya terlalu besar untuk diterima.

Panglima bingkas bangun dan membaca ayat Al-Quran,
”..Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [ Muhammad :: 7 ]

Para pejuang bersemangat kembali. YA!!!! Kami tidak boleh kalah. Peperangan ini adalah penentuan. Sama sekali kali tidak boleh kalah. Mereka mara untuk mengenali para musuh yang berhadapan dengan mereka.

---------------------------------------

Musuh pertama yang ditempuh adalah daripada segerombolan pasukan yang diketuai oleh satu general perang. Panglima memanggil perisiknya melaporkan identiti pasukan yang bakal ditempuh mereka. Perisik melaporkan infomasi berkaitan dengan pasukan yang dihadapi mereka.

Generalnya adalah nafsu. Yang dicipta Allah bagi setiap hamba-hambaNya sebagai pendorong untuk berbuat keburukan. Dengannya juga Allah menguji sejauh mana kebenaran penghambaan manusia kepada Nya.”

Nyatakan aku sifat-sifatnya! Agar mudah aku berperang dengannya.” Panglima itu mengarah. Perisik terus mengkhabarkan sifat-sifat pasukan yang bakal diperangi.

Sifat-sifat utamanya adalah kebodohan, kezaliman dan ketamakan sehingga ia cenderung kepada keburukan dan lari daripada kebaikan. Ia tidak menyukai kesulitan, oleh sebab itu ia membenci apa saja taklif (pembebanan).” Lapor perisik tersebut.

Pasukan!!! Angkat pedang kamu. Kita mara menempuh mereka. Kita cantas mereka dengan sifat unggul bagi kita. Mujahadah!! Ya!! Kita tempuh lautan pasukan durjana itu dengan mujahadah! Biar dia tunduk patuh kepada Penciptanya. MARA!!!!!!!!!!!!”

Dan aku tidak membebaskan diriku(dari kesalahan), kerana sesunggunya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan...” [ Yusuf :: 53 ]

Rasulullah s.a.w bersabda; ”Janganlah kalian melakukan kezaliman kerana kezaliman adalah kegelapan hari kiamat dan janganlah kalian bersikap tamak, kerana tamak telah membinasakan orang-orang sebelum kalian yang membawa mereka kepada pertumpahan darah mereka dan menghalalkan apa yng diharamkan bagi mereka.”
[ diriwayatkan Muslim dan Imam Ahmad oleh Jabir ibn Abdullah ]

Lantas mereka mencantas setiap musuh dari pasukan Nafsu dengan sifat mujahadah. Musuh mulai tumpas satu persatu. Kebangkitan musuh ditewaskan dengan ketakutan hari akhirat. Mujahadah dikuatkan dengan keyakinan pada yang dikhabarkan Allah melalui firmanNya,
Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?” [ Al- Furqan :: 43 ]

Teramat rugilah manusia yang tewas pada hawa nafsunya! Yang menjadikan nafsu sebagai rajanya!” laung Sang panglima bersemangat.


-------------------------------

Pasukan musuh berjaya ditawan. Mereka tunduk patuh pada Panglima yang memimpin pasukan kebenaran. Sedikitpun Panglima tidak lepas pandang terhadap mereka. Sesungguhnya Nafsu akan mengkhianatinya jika dia tenang dengannya.

”...Allah tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” [ Ali Imran :: 117 ]

-------------------------------

Tiba-tiba mereka diserang oleh musuh yang tidak dapat dilihat mereka. Semangat mereka menjadi pudar. Dilihat tawanan nafsu mula melonjak-lonjak untuk bangun menentang. Panglima dengan pantas memanggil perisiknya.

Khabarkan padaku. Dengan musuh apakah yang kita berhadapan? Musuh ini tidak berkuasa tetapi dengan mudah merebahkan segelintir pejuang kita dan membangkitkan kekuatan pada nafsu. Khabarkan padaku.” tanya Panglima.

Perisik menghadap dengan resah. ”Ini musuh kita yang paling utama Tuan!! Ini adalah pasukan dari Syaitan!!”

Panglima bertanya lebih lanjut, ”Terangkan padaku akan keadaannya. Supaya lebih mudah aku berperang dengannya! Sungguh musuh utama ini telah lama berazam untuk menumpaskan iman setiap manusia.”

Perisiknya menjawab, ” Musuh utama kita, syaitan, mempunyai peranan penting dalam pertempuran yang sengit antara panglima dengan nafsu. Meskipun ia tidak mempunyai kekuasaan ke atas panglima namun ia memanfaatkan kebodohan nafsu untuk memenuhi hasratnya. Syaitan menghiasi nafsu dengan pemikiran-pemikiran dan tindakan-tindakan yang dikehendakinya. Dia selalu mengulangi godaan dan hasutannya sehingga nafsu melakukannya. Dia tidak akan berhenti berusaha sehingga panglima tunduk patuh padanya.

Tidak!! Musuh ini akan aku tentang habis-habisan!! Hingga ke akhirnya!! Pasukan..Mara!!” laung panglima. Pasukan panglima mara menghadapi musuh yang tidak dapat dilihat. Pasukan musuh Nafsu mula bangkit memberontak. Kelihatan pengaruh kuasa musuh daripada kesan harta mula menyelubungi pasukan panglima.

Harta tidak dapat memberikan manfaat jika aku tidak menggunakannya di jalan Allah!! Tidak akan aku tinggalkan pengaruh kesan harta dalam pasukanku!!

Pengaruh kuasa harta mula menghindar. Nafsu berterusan melonjak. Mereka memberontak terhadap para pejuang yang menekan mereka.

Dalam peperangan yang sengit itu, datang wakil dari pengaruh pangkat. Ia menawarkan darjat kebesaran dan kemuliaan kepada Panglima. Ya, sekadar supaya panglima berundur dari peperangan itu.

Pangkat, darjat dan kemuliaan tiada ertinya jika dia menjauhkan aku dari Allah. Sungguh! Kemuliaan hanya datang melalui pandangan Nya pada hamba yang bertaqwa.. Itulah sebaik-baik pangkat yang diinginkan, yang kami berlumba-lumba untuk mendapatkannya!!”

Wakil dari pengaruh pangkat melarikan diri. Sungguh kuat keyakinan Sang Panglima pada janji Allah. Mereka bertungkus lumus menghadapi peperangan yang kian sengit itu. Iman perlu mereka pertahankan. Tiada istilah kalah harus wujud. Tiada.

-------------------------------------------

Peperangan kian sengit. Panglima kembali memanggil perisik ilmunya. ”Khabarkan kepadaku lagi akan musuh utama ini.”
Perisik ilmu itu mengkhabarkan ayat-ayat Al Quran yang dipelajarinya;

Allah S.W.T berfirman ;
Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka.” [ An Nisa :: 120 ]

”...Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah)...” [ Al ’Ankabut :: 38 ]

Maka datang pengaruh pasangan ajnabi yang menawarkan bantuan dan kenikmatan. Pengaruh ajnabi ini memperlihatkan kelembutan dan kesenangan. Panglima menjadi kaget ketika beberapa pejuang kian menjauh dari barisan peperangan. Lantas membacakan ayat Al-Quran yang bermaksud,

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya...” [ Al A’raf :: 20 ]


Sesungguhnya pasangan terbaik adalah pasangan yang halal untukku. Yang dengannya aku menjadi lebih dekat kepada Tuhanku. Nyah segala tipu daya syaitan ke atasnya!!” laung panglima menggetarkan pengaruh dari pasangan ajnabi. Mereka hindar dari para pejuang yang tekad yakin akan ketentuan Tuhannya.

Panglima kembali membaca,

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar..” [ An Nur :: 21 ]

Barisan para pejuang panglima memperkukuhkan kekuatan. Mereka gigih berusaha menundukkan nafsu dan mencantas setiap serangan bisikan dan godaan syaitan. Mereka berusaha mempertahankan iman mereka.

-----------------------------

Peperangan mulai sedikit redha. Barisan para pejuang tetap kukuh melakukan pertahanan. Tembok yang kuat mula dibina. Mereka bertungkus lumus berusaha untuk menghindar dari serangan musuh yang akan terus menyerang.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dngan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selalin) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.”
[ At Taubah :: 111 ]


Para pejuang merasakan kemanisan dan keindahan setiap kali selesai daripada berjaya dalam perjuangan untuk mempertahankan iman. Janji-janji Allah membelai mereka dengan lembut. Sungguh mereka yakin pada kepastian urusan akhirat yang dikhabarkan Allah.

------------------------------

Dalam khemah, Sang Panglima menyucikan dirinya dari sisa-sisa dosa dan debu mazmumah. Dia membuka baju perisai perangnya dan meperlihatkan identitinya. Panglima yang bernama Hati. Hati lantas sujud menyembah dan melafazkan syahadah untuk memperbaharui pengakuannya.
Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.”
Hati adalah mukallaf di sisi Allah s.w.t. Dengan menundukkan perasaannya kepada hati hingga membuat kecintaannya hanya kerana Allah dan tidak mencintai sesuatu kerana dirinya sendiri. Hati adalah tempat tinggalnya iman.

Hati adalah unit terpenting dalam diri manusia, raja yang ditaati dan selainnya adalah pengikutnya baik akal, nafsu dan seluruh anggotanya. Semuanya adalah bala tenteranya yang melaksanakan apa yang diperintahkannya dan meninggalkan apa yang dilarangnya.

Hati mengambil keputusan dan keputusan itu dilaksanakan atas perintahnya. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
”...Ingatlah! Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jikalau ia rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati.”
[ riwayat Muttafaqun alaihi dari An Nu’man ibn Basyir ]



*************************************************
Share/Bookmark

Al azwaju shalihah






****************************
Cerpen : Al azwaju shalihah
****************************


Nizam menangis semahu-mahunya. Menangis melepaskan segala apa yang menyesakkan hatinya. Hatinya terasa perit yang bersangatan. Sukar baginya untuk menerima sebuah kenyataan. Dalam bilik itu, Nizam melepaskan segalanya, tidak mungkin lagi dia mampu berpura-pura tersenyum tenang.

-----------------------

Nizam mencium dahi isteri yang baru dinikahinya. Isteri yang halal baginya. Dia merasakan perasaan nyaman yang menyenangkan saat menatap wajah isterinya. Dia bersyukur kerana dikurniakan Allah akan isteri yang sangat menyenangkan hatinya.

”Abang..nanti kita bertilawah sama-sama ye? Abang cuba periksa bacaan Safi,” tanya Safi sambil membaringkan kepalanya ke riba suaminya. Nizam mengangguk sambil mengusap lembut ubun-ubun isterinya yang masih bertelekung. Dia mencium dahi dan kelopak mata isterinya. Dia sangat-sangat bersyukur kerana isterinya mahu ikut bangun menunaikan solah tahajud dengannya. Al azwaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang sholeh merupakan antara petunjuk kebahagiaan yang dipandukan oleh Ibnu Abbas r.a.

-------------------------

Terasa lututnya kian melemah untuk terus berdiri. Nizam tetap juga menangis. Tangannya diraupkan ke muka. Perlahan, dia berdoa agar hatinya dicekalkan oleh Allah untuk menerima kenyataan ini. Berdoa supaya perit yang terasa amat menyesakkan,sirna dari hatinya. Dalam doanya, dia berterusan menangis.

------------------------

Setelah selesai memeriksa akaun perniagaannya, Nizam bersegera mengambil wuduk dan menunaikan solah taubat dan hajat dengan khusyuk sebelum bersiap untuk tidur. Sesudah memberi salam, dia terlihat isterinya yang telah nyenyak tidur. Dia tersenyum dengan pandangan kasih pada isterinya. Tiba-tiba, dia teringat bahawa ada sesuatu yang ingin dilakukannya sebelum tidur. Dia menuju ke meja dan mencapai kertas yang tercatat sesuatu. Dia cuba menghafalkan kandungan yang ditulis olehnya. Malam itu, Nizam terlena di atas meja bersama catatan di tangannya.

Awal pagi itu, Safi bangun sambil menggosokkan matanya. Dia hairan kerana suaminya tidak mengejutkannya seperti biasa. Bertambah hairan apabila suaminya tiada di sisinya. Rasa cemasnya segera hilang apabila melihat suaminya sedang tidur pada meja tulis. Safi bingkas bangun untuk menggerakkan suaminya, dan terlihat catatan yang terhimpit di tangan Nizam. Safi cuba memahami catatan itu dan matanya basah secara tiba-tiba.

Safi mengetahui suaminya tidak meminati muzik dan tidak tahu menyanyi. Pernah sekali Safi memberitahu Nizam bahawa dia sukakan sebuah lagu yang didengarinya. Hatinya sangat tersentuh apabila melihat catatan yang terhimpit di tangan suaminya adalah lirik lagu yang digemari olehnya.

------------------------

Nizam baring dan berusaha menahan emosinya. Dia mula mengaturkan kembali nafasnya dan menghilangkan isak tangisnya. Dia insaf pada dirinya yang lemah menanggung ujian. Tidak henti-henti hatinya berdoa agar dicekalkan dan dipermudahkan Allah akan apa yang telah menimpa dirinya. Walau begitu, tetap saja air matanya terus mengalir keluar dari matanya.

----------------------------------

Safi menggigil. Suhu badannya meningkat. Berulang kali keluhannya pada Nizam menyatakan dirinya sangat sejuk. Hanya Allah sahaja yang mengetahui cemas yang menyelubungi hati Nizam. Dia menyelimutkan isterinya, menyuapkan air dan ubat. Nizam menjadi tidak senang duduk dan sentiasa berjalan ulak alik di sisi Safi. Safi menolak bila diajak untuk ke hospital. Safi mengatakan dirinya hanya terkena demam biasa. Safi tersenyum melihatkan kecemasan yang melanda suaminya.

” Kenapa Safi senyum? Jangan buat abang risau.” Nizam mengerutkan dahi.
” Abang..kenapa lah tiap-tiap kali Safi sakit, mesti abang jadi macam ini. Cemas tak tentu pasal. Safi demam biasa je abang. Macam mana lah kalau nanti jadi apa-apa kat Safi. Macam mana dengan abang?” Safi masih tersenyum. Wajah pucatnya tetap ayu dipandang Nizam.
“Dah..! jom ke hospital. Kenapa takut sangat nak jumpa doctor dengan makan ubat? Bukannya doctor tu makan orang. Perangai macam budak-budak. Abang pergi ambil baju salin.” Nizam cemas.
“Taknak!” Safi kembali memejamkan matanya.

Keesokannya, Safi sihat seperti biasa. Menyediakan sarapan sambil mengejek-ngejek suaminya yang cemas semalaman.

“Demam kura! Lain kali abang taknak peduli Safi lagi.” dengus Nizam.
”Eleh..kata je taknak peduli,tapi bila Safi sakit,abang cemas tak tentu pasal..hehe. wekk.” Safi mengejek sambil mendekatkan mukanya kepada muka Nizam yang berpaling. Nizam melepaskan roti di tangannya lalu mencapai pipi Safi dan mencubitnya. Ditariknya Safi mendekat kepadanya, dielus lembut rambutnya.

”Kalau Safi sakit lain kali, Safi kena dengar cakap abang. Jangan buat abang risau lagi ye?” Nizam bertutur lembut. Perkataannya disulami dengan rasa kasih yang tulus.
Safi mengangguk. Dia memahami kehendak suaminya. Tapi kemudian menjauhkan dirinya dari Nizam.
”...tapi Safi suka tengok Abang risaukan Safi..hee” ejek Safi sambil berlari-lari anak.

--------------------------

Nizam bangun dan mencapai mushaf al Qur’an. Dibacanya ummul kitab dan dibukanya pada helaian surah At Taubah,surah kegemarannya. Dilapkan air matanya pada tuala kecil dan meneruskan bacaan. Perlahan, air matanya mulai mengering dan isak tangisannya berkurang. Dengan rasa tenang, Nizam cuba memahami sedikit maksud ayat-ayat yang pernah dipelajarinya. Sesekali bacaannya terhenti dan diteruskan kemudiannya.

---------------------------

“Allah s.w.t dengan kerahiman Nya telah mengurniakan pelbagai nikmat pada hambaNya. Dan nikmat yang paling mahal adalah nikmat iman dan Islam. Dengan Iman, kita mengenal siapakah Rabb yang telah menjadikan kita. Dengan Islam, kita memahami petunjuk jalan hidup yang dikehendaki Allah pada umat manusia.

Hati yang beriman, sentiasa cinta dan rindu kepada penciptaNya. Hati yang beriman sentiasa mengawasi tingkah lakunya. Hati yang beriman sentiasa berusaha memperbaiki hubungannya dengan Allah s.w.t. Hati yang beriman sentiasa beramal dengan perintahNya yang akan menjauhkannya dari azab dan murka-Nya. Hati yang berima sentiasa mengharap rahmat dan ampunanNya.

Bersyukurkah kita akan nikmat paling mahal yang dianugerahkan Allah kepada kita? Adakah hati-hati kita sentiasa berzikr mengingatiNya dengan rasa takzim akan kebesaranNya? Pernahkah lafaz-lafaz bicara kita mengagungkan kehebatan Nya? Hati-hati kita benar-benar berserah pada ketentuanNya, menyembah pada Allah yang Esa? Sesungguhnya tiadalah yang kekal hanya melainkan Allah yang Maha Kuasa.”

Nizam menyudahkan tazdkirahnya. Safi mencapai kitab Riyadh as Solihin dalam tangan suaminya untuk disimpan. Safi bergerak dan duduk bersandar di dada suaminya. Dicapai tangan suaminya dan digenggam erat tangan suaminya.

”Safi bersyukur pada Allah sebab dikurniakan pasangan hidup seperti abang. Jiwa Safi tidak pernah kosong dari kasih sayang Allah. Abang membimbing Safi menjadi lebih dekat padaNya.” Safi bersuara lembut.

Nizam mencium ubun-ubun isterinya. ”Abang pun bersyukur sebab dikurniakan Safi sebagai isteri. Safi sebaik-baik pendorong pada abang. Safi menurutkan kemahuan abang untuk lebih bersemangat mengenalNya. Safi adalah sebaik-baik kesenangan dunia pada Abang. Alhamdulillah.”

----------------------

Nizam menyudahkan bacaannya. Dia menutup dan menyimpan mushaf al-Qur’an. Nizam kembali duduk ke atas sejadahnya dan mula beristighfar. Jiwanya terasa damai dan tenang. Rasa perit yang menyesakkan kini berubah menjadi rasa mengharap yang sangat tinggi pada rahmat Allah dalam hatinya. Nizam berterusan beristighfar sambil membenihkan rasa-rasa pengharapan . Benih pengharapan yang ingin dicambahkan dalam doanya.

-----------------------

Nizam marah. Dia beredar meninggalkan bilik dengan membawa bantal dan selimut. Disusun bantalnya di atas sofa halaman ruang tamunya. Nizam terus merebahkan badannya dan memejamkan mata. Hatinya berulang kali beristighfar untuk mengurangkan rasa marahnya. Dia berusaha mengosongkan fikirannya dan memejamkan matanya.

”Abang..kenapa abang diam? Bagitahu Safi apa yang buat abang marah? Safi tak tahu apa kesalahan Safi kalau abang diam. Abang..jangan begini abang. Mari kita tidur di bilik.” Safi mengusap-ngusap lengan suaminya. Safi sangat memahami tabiat suaminya yang tidak mahu bersuara langsung ketika marah. Tapi dia juga tahu yang suaminya akan menjelaskan segalanya ketika hatinya tenang. Safi berusaha menenangkan hati suaminya. Namun dia resah melihatkan suaminya yang seakan tidak memperdulikannya.

”Abang...jangan buat Safi begini.” Safi mencapai telapak tangan suaminya dan meletakkannya di pipinya. Diusap tapak tangan suaminya lembut pada pipinya. Safi cuba bertahan namun air matanya tetap menitis keluar dan membasahkan tapak tangan suaminya.

Dia sedikit tersentak apabila tangan suaminya bergerak perlahan mengesat air matanya. Dilihatnya wajah suaminya yang memberi perhatian mengelap titisan air matanya.

“Safi..kan banyak kali abang dah melarang Safi berchatting dengan lelaki yang Safi tak kenal. Safi dah punya suami..” Nizam memulakan bicaranya.

”..tapi Safi tak buat apa-aa...” jawapan Safi terhenti apabila Nizam menutup mulutnya lembut. Nizam terus mengesat air mata Safi yang masih mengalir.

”Abang faham Safi seorang isteri yang baik. Abang juga tahu Safi sering berchatting dengan kawan-kawan sepengajian dengan Safi. Sedikitpun Abang tak salahkan Safi. Tetapi kadang-kadang abang lihat Safi layan juga lelaki asing yang mahu berchatting sekadar suka-suka. Walaupun abang tak sangsi dan ragu pada kejujuran Safi, tapi abang tidak suka perkara begitu. Abang cemburu. Dan abang tidak senang biarkan rasa cemburu abang ini terpendam begitu sahaja dan membiarkan Safi dengan kebiasaan yang Abang tidak suka. Abang suami Safi. Abang mahu meredhai seluruh perlakuan Safi, sedikitpun abang taknak simpan rasa tidak senang pada Safi. Bukan ke Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Fatimah r.ha,” Hai anakku, tidakkah engkau mengetahui bahawa kerelaan seorang suami itu juga merupakan kerelaan Allah dan kemarahan seorang suami itu juga merupakan murka Allah. Hai anakku, seorang perempuan yang beribadah menyerupai seperti ibadahnya Maryam putri Imran, Kemudian suaminya tidak merelakan kepadanya, maka Allah tidak akan menerima amal ibadah darinya. Hai anakku, amal yang paling utama bagi para wanita ialah ketaatan mereka kepada suaminya....””

Nizam memegang ubun-ubun isterinya,” Abang marah kerana nak Safi faham kehendak abang sebab abang sebelum ini dah pernah menegur Safi, maafkan abang.”

Safi terus menangis, dia menganggukkan kepalanya. ”Safi faham abang. Safi akan lebih berhati-hati pada masa akan datang. Maafkan Safi abang.”

Nizam tersenyum,”Abang maafkan. Kasihannya isteri abang ni kena buli..hee”

Safi terus menumbuk-numbuk dada Nizam. Mukanya memerah dan bingkas bangun dan berlari-lari anak menuju ke bilik, ”Abang tetap kena tidur dekat luar! Padan muka abang.”
”Aikk? Pulak?” sahut Nizam sambil ketawa kecil,lucu melihatkan telatah Safi.

---------------------------

Nizam semakin larut dalam zikirnya. Dia menyerahkan dirinya secara total kepada kehendak takdir Allah. Dia menerima segalanya dengan rasa rendah diri sebagai hamba yang lemah. Keluasan rahmat dan kasih sayang Allah tiada bertepi baginya. Pengharapan demi pengharapan telah menghidupkan hatinya daripada kegelapan akibat kesedihan dan kesengsaraan perasaannya. Aqidahnya meyakini bahawa jodoh, rezeki dan ajal sudah ditentukan Tuhannya.

Nizam membuka matanya yang redup. Dia bangun dan memperbaharui wudhunya. Nizam kembali ke biliknya dan mula berdiri untuk menunaikan solah sunat. Hatinya kini cuma mengharap pada keampunan dan rahmat Allah s.w.t. Memohon agar dilindungi Allah daripada syaitan yang direjam, Nizam memulakan solahnya.

---------------------------

Nizam pulang agak lewat daripada biasa. Selepas Isyak, dia bermesyuarat dengan para ahli jemaah masjid. Pelbagai isu dan hal yang telah dibangkitkan. Tidak kurang juga laporan daripada usaha yang telah dibuat. Mesyuarat diakhiri dengan doa dan sedikit muzakarah dengan sahabatnya.

Nizam membaca sms yang diterimanya, ” Abang, Safi nak pergi hantar ummi sekejap. Ada hal kata ummi. Abang izinkan?”
”Abang izin. Safi nanti boleh bermalam di rumah ummi,dah lewat. Esok abang singgah ambil Safi.”

Nizam berhenti di persimpangan lampu isyarat. Di sebelahnya dilihat sebuah kereta yang dipenuhi penumpang remaja. Nizam beristighfar apabila melihat pasangan muda lelaki perempuan sedang berpeluk dan bercium. Pastinya belum bernikah kerana umur yang masih bersekolah. Nizam membunyikan hon sebagai isyarat membantah perlakuan itu dan kenderaan itu terus memecut pergi. Matanya basah, hatinya geram. Sungguh para muda mudi yang bergelumang dengan maksiat tidak menyedari betapa pedih dan dahsyatnya azab Allah. Cahaya petunjuk terhijab lantaran hati yang hitam dengan dosa. Sebab itu sering dikatakan mereka kepada orang yang ikhlas menegakkan syariat Allah sebagai penyibuk dan macam-macam lagi. Hakikatnya, para pendakwah ini sama sekali tidak ingin para pemuda ini menyediakan dirinya untuk diazab Allah, menjadi bahan bakar nerakaNya. Kasih sayang manakah yang lebih unggul daripada menyelamatkan seseorang manusia yang jauh dari perintah Allah supaya mendekati, mengenal Allah. Sungguh, hidayah itu hanya milik Allah. Nizam beristighfar dan berdoa.

Nizam menerima panggilan daripada Safi.
”Assalamu’alaikum.. abang dah sampai? Safi dah tiba dekat rumah ummi. Abang, sebelum pergi,Safi dah buat bubur kacang. Abang makanlah ye? ”
”Wa’alaikumussalam Safi..abang dah nak sampai. Insya Allah,nanti abang makan lah bubur kacang Safi yang sangat sedap tu. Amboi...sampai tak sempat abang nak jawab salam..hee” usik Nizam.
” Ye lah, sebab Safi rasa tak sedap ha...”
Panggg!! Cermin depan kereta Nizam tiba-tiba retak. Entah dari mana kereta anak-anak muda tadi memecut datang dan melemparkan benda keras. Nizam bertakbir lantas memperlahankan keretanya untuk berhenti di sisi jalan. Nizam beristighfar panjang.
”Abang...abang...abang?!!! kenapa ni bang?!! Abang?!!..huhuu. kenapa ni bang?”
Nizam tersedar yang isterinya masih di dalam talian.
”Bawa berselawat Safi..bertenang.. Abang ok. Alhamdulillah. Cuma ada benda keras yang kena depan cermin kereta ni tadi. Takde apa-apa yang jadi, cermin je yang retak sikit. Abang pulang dulu ye? Nanti abang telefon lain di rumah.” Nizam menenangkan Safi.
”Ye abang. Bawa elok-elok. Nanti abang telefon Safi ye bila dah pulang?”Kedengaran Safi masih lagi risau. Suaranya masih terisak-isak menangis.
”Insya Allah,jangan menangis,nanti ummi risau. Assalamu’alaikum.” Nizam meletakkan telefon. Dilihatnya kawasan cermin hadapan yang retak seketika dan kembali meneruskan perjalanan.

Setibanya di rumah, Nizam berjalan ke dapur sambil menelefon isterinya. Dilihatnya bubur kacang yang disediakan masih panas. Nizam menggelengkan kepala apabila tiga panggilannya tidak dijawab. Mungkin Safi sedang solah untuk menenangkan dirinya. Begitulah kebiasaannya.

------------------------

”Perniagaan abang ditimpa masalah sikit. Ujian dari Allah untuk kita. Mungkin kita terpaksa susah sikit lepas ni. Abang pun mungkin akan sibuk sikit untuk selesaikan masalah ini. Safi ok?” Nizam bertanyakan isterinya.
”Alhamdulillah abang, Safi ok. Jangan lah Abang risaukan tentang Safi. Safi faham masalah abang. Apa yang dapat Safi bantu, Safi bantu. Susah senang, kita sama-sama, abang. Sentiasa harap dan doa pada Allah.” Safi berbicara dengan lembut.
”Masya Allah..terima kasih Safi. Maafkan abang kalau ada kekurangan, ada kelemahan abang selama ini dalam menjadi suami Safi.. abang..”
Safi memintas, ”Jangan cakap begitu,abang. Abang suami Safi, jodoh ketetapan Allah pada Safi. Jangan abang lemah semangat. Susah abang, susah Safi juga. Safi bersyukur sangat kerana dikurniakan abang sebagai suami Safi. Lagipun Safi sayangkan abang kerana Allah. Takkan goyah hati Safi dalam mentaati abang, suami Safi. Abang kena kuat!” kata Safi mendorong Nizam.

“Susah senang kita bersama.”

------------------------

Nizam menghabiskan bubur yang disediakan isterinya. Sedap. Isterinya seringkali tersenyum indah saat dia memuji masakannya. Nizam mencapai telefonnya. Dia bimbang mengganggu isterinya jika dia masih larut dalam bersolah. Dia yakin isterinya akan menelefonnya setelah selesai.

Seketika, hatinya menjadi sebak. Tubuhnya bergementar. Nizam berasa hairan dengan perubahan dirinya seketika tadi namun dia kembali membersihkan mangkuk bubur yang dihabiskannya.

Nizam menghantar pesanan sms kepada isterinya, ” Sedapnya bubur kacang Safi. Licin abang makan. Agaknya ada tak bubur begini di jannah nanti? Hee..Telefon abang ye nanti.”
Nizam tersenyum membaca sms yang ingin dikirimnya. Nizam juga agak risau bimbangkan isterinya masih resah akan kejadian sebentar tadi. Selesai berwudhu, telefon Nizam berdering.

“Zamm…” kedengaran suara ibunya yang terisak-isak menangis. Rasa cemas segera menyelubunginya tetapi Nizam cepat-cepat beristighfar.
“Ke..kenapa..um..ummi?” Nizam gugup.
“Safi, zam.. Safi terlibat dengan kemalangan. Huu..”
”Innalillah hi wa inna ilai hi rajiun...macam mana keadaannya ummi? Macam mana dengan Safi? Macam mana dengan dia?” tanya Nizam cemas.
“ Pak Arshad bagitahu, Safi dah meninggal dalam perjalanan ke hospital. Sabar ye Zam..anak ummi..huu..”

Nizam merasakan dadanya begitu sesak. Nafasnya tercungap-cungap. Seakan udara di sekelilingnya telah menjauh darinya. Telefon terlepas dari genggamannya. Nizam terduduk. Air mata mula bercucuran mengalir.
”Ya Allah..Safi ku..Ya Allah..”

---------------------

Selesai bersolah dan berdoa. Nizam memulakan perjalanan menuju ke hospital. Sebelumnya, dia singgah mengambil ibunya dan berusaha menenangkan ibunya yang telah kehilangan menantu yang dikasihinya. Ibunya menceritakan kepada Nizam apa yang berlaku dan apa yang diceritakan Pak Arshad yang tinggal di kawasan kejadian di dalam perjalanan mereka.

Ibunya memberitahu bahawa selepas kejadian kereta Nizam dibaling benda keras, Safi menjadi begitu risau dan meminta izin dan bersalaman dengan ummi untuk pulang melihatkan keadaan Nizam. Tetapi dalam perjalanan pulang ke rumah, Safi cuba mengelak kereta yang tiba-tiba membelok masuk ke simpang. Akibatnya Safi terbabas melanggar sepohon pokok.

Nizam tabah mendengarnya.

Cerita dari Pak Arshad pula menyatakan sebelum Safi menghembuskan nafas terakhir,dia meminta Pak Arshad mengambil telefon di dalam beg bimbitnya. Safi sempat membaca sms terakhir yang dikirim dari Nizam dan tersenyum indah. Dia berpesan kepada Pak Arshad agar memberitahu Nizam untuk memaafkan segala kesalahan dan meredhai dia sebagai isterinya. Dia menghembuskan nafas terakhir dengan lafaz syahadah.

Dalam ketabahannya,air mata Nizam mengalir perlahan.

--------------------------

Perlahan, Nizam membuka kain putih yang menutupi wajah isterinya. Dia mengucupi dahi jenazah isterinya dan memandang wajah bersih Safi. Nizam mengatur nafas dan tersenyum indah memandang jenazah isterinya.

” Allah mengetahui bahawa abang telah meredhai Safi sebagai isteri yang solehah pada abang. Bagi abang, Safi adalah sebaik-baik kesenangan dunia. Safi telah mentaati perintah Allah dengan sabar melayani segala kehendak suami Safi. Abang memaafkan segala kesalahan Safi sama ada yang tersurat mahupun tersirat. Abang meredhai Safi pergi. Sungguh, Safi seorang isteri yang terbaik pada abang. Semoga Safi tergolong dalam golongan mereka yang beriman dan beramal soleh. Berbahagialah duhai isteriku,Safi..”

Rasulullah s.a.w bersabda ; ”Sesiapa saja wanita yang meninggal dunia dan suaminya meredhainya maka ia masuk syurga.” (Tirmidzi, Ibnu Majah, Hakim)

----------------------

”Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.” - Ali Imran : 139

Kasih sayang bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi, kasih sayang menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak duri penghidupan. – Hamka.

Berbahagialah orang-orang yang beriman.
Penghujungnya adalah kebahagian, bagi setiap yang beriman pada Allah dan Rasul Nya.

----------------------------------------------- tamat

komennya dari pembaca : flashback banyak sangat..tak tersusun

ahmad fikry: sesajer buang tebiat kejap.
Share/Bookmark

Begin : Al Azwaju Shalihah

Salam..

Bismillahirrahmannirrahim.

Cubaan pertama dalam mempercantikkan lagi gaya bahasa dalam tulisan. Moge dapat meningkatkan lagi kemahiran menulis dan kualitas hasilnya. Ameen..
























********************************

Kelihatan murid-murid sekolah berlari-lari pulang ke kelas masing-masing setelah kedengaran loceng yang menandakan tamatnya waktu rehat. Sebahagian murid berjalan bersama-sama mengiringi gurunya. Sebahagian pula sibuk membersihkan kasut yang kotor dengan tanah akibat asyik bermain di padang. Hiruk pikuk murid-murid sekolah yang berlumba-lumba tidak mahu terlewat masuk ke dalam kelas sebelum kedatangan guru mereka. Kebisingan yang rutin setiap kali loceng bermula dan tamatnya waktu rehat.

Safi mula bangun mengemaskan bekalnya setelah guru-guru perempuan yang lain beransur menuju ke bilik guru. Cikgu Balqis kemudiannya sempat bertanyakan pada Safi dengan suara yang agak kuat, “ Safi!! Esok Kak Balqis bawa ye kain-kain tudung tu. Safi tengok lah yang mana berkenan nanti.”

Safi tersenyum sambil menyahut dari jauh, “Baiklah, Kak Balqis. Insya Allah!”. Kelihatan Cikgu Zainab menepuk-nepuk bahu Cikgu Balqis sambil tertawa,”Sudah-sudah la tu!” Safi turut tersenyum melihatkan gelagat sekumpulan guru perempuan tersebut.

-------------------------------------------------

Safi berjalan menuju ke arah bilik guru. Dilihatnya hanya tinggal 3 org guru sahaja yang berada dalam bilik guru tersebut. Cikgu Ah Hwa yang sedang sibuk menyediakan peralatan mengajarnya. Mungkin dia sedang bersiap-siap untuk mengadakan pembentangan kerana Safi melihat Cikgu Ah Hwa menggulungkan beberapa helai kertas tebal. Cikgu Zainal pula sedang bersandar menghadap laptopnya dan Cikgu Asmah yang sedang meneliti beberapa buku latihan pelajar. Seperti biasa, Safi menuju ke ruang tempat duduknya dan menyiapkan peralatan dan bahan pengajarannya. Safi masih mempunyai masa 45 mint sebelum kelasnya bersama murid-murid Kelas 3 Murni bermula. Sesekali Safi menahan dan melepaskan nafasnya seketika kerana masih kekok dalam menjadi guru praktikal selama 2 bulan.

---------------------------------------------------

”Assalamu’alaikum murid-murid!”
”Wa’alaikummussalam wrh wbrkth Cikgu. Selamat petang Cikgu.” Suara murid-murid kelas 3 Murni bergema dengan lanjut. Safi kemudiannya meletakkan buku-bukunya di atas meja dan berjalan ke arah papan hitam untuk menuliskan sesuatu.

”Baiklah murid-murid. Hari ini Cikgu nak tanya murid-murid apakah cita-cita murid-murid semua. Besar nanti nak jadi apa? Doktor ke, peguam ke, engineer ke, Cikgu nak murid-murid semua beritahu Cikgu.” kata Safi sambil mencatat ”CITA-CITA SAYA” di papan hitam.

Safi menghadap wajahnya memandang semua anak muridnya. Dia cuba mengingati nama-nama yang akan dipanggil.

”Komala, apa cita-cita kamu?” tanya Safi sambil menudingkan jari ke arah seorang murid perempuan berbangsa India.

”Saya nak jadi doktor,cikgu.” jawab Komala.

”Kenapa Komala nak jadi seorang doktor?” tanya Safi bersahaja.

”Sebab doktor selalu tolong orang sakit. Emak saya sakit, cikgu. Nanti saya nak tolong emak saya.” jawab Komala bersungguh-sungguh.
”Ya ke? Emak Komala sakit apa? ” Safi mendekati muridnya setelah jawapan Komala menarik perhatiannya.
”Umm..Emak selalu baring saja, tak boleh bangun. Saya tak tahu sakit apa cikgu. Saya selalu tengok emak menangis.” Jawab Komala sambil menunduk. Tergambar perasaan sayu di wajahnya.
Hati Safi tersentuh. Perlahan dia menggosok-gosok lembut bahu Komala, dia faham mungkin Komala tidak tahu menerangkan jenis penyakit ibunya. Safi berniat untuk menziarahi emak Komala di rumah muridnya ini suatu hari nanti.

”Baiklah murid-murid. Kita semua sama-sama doakan supaya emak Komala cepat sembuh.” ucap Safi kepada semua muridnya. Komala kemudiannya duduk sambil mengusap perlahan matanya yang basah dengan tangannya.

Kemudian pertanyaan diteruskan ke murid-murid yang lain. Pelbagai jawapan yang diberikan. Kebanyakan murid-murid menjadikan ibu bapa mereka sebagai contoh. Safi agak terhibur dengan keceriaan telatah murid-muridnya menjawab soalan yang diberikannya. Terutama sekali adalah Hakim, murid yang paling aktif di dalam kelasnya. Safi sering melihat Hakim selalu mengusik temannya,Hanif. Berbeza dengan Hakim, Hanif pula adalah seorang yang pendiam dan pemalu. Namun kadang-kadang mengamuk marah apabila sering diganggu Hakim.

”Hakim!! Hakim pula nak jadi apa besar nanti? Nak jadi pengacau??” Tanya Safi sambil bercekak pinggang berpura-pura seperti seorang yang garang. Murid-murid tergelak apabila melihat Safi mengembungkan pipinya dan menjegilkan mata ke arah Hakim. Hakim sedikit terkejut namun terus tertawa dengan kelakuan Cikgunya.

Hakim menggaru-garu kepalanya. ”Hakim nak jadi apa ye cikgu? Hakim lupa lah..” Dia tersengih-sengih melihat Safi.
”Mana cikgu tau Hakim nak jadi apa? Hakim ingat lah balik..” Safi dengan nada mengejek.
”Haaaaaaaaa! Hakim nak jadi superman cikgu! Superman kuat!” Hakim terus berlari-lari di kawasan sekitar tempat duduknya dengan lakonan seperti Superman yang sedang terbang. Kemudian dia berhenti seketika memperlihatkan otot di lengannya. Keadaan menjadi riuh rendah dengan ketawa. Safi turut merasa geli hati namun cepat-cepat dia meminta agar murid-muridnya diam supaya keadaan terkawal.
”Mana boleh Hakim.. Superman tu cerita tipu lah. Tu lah, Hakim suka sangat tengok tv. Kita mana boleh jadi Superman.” kata Safi sambil tersenyum. Dia melihat Hakim kembali menggaru-garu kepalanya. Safi menyambung kembali pertanyaannya,” Hakim tak boleh jadi Superman, Hakim nak jadi apa?”
”Hakim nak jadi polis. Boleh naik motor besar! Vroom...vrooomm...!” Sekali lagi seisi kelas 3 Murni ketawa apabila melihat gimik membawa motosikal yang dilakonkan Hakim dengan bersungguh-sungguh. Safi tersenyum sambil mengagak yang Hakim sering menonton televisyen dan banyak terpengaruh dengan rancangannya. Safi kemudiannya meminta Hakim duduk dan beransur menanyakan soalan kepada Hanif yang duduk disebelah Hakim.

Safi bertanya lembut kepada Hanif, dia tahu Hanif adalah seorang murid yang pemalu. ”Hanif..cita-cita Hanif apa? Besar nanti Hanif nak jadi apa?” Kemudian Hanif bangun dan diikuti oleh Hakim. Hakim lantas berkata pada Hanif sambil menuding jarinya, ”Aku jadi polis, kau jadi lah orang jahat. Nak?” Hanif menepis jari Hakim sambil mencebik bibir. ”Kaulah jadi orang jahat, selalu kacau orang!”, dengus Hanif. Safi tertawa kecil melihat kelakuan sepasang kawan di hadapannya.

”Dah Hakim. Jangan ganggu Hanif. Nanti cikgu suruh Hakim berdiri dekat luar kelas,nak?... Biarlah Hanif jawab soalan cikgu dulu. Hanif, Hanif nak jadi apa besar nanti?” tanya Safi yang berminat untuk mengetahui jawapan dari muridnya itu.

”Em..Hanif..Hanif nak jadi macam Saiyidina Abu Bakar.” jawab Hanif. Safi terasa kelu sebentar. Jawapan ini adalah daripada muridnya yang berusia 9 tahun. Safi semakin berminat kerana jawapan sebegini adalah jarang-jarang sekali diberikan oleh kanak-kanak seusianya, dalam suasana zaman ini.

”Kenapa Hanif nak jadi macam Saiyidina Abu Bakar?” tanya Safi ingin tahu.

”Hanif nak jadi macam Saiyidina Abu Bakar sebab abang Hanif selalu cerita yang Saiyidina Abu Bakar ni orang paling rapat dengan Nabi(s.a.w). Saiyidina Abu Bakar orang baik..pahala dia lagi banyak dari bintang-bintang kat langit. Abang Hanif kata, Saiyidina Abu Bakar nanti masuk syurga. Hanif pun nak masuk syurga juga.” Jawab Hanif sambil tersenyum indah melihat cikgunya. Safi terdiam kagum dengan jawapan yang diberikan oleh muridnya itu. Inilah pertama kalinya dia menjumpai kanak-kanak yang mengimpikan menjadi Abu Bakar r.a dan akhirat melebihi fantasinya terhadap gula-gula,permainan dan kesukaan kanak-kanak yang lain. Sungguh dia terdidik dengan suasana asuhan yang Islami.

Safi tersedar dari lamunannya apabila Hakim tiba-tiba bangun dan menayangkan otot lengannya. ”Hakim pula nak jadi macam Saiyidina Umar. Abang Nizam kata Saiyidina Umar kuat!!”

Nizam..entah kenapa nama itu menyusup masuk menggetarkan naluri hatinya. Safi cepat-cepat sedarkan dirinya dari membisu dan bertanya kepada Hakim.

”Nizam tu siapa Hakim? Abang Hakim ke?” tanya Safi ingin tahu.
”Tak lah..abang Nizam tu abang Hanif. Hakim selalu pergi belajar mengaji malam-malam dekat rumah Hanif. Abang Nizam selalu baca cerita. Best tau cikgu.” kata hakim sambil menggayakan orang yang sedang bertumbuk. ”Hakim dengan Hanif selalu lawan dengan Abang Nizam. Kalah Abang Nizam dengan kami..”tambah Hakim dengan bangga.

Safi tersenyum, dia kembali melihat Hanif dan bertanyakan soalan. ”Oh, waktu malam, abang Hanif ajar mengaji ye? ” tanya Safi kepada Hanif yang menunjukkan ekspresi wajah yang masam kepada Hakim. Mungkin kerana cemburu perhatian cikgu padanya telah diganggu Hakim. Hanif sedikit lambat menjawab pertanyaan Safi.

”Tak..Ummi Hanif yang ajar. Abang Nizam selalu pergi masjid waktu malam. Mak kata abang pun pergi mengaji jugak. Kadang-kadang je Abang Nizam ajar kami mengaji Al-Quran.” jawab Hanif.

”Ye? Abang Hanif kerja apa?” tanya Safi lagi. Kemudian dia melihat Hanif seperti sedang berfikir.

”Um..ummi kata abang Nizam kerja jual barang.” Hanif berkata dengan yakin. Kemudian Hakim kembali menyampuk,”Abang Nizam dulu jual burger waktu malam, sedapp..!! Hakim selalu makan.” Hakim menaikkan ibu jarinya.

Kringgg!!...loceng yang menandakan tamatnya waktu pengajaran Safi dalam kelas 3 Murni. Safi beristighfar panjang. Dia sedar yang dirinya agak hanyut dalam mengetahui peribadi seorang insan bernama Nizam. Sekali lagi dia beristighfar kerana sebelumnya, tidak pernah dia mengambil kisah untuk mengenali lelaki. Tambahan pula dengan pengalaman yang telah dilaluinya. ”Nizam hanyalah insan biasa”, getus hatinya. Namun minatnya masih terpaut pada cara asuhan yang diberikan Nizam pada adik dan keluarganya.

”Baiklah murid-murid semua. Cikgu nak murid-murid semua tulis dalam buku tentang ’Cita-Cita Saya Bila Besar Nanti’. Esok Cikgu nak tengok. Ok? Assalamu’alaikum..” kata Safi mengakhiri pengajarannya dalam kelas 3 Murni pada hari itu.

-------------------------------------------------

**bersambung...

Share/Bookmark

Katogeri



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Powered by Blogger.