Al Azwaju Shalihah : Part 2

---------------------------------------

Sesusuk tubuh bangun dari hamparan sejadah. Tangannya masih memegang biji tasbih. Diusapkan wajahnya dan dilurutkan janggutnya yang sejemput. Biji tasbihnya kini dimasukkan ke dalam beg galas kecil yang sentiasa dibawanya. Perlahan, Nizam bangun untuk memulakan solah dhuha. Dari jauh, kelihatan sepasang mata sedang memerhatikan tingkah laku Nizam. Bibirnya bergerak melafazkan zikir. Badannya disandarkan kepada tiang masjid yang luas itu. Dalam ruang masjid itu,sesekali bergema bunyi cicak yang bergaduh, sahutan burung yang terbang melintas.

Usai mengerjakan solah Dhuha, Nizam memanjatkan doa kepada Allah. Secara tiba-tiba hatinya terasa kurang senang. Nizam meneruskan doanya dan cuba menghayati setiap lafaz yang diucapnya. Permohonan mendamba redha dan ampunan Nya. Nizam bingkas bangun melangkah menutup suis kipas berdiri yang menghadapnya. Apabila berpaling, Nizam dengan segera merasakan sesuatu kekurangan. "Beg kecil aku!"

Duit jualan kelmarin RM750 ringgit, dokumen identiti dirinya, lesen dan telefon bimbitnya... Nizam merasa gelisah. Dengan cepat dia melangkah keluar melihat sebarang pergerakan manusia. Tiada! Nizam sekali lagi beralih melihat ke dalam masjid. Dilihatnya Pak Cik Ikbal sedang menyandar dengan mata yang terpejam. Nizam melangkah ke arahnya, namun terhenti kerana terfikir untuk tidak mengganggu rehat Pak Cik Ikbal. Nizam masih gelisah. Dia kembali melangkah lebih jauh di luar melihat-lihat sebarang pergerakan manusia. Sebarang pergerakan yang boleh ditangkap dengan mata. Tetap tiada...

Perlahan...."Ya Allah..."

Nizam melangkah menuju ke bahagian rak yang menyimpan nashkah-nashkah mushaf Al-Qur'an dan mencapai salah satu darinya. Nizam duduk di antara dua sujud lantas membuka helaian pada muka surat yang dicarinya. Nizam menyusun pembacaannya supaya tartil dan tenang.

---------------------------------------------------

10 minit kemudian, Nizam menyimpan kembali mushaf Al-Qur'an yang diambilnya. Dia melangkah menuju ke ambang pintu masjid dan disapa.
"Assalamu'alaikum Nizam." suara serak yang dikenali.
"Wa'alaikummussalam, Pak Cik Ikbal. Dah makan? " jawab Nizam dan terus bertanya.
"Belum makan lagi, Nizam nak kemana? jom teman Pak Cik makan roti canai dulu. Tapi duitnya Pak Cik tertinggal di rumah. Boleh guna duit Nizam dulu." ajak Pak Cik Ikbal bersahaja. Dia memang biasa bersarapan dengan anak muda di hadapannya setiap kali waktu fajar. Nizam kelu. Beg galasnya telah hilang.
"Um, hari ni tak dapatlah Pak Cik. Saya ingat nak siap-siap pergi ke balai polis. Beg galas saya hilang tadi. Lesen, IC semua dalam tu." balas Nizam.
"Lor..macam mana boleh hilang pula? Beg galas hitam yang Nizam selalu bawa tu? Di mana hilangnya? Banyak ke duit dalam tu?" tanya Pak Cik Ikbal sambil mengerutkan dahi.
"Entah, Saya letak belakang saya tadi sekejap. Alih-alih dah takda. Cari tadi kot-kot saya silap letak. Tak berjumpa pula. Itu sebab nak buat laporan polis kalau-kalau dijumpa orang. Duit tu, takdalah banyak sangat." jawab Nizam sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Pak Cik Ikbal.

Pak Cik Ikbal menyambut tangan Nizam dan tidak melepaskannya. "Jomlah makan dulu, Pakcik belanja. Nizam tolong ambil beg atas rak sejadah tu." Pak Cik Ikbal menudingkan jarinya ke arah rak sejadah. Nzam berpaling dan melihat beg galas hitamnya tersembunyi di sebalik juntaian kain sejadah. Nizam tersenyum.

"Boleh tahan juga Pak Cik ni ye? hehe" Nizam berpaling melihat Pak cik Ikbal yang sedia tersenyum.

"Saje Pakcik nak mengusik, nak tengok kelaku hang,Nizam..." Pak Cik Ikbal tertawa kecil. Muka Nizam memerah.

"Terkena saya dengan Pakcik..kelam kabut saya cari tadi. Ingatkan dah dilarikan orang..rupanya ada orang tolong simpankan,ye?" gurau Nizam sambil melangkah mengambil kembali begnya.

Pak Cik Ikbal ketawa kecil. " Tapi Pakcik tengok Nizam rilek je. Mula-mula je Nizam gabra sikit..hehe..dah.dah..jom kita pi kedai Seman."

"Jom." Nizam menuruti langkah Pakcik Ikbal. Mereka berjalan di tepi sebelah kanan jalan. Pada masa yang sama, Safi memandu kereta bertentangan dengan arah yang dilalui oleh mereka, menuju ke sekolah. Diikuti deruan-deruan kenderaan yang lain..


----------------------------------------

Setelah usai menikmati roti canai dari kedai makan Abang Seman, Nizam menuju ke kedainya yang terletak berhadapan dengan masjid. Dia terhenti seketika dalam melangkah menaiki tangga apabila kepalanya tiba-tiba terasa sakit berdenyut-denyut. Nizam mengurut-ngurut kepalanya sambil membaca surah Fatihah dan ayat-ayat syifa'. Nizam terus melangkah apabila sakit kepalanya sedikit reda.

Telefon bimbit Nizam berbunyi sebaik sahaja Nizam melabuhkan punggungnya ke kerusi. Lagu nasyid "Rayuan Rindu" nyanyian kumpulan Raihan kedengaran. Nizam menjawab telefon sambil mengurut-ngurut kepalanya lagi.

"Assalamu'alaikum..Pusat Rawatan Islam,Asy Syifa" ucap Nizam.
"Wa'alaikummussalam..Khairul ada?" tanya orang yang menelefon.
"Khairul? oh..dia keluar kursus dalam sebulan lebih. Sekarang ni saya yang ambil alih semua urusan pusat rawatan. Ada apa boleh saya bantu?" jawab Nizam.
"Boleh tolong sampaikan kepada Khairul yang saya, Ustaz Razi ingin sangat bercakap dengannya. Katakan ada hal penting, Assalamua'laikum." Nizam mula memahami yang menelefonnya adalah Ustaz Razi.
"Wa'alaikummussalam..Insya Allah,saya akan sampaikan.."ujar Nizam.

Nizam tersenyum sendiri. Dia tahu hubungan pelanggan dengan Khairul adalah sangat rapat sekali. Dia cemburu pada akhlak Khairul yang begitu ramah dalam memberikan khidmat kepada pelanggan. Nizam berhenti berfikir apabila sakit kepalanya kembali berdenyut-denyut. Dahinya berkerut menahan kesakitan. Nizam duduk bersandar sambil memejamkan mata. Dengan lafaz Bismillah, Nizam mula membaca ayat surah lazim yang dihafaznya.

-------------------------------------

Nizam terlelap sebentar dan tersedar. Sakit kepalanya telah berkurang. Perhatiannya kini kepada bunyi tapak kaki dan pada bayang manusia yang akan memasuki ruangan kliniknya. Nizam tersenyum apabila melihat seorang makcik berumur dalam lingkungan 50-an melangkah memasuki kliniknya.

"Assalamu'alaikum" Makcik Rodziah memberi salam. Nizam melihat makcik tersebut termegah-megah kepenatan.
"Wa'alaikummussalam makcik, duduklah. Penat Makcik datang balik ke?"
Nizam mempersilakan Makcik Rodziah duduk.
"Hm.. macam inilah selalu. Tapi alhamdulillah, baik sikit daripada dahulu. Dulu makcik tak boleh naik tangga langsung. Penat." jawab makcik Rodziah sambil mengeluarkan dompet dari beg bimbitnya.
"Hurm.. Nak, ubat yang tu berapa harganya. Khairul kata nak beri pada makcik 60 ringgit. Yang mana satu,makcik taktahu." Sambung Makcik Rodziah sambil menuding ke arah Madu campuran 7 herba arab.
"Makcik dan amalkan kandungan madu yang ini? Saya syorkan untuk makcik amalkan yang ini sebulan atau dua bulan, kemudia baru berpindah pada yang lain." jelas Nizam.
"Dah nak. Dah 2 botol makcik habiskan, dalam 2 bulan juga." Jawab Makcik dengan nafas yang jelas kepenatan.
"Ohh..Makcik cuba yang ini." Nizam mencapai produk madu yang bergabung dengan habbahtus sawda'. Kemudian Nizam menerangkan cara pemakanannya.

"Madu ni makcik, nanti makcik sediakan satu cawan air dingin/suam, Makcik campurkan dengan satu sudu teh madu. Makcik gunakan sudu plastik yang saya berikan ini. Jangan guna sudu besi, nanti reaction tindak balas chemical tu akan buatkan khasiatnya hilang. Dimakan bila waktu perut kosong. Seeloknya pada waktu malam sebelum tidur dan bangun pagi. Jangan simpan dalam peti ais."

"Ya, Khairul dah terangkan dekat makcik hari tu, ni minum kena kacau ikut lawan jam dan selawat kan? Haa..ni makcik nak tanya, boleh tak pesakit ghout yang teruk amalkan penawar ni?"

Nizam tersenyum. "Insya Allah Makcik, boleh. Lagipun dah agak ramai juga pesakit ghout yang berkunjung ke pusat rawatan kami telah sembuh dengan izin Allah. Inilah berkatnya bila kita kembali pada tuntutan Al Qur'an dan Hadith. Sebelum ni pun ada pesakit ghout yang datang sampaikan kami terpaksa papah, dukung naik ke atas untuk buat pemeriksaan. Alhamdulillah, kini dah sembuh setelah 3 tahun menderita sakit ghout."

'Dari perut lebah itu keluarlah minuman (MADU) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat penyembuh bagi manusia.'( An Nahl : 69 )

'Sabda Rasulullah S.A.W ; Tetaplah kamu berubat dengan Habbahtus Sawda ini kerana sesungguhnya ia mengandungi bahan penyembuh bagi setiap penyakit kecuali mati.'
( Hadis Riwayat Muslim)

Insya Allah makcik, segala penyakit boleh sembuh. Keyakinan saya berlandaskan pada jaminan Al- Qur'an dan Hadith." Nizam menjelaskan sambil melihat makcik Rodziah yang bersungguh-sungguh mendengar. Dilihatnya penat pada makcik itu semakin berkurangan.

Nizam mengambil beberapa helai kertas dan berikan kepada makcik Rodziah. "Makcik, nanti kalau ada sesiapa tanya makcik lagi, makcik berikan kertas ini. Insya Allah, pada sesiapa yang telah penat berubat selama bertahun-tahun, makcik boleh syorkan gunakan kaedah penawar dari Al-Quran dan Hadith. Kandungan dan dos yang kami syorkan adalah berlandas kitab tibbun nabawi, kaedah perubatan zaman Rasulullah S.A.W."

Makcik Rodziah mencapai kertas yang diberikan Nizam dan kembali bertanya, "Nak, macam mana kalau makcik nak amalkan madu tualang yang kita orang melayu selalu makan tu?" Makcik Rodziah kembali menatap wajjah Nizam.

Nizam masih tersenyum," Alhamdulillah,yakin dengan janji Allah dalam madu adalah penawar. Makcik, dari apa yang saya belajar, Madu Malaysia yang beriklim khatulistima, mempunyai kandungan air melebihi 15 %. Khasiatnya berkurang apabila kita masukkan ke dalam botol kaca yang mempunyai tindak balas tertentu."

"Madu yang kami gunakan adalah dari Iran. Kalau ikut ranking, adalah ke 5 terbaik dalam dunia. Kandungan air dalam madu nya adalah kurang daripada 15% yang amat sesuai untuk tujuan perubatan."

Makcik Rodziah mengangguk faham. Terdorong dengan rasa bersemangat untuk menerangkan lebih lanjut, Nizam menambah, " Makcik, saya lihat dalam video, Israel sudah membuat kajian terhadap madu lebih 17 tahun dan telah menjadikan madu sebagai ubat rasmi dalam hospital-hospital mereka. Seharusnya, kita sebagai umat Islam, lebih yakin dan percaya akan jaminan Allah dan Rasul menjadikan madu dan habbahtussawda' sebagai penawar. Insya Allah makcik ye?" Nizam tersenyum sambil meminta maaf kerana mungkin telah mengambil masa Makcik Rodziah.

"Takpa lah nak, bukannya makcik ada kerja apa-apa. Tinggal pun kawasan berhampiran sini je. Insya Allah,nanti makcik mai lagi ya? nak bawa anak makcik sekali. Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumusssalam. Terima kasih makcik." jawab Nizam sambil menghulurkan kotak madu dan menerima duit bayaran darinya. Nizam kemudiaanya mengiringi makcik Rodziah menuruni tangga.



------------------------------------------------------

Suasana hiruk pikuk murid-murid yang bermain tidak lagi kedengaran. Sesi pengajaran sudah bermula. Safi menuju ke bilik kaunseling untuk menyiapkan laporannya. Dia sedikit mengeluh apabila mengingatkan bahawa pensyarah akan datang menilainya pada keesokan harinya. Bagaimanapun, Safi cepat-cepat menyedarkan dirinya bahawa dia sudah bersedia. Laptop yang dibawanya diletakkan di atas meja tetamu. Sememangnya dia telah mendapatkan kebenaran untuk menggunakan bilik kaunseling untuk sebarang aktiviti perbincangan atau untuk menyiapkan tugasan harian yang perlu dilakukannya daripada guru besar sekolah, Haji Shuib.

Safi duduk bersimpuh menghadap laptopnya. Dibuka pada folder dan fail yang berkaitan. Disemaknya sebarang kesalahan yang mungkin wujud sebelum diserahkan kepada pensyarah yang menilainya esok. Tumpuan Safi terganggu apabila handset miliknya bergetar. Safi membuka sms yang diterimanya.


Shu

Salam.. Safi! watpe skrg? Lama tk dgr khabar?
ehem2..dah bt kenduri makan nasi minyak ke?



Safi tersenyum melihatkan sms yang dikirim daripada sahabatnya, Shuhada. Mereka berkenalan sewaktu sama-sama aktif dalam persatuan Pusat Islam dahulu. Kini, Safi sedang menjalani latihan praktikal dalam proses menjadi seorang guru.

Mungkin sahabatnya kini akan terkejut sekiranya dia memberitahu bahawa pertunangannya dengan Syafiq, lulusan sarjana daripada Al Azhar, Mesir telahpun diputuskan. Safi mengeluh kenangkan perbincangan antara dia dan Syafiq..

"Safi, umur abang dah mencecah 26 tahun, Safi kena faham. Abang taknak tangguhkan pertunangan kita lama-lama. " Jelas Syafiq.
"Abang, bukannya Safi tak faham abang. Tapi sebelum pertunangan lagi Safi dah jelaskan Safi hanya akan menikah selepas Safi habis belajar, dan itu keputusan Safi. Abang sendiri setuju dan datang meminang Safi." jawab Safi,lembut.
"Tapi Safi, abang takut jadi fitnah antara kita." Jelas Syafiq.
Safi terdiam dan cuba memahami maksud Syafiq. "Fitnah? Apakah fitnah yang dimaksudkan? Hanya sekali sahaja aku dengan dia berjumpa, saat majlis pertunangan. SMS dengan berbual di telefon sahaja jarang-jarang sekali, fitnah apa yang mungkin wujud?" getus hati Safi. Dia kemudian menyambung perbualannya dengan Syafiq.
"Abang..terpulang kepada kehendak abang. Tapi Safi muktamad dengan keputusan Safi. Safi hanya akan bernikah selepas Safi habis belajar, setahun akan datang." Safi mematikan perbualan di telefon bimbitnya. Geram dan merajuk. Al maklum, hati perempuan. Namun hatinya masih tertanya-tanya apakah fitnah yang dimaksudkan oleh Syafiq. Dia agak tersentak apabila telefon bimbitnya bergetar menerima sms daripada Syafiq.

Syafiq
Terpulang pada Safi.
Tempoh yang abg bagi utk Safi cuma akhir tahun ini.
Kalau Safi masih tetap dengan keputusan Safi,
abg akan putuskan pertunangan kita melalui ibu bapa abg.



Safi geram. Air matanya berlinang. Safi melepaskan telefon bimbitnya di atas tilam dan menghempaskan badannya meniarap. Dicekup mukanya dengan bantal dan menjerit perlahan.

"Dia beria-ria datang merisik dan meminang aku. Kemudian tak sabar-sabar nak bernikah! Bukannya aku boleh lari. Faham lah sama! Cuma setahun lagi sahaja!" jerit hati Safi. Datang pula bisikan-bisikan mencelah,"Sudahlah Safi. Bukannya dia ambil berat tentang kau. Kau demam 3 hari pun dia tidak tahu. Sudah lah. Minta putus sahaja."

Safi bangun beristighfar. Dia mengelap air mata dan hingusnya dengan kain selimutnya kemudian dilemparkan ke sisi tilam. Safi bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu. Dia masih belum solah Isya'.


------------------------------------------

Safi segera tersedar daripada lamunannya apabila loceng sekolah kedengaran kuat. Safi beristighfar sambil membetulkan tudungnya. Dilihatnya screen laptop telah menayangkan gambar-gambar foto nya yang comel. Ditutupnya laptop dan bersedia untuk ke kelas. Safi cuba menenagkan dirinya. Dia tidak mahu kelihatan monyok di hadapan muridnya. Dia senyum dan melangkah dengan penuh keyakinan.

"Insya Allah, aku yakin dengan jodoh yang telah ditetapkan Allah kepadaku."





------------------------------------------------------

Safi tersenyum ceria selepas keluar daripada kelas. Melayani karenah muridnya adalah sangat menghiburkan. Kanak-kanak yang belum lagi pandai berbohong. Kalau adapun yang suka bercakap besar, dapat dikesan dengan jelas perwatakannya. Kanak-kanak yang putih bersih daripada pelbagai kotoran dunia. Safi melangkah dengan perasaan riang gembira.

Safi tersenyum, dia kembali mengingati bahawa dia adalah seorang maksu yang bersikap 'kejam' terhadap anak buahnya. Seringkali dia membuatkan sekalian anak buahnya menyimpan perasaan geram dan dendam kepadanya. Mana tidaknya, Safi sering merampas gula-gula dan barang hiasan atau mainan kepunyaan anak buahnya. Safi begitu gembira melihat muncung-muncung yang terbit dari bibir merah kesemua anak buahnya. Perkataan 'maksu jahat, maksu jahat' sudah lali di telinga. Safi tersenyum puas. Sungguh tidak disangka dirinya kini menjadi seorang guru. Suka benar dia ber'interaksi' dengan semua murid asuhannya.

Hari ini, Safi sengaja meminta Hanif berdiri di hadapan kelas. Dia cuba melakukan 'eksperimen'. Safi dapati Hanif adalah seorang yang pemalu dan cuba melihat sama ada Hanif mampu atau tidak untuk berhadapan dengan orang ramai iaitu semua murid-murid kelas 3 murni. Safi dapat melihat wajah Hanif yang kemerahan dan tertunduk-tunduk malu.

Safi melihat Hanif yang sedang menunduk terkumat-kamit melafaz sesuatu. Safi merasa hairan lalu bertanya. "Hanif, Hanif baca apa?"

Hanif terkejut dan bacaannya terhenti. Dia mula berfikir.."Aaa...Hanif baca Alam Tarokai...aaa...surah Al Fiil..Cikgu" cakapnya terketar-ketar. Kakinya mengkuis-kuis lantai dihadapannya, dia menunduk malu.

"Kenapa Hanif baca surah Al-Fiil?" tanya Safi sambil melahirkan ekspresi wajah ceria. Sungguh, pengalaman bersama Hanif adalah suasana yang baru baginya.

"aaa..sebab abang Nizam kata, kalau Hanif takut atau gementar, abang Nizam suruh baca surah Al-Fill, nanti boleh jadi berani." Ujar Hanif.

Safi tergamam. Sungguh besar pengaruh si Nizam dalam mendidik adik-adiknya. Hinggakan pada saat begini, adiknya, Hanif dapat mengingati setiap pesan yang disampaikan olehnya. Mungkin hasil dari kebiasaan Nizam mendidik adik-adiknya. Sentiasa dengan nilai-nilai kehidupan islami.

"Um..Hanif takut?" tanya Cikgu Safi dengan lembut dan senyum. Safi mengawal senyumannya agar senyumnya tidak terlihat seperti senyum mengejek tetapi sebagai senyum yang mendorong.

Hanif tidak bersuara. Hanif cuma mengangguk-angguk sambil kakinya masih tetap menguis-kuis lantai simen dihadapannya. Hakim terus pula mengetawakannya namun tidak diperdulikan Hanif.

"Hanif, Cikgu minta tolong Hanif mengaji ayat yang Hanif ingat boleh? Cikgu nak murid-murid semua rajin mengaji lepas tengok Hanif mengaji nanti. Boleh?" rayu Safi dengan lembut.

Hanif cair dengan pujukan Safi. Hanif mengangguk. Hanif mula mendongakkan kepalanya ke atas. Dia cuba sedaya upaya untuk tidak melihat ke arah Hakim yang sangat menyakitkan hati baginya. Safi dapat melihat sinar-sinar keyakinan yang terzahir dari raut wajah Hanif. Bismillah...

Sekalian kelas terdiam apabila mendengar ayat hafazan yang diucap oleh Hanif. Mungkin kerana setelah diberi amaran oleh Safi untuk diam atau kerana mereka betul-betul mengikuti, menghayati bacaan Hanif. Safi sendiri agak terkejut dengan hafalan murid kecil dihadapannya. Hanif bukan lagi seperti budak yang malu-malu mengkuis-kuiskan kakinya. Hanif kini adalah seorang murid darjah 3 yang sedang melantunkan bacaan ayat-ayat lazim Al- Quran dengan lancar. Dengan wajah yang yakin dan berhati-hati dalam melafazkan hafazannya. Masya Allah..

Safi melangkah riang, untuk mempunyai seorang murid seperti Hanif dalam kelasnya adalah sangat menyenangkan. Bangga, mungkin. Safi bersyukur kerana ditemukan Allah pada generasi yang lahir dari keluarga yang utuh mengamalkan asuhan islami. Safi tersenyum bahagia. "Anak ini di tanganku, kan ku jaga dia selama dia di tanganku."

Safi masih ingat persoalannya tadi selepas Hanif berhenti dan kembali menjadi malu untuk memandang murid-murid dihadapannya.

"Kenapa Hanif tak masuk sekolah agama? Hanif pandai baca Al-Quran." Soal Safi kebudak-budakan.

"Abang Nizam nak Hanif sekolah agama, tapi ummi nak Hanif sekolah sini. Sebab sini dekat. Abang Nizam kata kalau Hanif nak berjaya kat dunia dengan dapat masuk syurga , Hanif kena jadi hafiz. Nanti Allah bagi abah dengan ummi pakai makhota dekat padang mahsyar sebab Hanif jadi hafiz."

Safi kagum malah mula menyintai Hanif,anak murid kesayangannya.

----------------------------------------------------------

Share/Bookmark

0 comments:

Katogeri



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Powered by Blogger.