Begin : Al Azwaju Shalihah

Salam..

Bismillahirrahmannirrahim.

Cubaan pertama dalam mempercantikkan lagi gaya bahasa dalam tulisan. Moge dapat meningkatkan lagi kemahiran menulis dan kualitas hasilnya. Ameen..
























********************************

Kelihatan murid-murid sekolah berlari-lari pulang ke kelas masing-masing setelah kedengaran loceng yang menandakan tamatnya waktu rehat. Sebahagian murid berjalan bersama-sama mengiringi gurunya. Sebahagian pula sibuk membersihkan kasut yang kotor dengan tanah akibat asyik bermain di padang. Hiruk pikuk murid-murid sekolah yang berlumba-lumba tidak mahu terlewat masuk ke dalam kelas sebelum kedatangan guru mereka. Kebisingan yang rutin setiap kali loceng bermula dan tamatnya waktu rehat.

Safi mula bangun mengemaskan bekalnya setelah guru-guru perempuan yang lain beransur menuju ke bilik guru. Cikgu Balqis kemudiannya sempat bertanyakan pada Safi dengan suara yang agak kuat, “ Safi!! Esok Kak Balqis bawa ye kain-kain tudung tu. Safi tengok lah yang mana berkenan nanti.”

Safi tersenyum sambil menyahut dari jauh, “Baiklah, Kak Balqis. Insya Allah!”. Kelihatan Cikgu Zainab menepuk-nepuk bahu Cikgu Balqis sambil tertawa,”Sudah-sudah la tu!” Safi turut tersenyum melihatkan gelagat sekumpulan guru perempuan tersebut.

-------------------------------------------------

Safi berjalan menuju ke arah bilik guru. Dilihatnya hanya tinggal 3 org guru sahaja yang berada dalam bilik guru tersebut. Cikgu Ah Hwa yang sedang sibuk menyediakan peralatan mengajarnya. Mungkin dia sedang bersiap-siap untuk mengadakan pembentangan kerana Safi melihat Cikgu Ah Hwa menggulungkan beberapa helai kertas tebal. Cikgu Zainal pula sedang bersandar menghadap laptopnya dan Cikgu Asmah yang sedang meneliti beberapa buku latihan pelajar. Seperti biasa, Safi menuju ke ruang tempat duduknya dan menyiapkan peralatan dan bahan pengajarannya. Safi masih mempunyai masa 45 mint sebelum kelasnya bersama murid-murid Kelas 3 Murni bermula. Sesekali Safi menahan dan melepaskan nafasnya seketika kerana masih kekok dalam menjadi guru praktikal selama 2 bulan.

---------------------------------------------------

”Assalamu’alaikum murid-murid!”
”Wa’alaikummussalam wrh wbrkth Cikgu. Selamat petang Cikgu.” Suara murid-murid kelas 3 Murni bergema dengan lanjut. Safi kemudiannya meletakkan buku-bukunya di atas meja dan berjalan ke arah papan hitam untuk menuliskan sesuatu.

”Baiklah murid-murid. Hari ini Cikgu nak tanya murid-murid apakah cita-cita murid-murid semua. Besar nanti nak jadi apa? Doktor ke, peguam ke, engineer ke, Cikgu nak murid-murid semua beritahu Cikgu.” kata Safi sambil mencatat ”CITA-CITA SAYA” di papan hitam.

Safi menghadap wajahnya memandang semua anak muridnya. Dia cuba mengingati nama-nama yang akan dipanggil.

”Komala, apa cita-cita kamu?” tanya Safi sambil menudingkan jari ke arah seorang murid perempuan berbangsa India.

”Saya nak jadi doktor,cikgu.” jawab Komala.

”Kenapa Komala nak jadi seorang doktor?” tanya Safi bersahaja.

”Sebab doktor selalu tolong orang sakit. Emak saya sakit, cikgu. Nanti saya nak tolong emak saya.” jawab Komala bersungguh-sungguh.
”Ya ke? Emak Komala sakit apa? ” Safi mendekati muridnya setelah jawapan Komala menarik perhatiannya.
”Umm..Emak selalu baring saja, tak boleh bangun. Saya tak tahu sakit apa cikgu. Saya selalu tengok emak menangis.” Jawab Komala sambil menunduk. Tergambar perasaan sayu di wajahnya.
Hati Safi tersentuh. Perlahan dia menggosok-gosok lembut bahu Komala, dia faham mungkin Komala tidak tahu menerangkan jenis penyakit ibunya. Safi berniat untuk menziarahi emak Komala di rumah muridnya ini suatu hari nanti.

”Baiklah murid-murid. Kita semua sama-sama doakan supaya emak Komala cepat sembuh.” ucap Safi kepada semua muridnya. Komala kemudiannya duduk sambil mengusap perlahan matanya yang basah dengan tangannya.

Kemudian pertanyaan diteruskan ke murid-murid yang lain. Pelbagai jawapan yang diberikan. Kebanyakan murid-murid menjadikan ibu bapa mereka sebagai contoh. Safi agak terhibur dengan keceriaan telatah murid-muridnya menjawab soalan yang diberikannya. Terutama sekali adalah Hakim, murid yang paling aktif di dalam kelasnya. Safi sering melihat Hakim selalu mengusik temannya,Hanif. Berbeza dengan Hakim, Hanif pula adalah seorang yang pendiam dan pemalu. Namun kadang-kadang mengamuk marah apabila sering diganggu Hakim.

”Hakim!! Hakim pula nak jadi apa besar nanti? Nak jadi pengacau??” Tanya Safi sambil bercekak pinggang berpura-pura seperti seorang yang garang. Murid-murid tergelak apabila melihat Safi mengembungkan pipinya dan menjegilkan mata ke arah Hakim. Hakim sedikit terkejut namun terus tertawa dengan kelakuan Cikgunya.

Hakim menggaru-garu kepalanya. ”Hakim nak jadi apa ye cikgu? Hakim lupa lah..” Dia tersengih-sengih melihat Safi.
”Mana cikgu tau Hakim nak jadi apa? Hakim ingat lah balik..” Safi dengan nada mengejek.
”Haaaaaaaaa! Hakim nak jadi superman cikgu! Superman kuat!” Hakim terus berlari-lari di kawasan sekitar tempat duduknya dengan lakonan seperti Superman yang sedang terbang. Kemudian dia berhenti seketika memperlihatkan otot di lengannya. Keadaan menjadi riuh rendah dengan ketawa. Safi turut merasa geli hati namun cepat-cepat dia meminta agar murid-muridnya diam supaya keadaan terkawal.
”Mana boleh Hakim.. Superman tu cerita tipu lah. Tu lah, Hakim suka sangat tengok tv. Kita mana boleh jadi Superman.” kata Safi sambil tersenyum. Dia melihat Hakim kembali menggaru-garu kepalanya. Safi menyambung kembali pertanyaannya,” Hakim tak boleh jadi Superman, Hakim nak jadi apa?”
”Hakim nak jadi polis. Boleh naik motor besar! Vroom...vrooomm...!” Sekali lagi seisi kelas 3 Murni ketawa apabila melihat gimik membawa motosikal yang dilakonkan Hakim dengan bersungguh-sungguh. Safi tersenyum sambil mengagak yang Hakim sering menonton televisyen dan banyak terpengaruh dengan rancangannya. Safi kemudiannya meminta Hakim duduk dan beransur menanyakan soalan kepada Hanif yang duduk disebelah Hakim.

Safi bertanya lembut kepada Hanif, dia tahu Hanif adalah seorang murid yang pemalu. ”Hanif..cita-cita Hanif apa? Besar nanti Hanif nak jadi apa?” Kemudian Hanif bangun dan diikuti oleh Hakim. Hakim lantas berkata pada Hanif sambil menuding jarinya, ”Aku jadi polis, kau jadi lah orang jahat. Nak?” Hanif menepis jari Hakim sambil mencebik bibir. ”Kaulah jadi orang jahat, selalu kacau orang!”, dengus Hanif. Safi tertawa kecil melihat kelakuan sepasang kawan di hadapannya.

”Dah Hakim. Jangan ganggu Hanif. Nanti cikgu suruh Hakim berdiri dekat luar kelas,nak?... Biarlah Hanif jawab soalan cikgu dulu. Hanif, Hanif nak jadi apa besar nanti?” tanya Safi yang berminat untuk mengetahui jawapan dari muridnya itu.

”Em..Hanif..Hanif nak jadi macam Saiyidina Abu Bakar.” jawab Hanif. Safi terasa kelu sebentar. Jawapan ini adalah daripada muridnya yang berusia 9 tahun. Safi semakin berminat kerana jawapan sebegini adalah jarang-jarang sekali diberikan oleh kanak-kanak seusianya, dalam suasana zaman ini.

”Kenapa Hanif nak jadi macam Saiyidina Abu Bakar?” tanya Safi ingin tahu.

”Hanif nak jadi macam Saiyidina Abu Bakar sebab abang Hanif selalu cerita yang Saiyidina Abu Bakar ni orang paling rapat dengan Nabi(s.a.w). Saiyidina Abu Bakar orang baik..pahala dia lagi banyak dari bintang-bintang kat langit. Abang Hanif kata, Saiyidina Abu Bakar nanti masuk syurga. Hanif pun nak masuk syurga juga.” Jawab Hanif sambil tersenyum indah melihat cikgunya. Safi terdiam kagum dengan jawapan yang diberikan oleh muridnya itu. Inilah pertama kalinya dia menjumpai kanak-kanak yang mengimpikan menjadi Abu Bakar r.a dan akhirat melebihi fantasinya terhadap gula-gula,permainan dan kesukaan kanak-kanak yang lain. Sungguh dia terdidik dengan suasana asuhan yang Islami.

Safi tersedar dari lamunannya apabila Hakim tiba-tiba bangun dan menayangkan otot lengannya. ”Hakim pula nak jadi macam Saiyidina Umar. Abang Nizam kata Saiyidina Umar kuat!!”

Nizam..entah kenapa nama itu menyusup masuk menggetarkan naluri hatinya. Safi cepat-cepat sedarkan dirinya dari membisu dan bertanya kepada Hakim.

”Nizam tu siapa Hakim? Abang Hakim ke?” tanya Safi ingin tahu.
”Tak lah..abang Nizam tu abang Hanif. Hakim selalu pergi belajar mengaji malam-malam dekat rumah Hanif. Abang Nizam selalu baca cerita. Best tau cikgu.” kata hakim sambil menggayakan orang yang sedang bertumbuk. ”Hakim dengan Hanif selalu lawan dengan Abang Nizam. Kalah Abang Nizam dengan kami..”tambah Hakim dengan bangga.

Safi tersenyum, dia kembali melihat Hanif dan bertanyakan soalan. ”Oh, waktu malam, abang Hanif ajar mengaji ye? ” tanya Safi kepada Hanif yang menunjukkan ekspresi wajah yang masam kepada Hakim. Mungkin kerana cemburu perhatian cikgu padanya telah diganggu Hakim. Hanif sedikit lambat menjawab pertanyaan Safi.

”Tak..Ummi Hanif yang ajar. Abang Nizam selalu pergi masjid waktu malam. Mak kata abang pun pergi mengaji jugak. Kadang-kadang je Abang Nizam ajar kami mengaji Al-Quran.” jawab Hanif.

”Ye? Abang Hanif kerja apa?” tanya Safi lagi. Kemudian dia melihat Hanif seperti sedang berfikir.

”Um..ummi kata abang Nizam kerja jual barang.” Hanif berkata dengan yakin. Kemudian Hakim kembali menyampuk,”Abang Nizam dulu jual burger waktu malam, sedapp..!! Hakim selalu makan.” Hakim menaikkan ibu jarinya.

Kringgg!!...loceng yang menandakan tamatnya waktu pengajaran Safi dalam kelas 3 Murni. Safi beristighfar panjang. Dia sedar yang dirinya agak hanyut dalam mengetahui peribadi seorang insan bernama Nizam. Sekali lagi dia beristighfar kerana sebelumnya, tidak pernah dia mengambil kisah untuk mengenali lelaki. Tambahan pula dengan pengalaman yang telah dilaluinya. ”Nizam hanyalah insan biasa”, getus hatinya. Namun minatnya masih terpaut pada cara asuhan yang diberikan Nizam pada adik dan keluarganya.

”Baiklah murid-murid semua. Cikgu nak murid-murid semua tulis dalam buku tentang ’Cita-Cita Saya Bila Besar Nanti’. Esok Cikgu nak tengok. Ok? Assalamu’alaikum..” kata Safi mengakhiri pengajarannya dalam kelas 3 Murni pada hari itu.

-------------------------------------------------

**bersambung...

Share/Bookmark

0 comments:



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.
Powered by Blogger.