Al Azwaju ShaLiHaH (ParT 7)

----------------------------------------

Yusni dan Safi meronda kawasan pekan mencari-cari jalan. Perjalanan mereka tertumpu kepada beberapa masjid yang berdekatan kawasan penempatan tersebut. Dicarinya mereka sekitar lot-lot kedai berhampiran.

“Safi..pasti ke sini kawasannya. Yus tak jumpa-jumpa pun. Dah berapa masjid kita singgah. Katanya depan masjid tapi Safi tak tanya ke masjid mana? Dah masuk waktu Zohor ni..dia pun dah rehat agaknya..” Yusni melihat-lihat kawasan sekitar masjid yang ketiga mereka singgah. Tiada satupun papan tanda pusat rawatan yang ditemui.

”Maaf Yus, Safi pun ingat ada satu je masjid kawasan ini. Banyak pula masjidnya. Yus marah ke?” Safi mengharap.

”Bukan Yus marah, Yus cuma nak tahu lebih lanjut dimana pusat rawatan tu. Safi, kita pergi makan dulu nak tak?”

Pandangan Safi tertumpu pada satu papan tanda yang tercatat, ”Pusat Rawatan Asy Syifa.” Wajah suram menjadi ceria. Perasaan sedih menjadi gembira.

”Yus ! Yus! Belok kanan Yus! Itu! Safi dah nampak. Kat situ pusat rawatannya. Alhamdulillah, berjumpa juga ye?” tepuk-tepuk Safi di lengan Yusni. Yusni segera memberikan lampu isyarat dan membelok.

Yusni menghentikan keretanya di sisi jalan berhampiran pusat rawatan tersebut. Dia melihat pintu jeriji besi itu terbuka tetapi sangsi sama ada Nizam di situ atau tidak. Setahunya, Nizam seorang yang menjaga solah dan azan Zuhur telah berkumandang. Mungkin sahaja kini dia sedang menunggu di masjid.

Safi dengan cepat melepaskan tali pinggang keledarnya ke belakang. ”Jom Yus! Kita pergi tengok. Khabarnya pusat rawatan ni dah berjaya merawat pelbagai penyakit. Pemeriksaan kesihatan percuma pun disediakan. Jom cuba.”

Yusni merasa tidak sedap hati dan meragui Nizam berada di situ. Tetapi atas desakan Safi, Yusni dengan rasa berat mengikutinya. Safi berjalan mengiringi Yusni. Dia tahu Yusni telah mengenali Nizam dan sepatutnya Yusni akan menjadi pembuka bicara.

Apabila mereka sampai di pintu masuk, alangkah terkejutnya mereka apabila sekujur tubuh sedang terbaring di sisi tangga menuju ke pusat rawatan itu. Seorang pemuda yang berkemeja biru muda dan berkopiah tidak sedarkan diri. Mereka merasa kaget!

-----------------------------------------

”Ya Allah! Siapa tu Yusni?” Tanya Safi menjarakkan diri dengan sembunyi di balik belakang jubah Yusni. Yusni menguatkan diri menghampiri lelaki itu. ”Susuk tubuh itu...ya, susuk tubuh itu tidak salah lagi. Nizam! Itu Nizam!!” jerit hati kecil Yusni keresahan.

”Ya Allah..itu Nizam, Safi. Kenapa dengannya? Ya Allah..” tanpa sedar Yusni mengalirkan air mata. Rasa haru mendorongnya untuk hampir kepada pemuda itu. Dia melihat dekat wajah pemuda itu dan memanggil-manggil namanya.

”Nizam! Nizam.. bangun Nizam. Ya Allah..Kenapa ni?” Nizam masih tidak sedarkan diri. Matanya terpejam rapat.

”Nizam?!! Bangun Nizam!!” Yusni panik. Air mata menderu turun di wajahnya. Wajah Nizam yang menyenangkan kini dalam keadaan tidak sedarkan diri. Yusni menghampiri dan cuba menggerakkan Nizam dengan tangannya.

Langkah Yusni terhenti. Ternyata wibawa akhlak Nizam dalam menjaga jaraknya dengan kaum hawa masih tersemat walaupun dalam keadaan tidak sedarkan diri. Yusni dapat merasakan Nizam tidak akan rela disentuh, terpancar melalui nur wajah bersihnya. Yusni kelu dan terus merembeskan air mata. ”Bangun Nizamm...”

Safi yang dari tadi terkesan dengan kehibaan sahabatnya,memaut lengan Yusni. Dia cuba melihat wajah lelaki yang dirisaukan Yusni. Alangkah terkejutnya apabila mendapati lelaki itu adalah menyerupai lelaki yang membantu Safi di saat keretanya menghadapi masalah. Dengan cepat, Safi menggoncang-goncang perlahan tubuh Yusni.

”Yus! Kita minta bantuan orang lelaki sekitar sini. Cepat Yus!” Safi menarik tangan Yusni. Yusni yang tersedar dari kejutan terus berjalan mengikuti Safi.

-----------------------------------------

-----------------------------------------------

Nizam tersedar dari pengsannya. Diusap-usap kepalanya yang masih berpinar-pinar mengikuti sedarnya. Nizam membuka mata dan cuba menahan denyutan sakit kepalanya. Dilihatnya kawasan sekeliling. Wad hospital. Dilihat pula jam di dinding wad itu. Sudah pukul 5.35 petang. Maknanya sudah lebih 3 jam dia tidak sedarkan diri.

”Astaghfirullah..” Nizam cuba untuk beransur bangun tetapi tubuhnya terasa lemah. Dibaringkan kembali tubuhnya. Kali ini Nizam cuba bersandar. Dia melihat di meja telah tersedia bekas air dan cawan. Nizam cuba mencapainya, alhamdulillah.. Nizam berdaya. ”Laa Haulawala Quwatailla billah.”

Dari jauh kelihatan sesusuk tubuh berjubah serba hijau dengan segera menghampiri meja bersebelahan dengan katil Nizam.

”Akhi nak air? Biar saya tuangkan. Akhi baru sedar, tak perlu memaksa diri.” Gemersik suara wanita mendesis masuk ke halwa telinga Nizam. Selesa dan mendamaikan. Perlahan, Nizam mengalih dan cuba mengecam wajah wanita yang datang membantunya. Memang Nurul Yusni, guru sekolah Hanif.

”Tak perlu Cikgu. Saya berdaya. Insya Allah.” Nizam menolak bantuan Yusni dengan perlahan.

Yusni mula menjarakkan dirinya dengan kawasan meja. Terdiam. Yusni terasa hati dengan perlakuan Nizam menolak bantuannya. Nizam dengan cepat menangkap perubahan di wajah Yusni. Nizam beristighfar perlahan tanpa didengari Yusni..

”Cikgu..”

”Iye?” Yusni tersentak dari rajuknya. Dia berusaha menyembunyikan kejengkelannya terhadap peristiwa tadi di hadapan Nizam.

”Cikgu ke yang angkat dukung saya bawa ke hospital? Kuat sungguh cikgu. Terima kasih ye..” gurau Nizam kepada Yusni sambil tersenyum, amat menyenangkan. Yusni tertawa kecil.

”Mana ada macam tu!! Saya dengan Safi minta bantuan Haji Romli, kontraktor di sebelah kedai Nizam tu. Ada pula saya yang nak mendukung Nizam?..tak munasabah langsung. Hehee..” Yusni tertawa dengan gurauan spontan Nizam, hilang rajuknya.

Nizam turut tersenyum. ”Apapun syukran ye.. maaf menyusahkan Cikgu dengan teman. Bagaimana Cikgu boleh berada di situ? Family saya sudah diberitahu?” ujar Nizam lembut. Dirinya masih lemah.

”Saya dengan Safi bercadang nak ziarah pusat rawatan Akhi. Sebab tu berada di situ. Safi dengan Ummi akhi sedang bersolah di bawah, mungkin nanti datangnya.” jawab Yusni dengan teliti. ”Akhi rasa bagaimana sekarang?”

”Alhamdulillah..sedikit baik. Walaupun masih nampak bintang-bintang.” Nizam menjawab selamba. Nizam membayangkan yang ibunya mungkin merisaukan keadaan kesihatannya. Sedikit rasa bersalah kerana meresahkan hati ibunya, tapi ini perjalanan qadar Nya.

Yusni tersenyum. Amat selesa berbual dengan lelaki di hadapannya. Akhlaknya, pertuturannya..amat menyenangkan hati, walau tanpa bertentangan mata.

”Akhi rehat lah. Apa yang dapat saya bantu, akhi bagitahu aje. Insya Allah, saya bantu.” Yusni menawarkan kesediaannya untuk menolong. Dia tahu Nizam tidak dapat melangkah jauh.

”Kalau tidak menyusahkan, saya nak minta tolong Cikgu carikan muhsyaf Al-Quran di sekitar kawasan hospital ni. Mungkin di surau. Sementara saya berwudhu dengan solah sekejap di sini.” Pinta Nizam.

”Baiklah.” Yusni mengangguk faham. Dia berjalan meninggalkan Nizam. Dia merasakan dirinya dipanggil sekali lagi. Dia menoleh melihat Nizam kembali, dan melarikan pandangannya.

”Terima kasih Cikgu.”

”Sama-sama.” Yusni menunduk perlahan dan melangkah pergi. Dia tersenyum kerana dapat mengenali Nizam. Tidaklah sombong wataknya, sekadar menjaga jarak dan batas pergaulannya. Yusni berlalu dengan perasaan senang. Cambahan benih bahagia dalam hatinya.

”Ya Allah, sembuhkan dia, sihatkan dia...ameen”

------------------------------------------------------

Nizam mengambil wudhu dengan sebotol air mineral di berada di atas meja sisinya. Ditadahkan sebuah bekas air di bawah katil. Jururawat dan pesakit lain hanya memerhatikan kelakuan Nizam. Usai berwudhu, Nizam berdoa dan mengusapkan tangannya ke muka. Nizam kembali berbaring secara menyandar dan memulakan solah secara rukhsah.

Dari jauh kelihatan Makcik Saadiah dan Safi datang beriringan. Mereka melihat dari jauh Nizam sedang qiam dengan bibir yang sedang melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran. Kemudian takbirratul ihram dan sedikit menunduk. Mereka sedar yang Nizam sedang menunaikan solah.

”Safi..kita duduk rehat di sini dulu ye nak. Makcik penat pula naik tangga tadi. Nanti Nizam lepas solah, baru kita pergi.”

”Baiklah makcik. Makcik nak minum ke? Biar saya tolong belikan.” tanya Safi.

Ummi Nizam menarik tangan Safi untuk turut duduk bersamanya di bangku panjang itu. ”Tak perlu la Safi, Makcik tak dahaga. Kita kan baru lepas minum je tadi.” lantas senyum kepada Safi.

Wajah tua itu merenung jauh ke luar tingkap. Ada garis-garis risau di wajahnya. Safi merasakan simpati. Mungkin sahaja ibu ini merisaukan keadaan anaknya, Nizam. Safi cuba menduga..

”Makcik...Makcik risau ke? Insya Allah, Nizam tak apa-apa. Makcik dah dengar kan apa yang doktor kata? Dia cuma keletihan.” Safi menenangkan Makcik Saadiah.

”Tak adalah risau sangat.. Nizam tu Safi, degil orangnya. Tengok je macam tu. Makin makcik risau, nanti makin kuat degilnya. Dia cukup tak suka lihat makcik susah hati. Tapi itu lah..hati ibu,Safi..” lafaznya perlahan.

Safi mengangguk faham. Sedikit tersenyum mendengar ungkapan ’degil’ dari Makcik Saadiah. Mungkin ’degil’ Nizam itu adalah ’degil’ yang bersungguh-sungguh tidak mahu merisaukan ibunya. ”Nizam...nizam..” bisik hati kecil Safi, tersenyum menggeleng.

Safi dan Makcik Saadiah berterusan berbual sehingga beberapa minit. Langkahan Yusni ke arah mereka membuatkan mereka berhenti berbual. Yusni disambut dan duduk bersama mereka.

”Kenapa duduk di sini? Tak pergi dekat Nizam ke?” tanya Yusni.

”Kami berbual kejap tadi, saja taknak ganggu Nizam yang tengah solah.Yusni pergi mana tadi?” Safi berbalas pertanyaan.

”Ambil muhsyaf Al-Quran. Nizam yang minta tolong ambilkan bila dia sedar tadi. Yusni ambil di surau tadi, minta dekat pak guard.” Yusni terus menyambung, ”Nizam dah sudah rasanya. Tengok tadi dia tengah berbual-bual dengan pesakit sebelah. Mari..”

Mereka bertiga berjalan menuju ke arah katil Nizam dan memberikan salam. Nizam menjawab salam dan mencapai tangan ibunya dan diciumnya. Ibunya memaut leher anaknya lantas mencium dahi anak sulungnya itu. Safi dan Yusni memerhati dengan rasa syahdu yang memenuhi hati. Yusni meletakkan Al-Quran di meja sisi.

Nizam sedikit terkejut melihatkan Safi di sisi Yusni. Wanita yang pernah ditolongnya akibat kereta wanita itu yang bermasalah. Safi tersenyum.

”Ingat saya lagi tak, ’ustaz’ ? Terima kasih kerana menolong hari itu.”

”Alhamdulillah..tak sangka ’ustazah’ ni temannya Yusni. Kecik je dunia ni ye? Berjumpa lagi kita.”

Safi kemudiannya menerangkan kepada Makcik Saadiah dan Yusni tentang bagaimana mereka boleh berkenalan. Hari pun berlalu dengan keadaan hospital yang sibuk menguruskan hal-hal berkaitan wabak H1N1.

--------------------------------------------

Keesokan harinya, ramai orang menziarahi para pesakit. Semalaman tidur di wad telah membuatkan Nizam rasa bertenaga. Nizam mengeliat sambil mendepa-depa tangannya. Walaupun bukan 100% cergas, namun Nizam bersedia untuk ’lari pecut’ keluar dari hospital itu. Hanya menunggu saatnya dia mendaftar keluar pada tengah hari itu.

Ayahnya, Pakcik Syafie telah membawa keluar beg keperluannya ke tempat parking. Nizam beransur melangkah dan bersalaman dengan pesakit yang berkongsi wadnya. Sesekali terlihat Nizam tertawa dan berdoa untuk mereka. Makcik Saadiah dan Yusni hanya memerhatikan dari penjuru katilnya. Yusni dan Safi datang bersama Pakcik Syafie dan Makcik Saadiah untuk menziarahi Nizam. Katanya sengaja untuk menyukakan Hanif dan Hakim yang ikut serta. Lagipun kereta Yusni boleh digunakan untuk membawa Hanif, Hakim, Sarah dan Zulaikha yang merengek-rengek mahu mengikuti.

”Seorang je? Teman mana? ” tanya Nizam kepada Yusni. Jarak antara mereka masih terjaga.

”Safi ke tandas katanya. Nanti bertemu di bawah juga. Sihat hari ini?”

”Alhamdulillah..” Nizam mencapai lengan Makcik Saadiah. ”Ummi..Ummi turun dulu lah dengan Yusni. Abang nak ke tandas kejap. Dah tak tahan rasanya ni. Nanti kita jumpa di pintu masuk.”

”Iye lah..Jangan pengsan di dalam tandas pula nanti.” Makcik Saadiah mengingatkan. Nizam tersengih diikuti Yusni yang tersenyum.

------------------------------------------------

Safi berjalan di lorong dari kantin. Menyuap masuk kedalam mulut akan rojak buah yang dibelinya. Sesekali melihatkan orang yang lalu lalang. ”Seronok juga jadi doktor ke jururawat, boleh berbakti pada orang. Best..best..” cakap Safi sendirian. Mulutnya tidak henti-henti mengunyah buah jambu batu yang terdapat dalam rojak itu.

Dalam laluannya, Safi terpandang cermin. Dengan segera Safi melihat wajahnya di cermin tersebut. Menghilangkan sisa-sisa rojak yang tercalit di sisi bibirnya. Lalu melemparkan senyuman paling comel kepada si cermin, dengan memperlihatkan lesung pipitnya.

”@!@!%^%# !!!!!!”
Badan Safi tersentak kerana terkejut oleh suara jerkahan daripada seorang lelaki berbangsa India. Lelaki itu sedang memarahi anak perempuannya. Safi menggeletar setiap kali lelaki itu melantunkan suara kerasnya. ”Garangnya...”

Safi dengan ketakutan melalui sipi-sipi di celah lorong itu menghindari pertelingkahan mereka. Simpati pada kanak-kanak perempuan yang menangis dimarahi ayahnya. Safi berdoa moga ada orang yang dapat meredakan kemarahan lelaki itu. Safi melangkah secepatnya untuk pergi dari situ.

PAP !!!!
Safi terkejut dengan bunyi kuat tamparan yang didengarinya. Dilihatnya budak perempuan itu tersungkur dengan bibir yang mula mengalir darah. Tambah pula, si ayah yang dalam posisi untuk menyerang lagi tubuh kecil itu. Budak perempuan itu terisak-isak menangis kesakitan.

Entah kekuatan dari mana, Safi menolak kuat lelaki itu menjauh dari anaknya. Safi lantas menarik budak malang itu, duduk melutut dan memeluk bahu budak itu sambil memejam matanya rapat kerana ketakutan. Badan Safi menggigil. Lelaki itu sedang meluru ke arah mereka. ”&#%*%@!!” Lelaki itu benar-benar dirasuk kemarahan.

Secara tiba-tiba, Nizam hadir untuk menenangkan keadaan. ”Sabar Encik!” jerit Nizam sambil menghalang lelaki itu yang bersedia menyerang anaknya lagi.
”Aaaah!!!” Nizam ditolaknya dan melayang ke tepi dinding. Lelaki itu melangkah mara ke arah Safi dan budak malang itu.

Nizam bangun dan menarik lengan lelaki itu dengan pantas. Lelaki itu berpaling dan melihat Nizam dengan wajah geram. Dihayunkan segenggam penumbuk ke arah Nizam. Safi menjerit ketakutan. ”Zam...!!”

Nizam menunduk. Tumbukan lelaki itu tersasar dan tubuhnya terdorong membelakangi Nizam. Nizam menolak lelaki itu membuatkan dia separuh terjatuh. Kemarahannya meluap-luap.

”Sabar Encik!! Sabar!!”Nizam bersuara tegas.

Lelaki itu bangun lalu menghayunkan tendangan ke arah Nizam dengan kaki kanannya. Nizam dengan pantas menghalang tendangan itu dengan betis kirinya persis seperti cara pertahanan seni Muay Thai. Lantas Nizam menumbuk kuat perut lelaki itu menyebabkan dia sedikit terdorong ke belakang. Lelaki itu terduduk melutut menahan senak. Dengan segera, datang tiga orang pengawal keselamatan menahan lelaki itu. Nizam menarik nafas lega.

Safi masih mengigil ketakutan. Mungkin dia masih terkejut dengan kejadian yang menimpanya. Kanak-kanak perempuan India itu juga masih tidak melepaskan pelukannya. Nizam begitu simpati dan mendekatkan diri ke arah mereka.

”Safi..sudahlah. Lelaki itu dah ditahan. Jangan takut lagi..” Nizam menenangkan.

Safi masih lagi memejamkan matanya. Digenggam erat budak dalam pelukannya. Nizam buntu.

”Ustazah Safi !! Cepat lari macam kartun! Lelaki tu datang balik..”

Safi menjegilkan matanya. Dilihat sekelilingnya. Takut...tetapi sudah tiada lagi susuk tubuh lelaki itu. Dia mula terasa geram dipermainkan. Ingin saja dia menumbuk Nizam yang bergurau sebegitu. Tetapi apabila melihat wajah Nizam yang tersenyum, rasa geramnya reda.

”Kena tolak sikit pun dah melayang...apa lah..” sindir Safi perlahan.

Nizam yang menangkap maksud perkataan itu lantas terus tertawa. Boleh tahan juga wanita di hadapannya ini memulangkan paku buah keras.

-----------------------------------

Nizam, Ummi, Abah dan Hanif berada dalam satu kereta, sementara Hakim, Safi, Sarah dan Zulaikha berada dalam kereta yang dipandu Yusni. Mereka menuju ke rumah Nizam.

”Sarah, Abang Nizam pernah belajar silat ke?” tanya Safi. Dia sedikit kagum dengan gerak langkah Nizam menghadapi lelaki yang dikuasai amarah tadi.

”Masa sekolah menengah dulu, abang pernah ikut kawan belajar tomoi. Selalu pulang lewat-lewat malam. Kadang-kadang bengkak2 dengan lebam2 badan dia.” jawab Sarah.

”Tomoi? Abang Nizam kamu masa belajar tu pakai seluar pendek lah ye?” Safi terkejut.

”Taklah..Abang Nizam tu pemalu, mana adanye dia nak pakai seluar macam tu. Biasanya dia pakai track suit panjang dengan baju lengan panjang warna gelap. Selalu je berselut lumpur pakaiannya bila balik. Tapi dah lama dia tinggalkan tomoi. Tak larat katanya.”

Safi mengangguk faham. Patutlah pergerakan Nizam sebentar tadi seperti orang yang mempunyai asas dalam seni pertahankan diri.

”Safi..bagaimana dengan budak perempuan India tadi? Kenapa sampai jadi macam tu? ” Yusni memotong percakapan mereka.

”Si emak budak tu datang ambil budak tu, katanya si ayah marah sebab adik budak tu masuk hospital sebab kakak dia tak jaga dengan betul. Terkena air panas yang dimasak kawasan rendah. Itu sebabnya ayah dia meradang sangat tu.”

”Kalau ye pun marah, takkan lah sampai nak belasah si kakak sampai kena masuk hospital juga?” Yusni ingin sekali mengetahui lebih lanjut.

”Entahlah Yus, biarkan aje. Perkara dah berlalu. Malas Safi nak fikir.” Penglihatannya tertumpu kepada Sarah kembali. Wajah manis si kecil ini menarik hatinya. Mungkin saja ramai lelaki di sekolah ingin menguratnya,bagaimana agaknya si Nizam mendidik adiknya yang satu ini.

”Sarah..abang Nizam kamu dulu tu belajar sekolah agama mana?”

”Umm? Taklah..abang Nizam belajar sekolah menengah harian biasa. Tempat sekolah Sarah belajar sekarang ni.”

Hairan, tapi Safi mengangguk faham. Perjalanan mereka diteruskan sehingga berakhirnya hari di sepanjang di hospital sebelumnya. Yusni dan Safi kian mengenali keluarga Hanif, Makcik Saadiah, Pakcik Syafie, Sarah, Zulaikha dan juga Nizam.

..dan juga Aishah, adik sulung Nizam yang baru melanjutkan pelajaran di ipta.

--------------------------------------------


Malam itu, Nizam tidak dapat tidur. Dia tahu kejernihan hatinya sedikit terganggu lantaran hadirnya Yusni dan Safi dalam dua hari sebelumnya. Dia cuba melelapkan mata, namun seakan ada kesalahan yang perlu dia perbetulkan terlebih dahulu. ”Inilah yang puak-puak lelaki katakan kolot! Kena tegur dengan perempuan sikit dah nak melambung ke langit ke tujuh.” cemuh Nizam pada dirinya sendiri.

Nizam bangun lantas menuju terus ke bilik air. Usai berwudhu, Nizam tidak terus ke biliknya. Sengaja dia pergi ke almari tempat menyimpan kitab untuk menyiasat sama ada perjalanan amal ta’alim kitabi keluarganya berjalan atau tidak sepeninggalannya. Nizam mencapai dan menyelak setiap ruangan kitab.

”Alhamdulillah...buat juga korang ye.”

Nizam meletakkan kembali kitab di rak dan masuk ke biliknya. Dihamparkan sejadah dan terus melaksanakan solah sunat hajat, memohon keampunan, hidayah dan kekuatan untuk terus dia, keluarga dan ummah kekal dalam mentauhidkan Allah dan berusaha meninggikan syiar agama Islam.

Selesai berdoa, Nizam duduk di sejadah dan beristighfar. Kemudian merenung dan muhasabah. Menyusuri waktu-waktu yang telah dijalani dan mencari amal dan niat yang terpesong dari jalannya. Manusia itu lemah dan sangat perlukan muhasabah untuk menyemak kelemahannya. Supaya hati dapat sentiasa bertaqarrub kepada Allah, menginsafi kelemahan dan mengakui Kebesaran Nya.

Nizam menyedari satu perkara. Entah mengapa dirinya begitu ’cair’ untuk bermanis-manis muka pada wanita ajnabi baginya. Resah melihatkan kesedihan atau murung pada kaum hawa. Lantas melemparkan senyuman, bersama sedikit usikan dan gurauan... adakah halal ia bagiku? Nizam menadahkan tangan..

”Ya Allah..berikan aku petunjuk..ke jalan yang benar..”

”Insya Allah..akan aku jaga untuk tidak melampaui batas lebih dari itu.” pujuk Nizam untuk menenangkan resah hatinya.

”Lantas? Apakah batasnya?” Nizam bermonolog dengan dirinya sendiri.

”Batasannya adalah garis syariat yang berpandukan Al-Quran dan Hadith. Kejernihan hati akan ku jaga supaya tidak dicemari syahwat yang membinasakan. Akan aku hisab perlakuan yang tidak mendorongku mengkhianati perintah Allah. Sungguh..orang yang beriman adalah orang yang mentaati perintah Allah dengan hatinya dan terzahir melalui perbuatannya...”

”Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah)...” [ Al ’Ankabut :: 38 ]

Nizam bingkas bangun dan menunaikan solah taubat. Dipegang kukuh amanat gurunya supaya tidak meninggalkan dua solah sunat ini dalam jangka waktu seharian. Solah hajat memohon untuk dikekalkan hidayah dan maju dalam usaha agama. Solah taubat mengharap pengampunan Nya atas dosa-dosa dan kelemahan diri dalam menunaikan perintah Allah dan Rasul.

”Duhai hati,..tenanglah. Sama-sama kita ikhlas berusaha untuk makrifat pada Nya. Nak tidur ni, mengantuk.” ...bicara Nizam pada hatinya dan terus menunaikan keperluan untuk kerehatan dirinya iaitu tidur... (hehe)


-----------------------------------------


Hiruk pikuk murid-murid semasa waktu rehat yang bermain di sekitar padang sekolah mengingatkan Safi pada zaman persekolahannya dulu. Dahulu dirinya pernah dikatakan seorang tomboi kerana sering bermain dan bergaduh dengan budak-budak lelaki. Tidak sedikit dia memukul budak lelaki dan tidak sedikit juga dia dipukul. Safi tersenyum sendiri. Zaman persekolahan kanak-kanak yang diingatinya.

”Aii..buat apa tu? Teringat siapa?” tegur Yusni. Safi sedikit terkejut dengan kehadiran Yusni secara tiba-tiba.

”Terkejut lah Safi,Yus..selalu buat macam tu. Eiii!” Safi mencubit Yusni seenaknya. Yusni mengaduh. Walaupun sudah sering dicubit Safi, tapi dia masih belum puas mengusik sahabatnya itu.

”Puasa ye Safi? Rajin ye Safi puasa bulan-bulan akhir ramadhan ni.” Sinis Yusni yang sudah mengetahui Safi berpuasa ganti. Safi menoleh ke arah Yusni lalu menarik-narik pipi Yusni dengan kedua-dua tangannya. Yusni berpaling mengelakkan pipinya terus ditonyoh.

”Ok..ok..Yus tak usik lagi. Safi, Yus nak tanya boleh? Tapi Safi jangan marah.” Yusni kembali duduk berhampiran Safi yang melekat di akar pepohon rimbun yang besar itu.

”Tanyalah Yus..Yus memang dah selalu kena marah dengan Safi kan?” jawab Safi selamba sambil melontarkan pandangannya kepada budak-budak yang bermain di padang.

”Betul juga...hehehe. Umm..Syafiq, bekas tunang Safi tu dah tak contact Safi lagi ke?” Yusni semakin mendekat ke arah Safi. Mereka berdua bertenggek di akar pokok itu seperti sepasang merpati dua sejoli.

”Tak Yus..orang dah tak hingin kat kita, buat apa nak contact lagi? Dia pun mungkin dah jumpa calonnya.” ujar Safi, menunduk.

”Mustahil! Safi kan comel sangat..takkan la dia tak menyesal sebab lepaskan Safi.”

”Tahu takpe..Safi tahu Safi comel, ramai lagi yang nakkan Safi..tapi biarlah Safi habiskan pengajian dulu. Biarlah diorang menunggu.”

”Hehehehe..perasannya budak ni!” Yusni mencucukkan jarinya di lesung pipit Safi. Safi tertawa mengelak.

”Apa pulak?!! Yus yang kata Safi comel tadi. Betul apa? Hehee..” Mereka berdua ketawa bersama. Sekumpulan murid-murid perempuan ikut tersenyum melihat gelagat mereka berdua.

Mereka berdua melihat ke arah budak-budak lelaki yang bermain bola di padang. Sesetengahnya menyepak bola sehingga terpelanting kasutnya. Yusni kemudian bersuara perlahan..

”Tapi kan Safi..yang akan hadir dalam hidup kita cuma seorang lelaki. Yang akan tunaikan tanggungjawab dia sebagai suami. Dalam hati kita sudah tidak boleh wujud ruang untuk lelaki lain tau..dialah imam, dialah pembimbing, dialah kekasih.. Kemuliaan dan kehormatan kita hanya halal untuk dia. Semoga Allah berikan sebaik-baik suami kepada kita, Safi...”

Safi menoleh melihat Yusni,ada sinar pengharapan dimatanya yang jauh memandang di hadapan. Safi kemudiannya merenung kata-kata Yusni lalu berkata,”...dan biarlah lelaki itu menjadi teman hidup kita yang pertama dan terakhir. Yang membimbing kita menuju redha Ilahi.”

Yusni mendekat ke arah Safi lalu membisikkan sesuatu, ”Safi demand tinggi sangat kot? Ustaz lulusan dari Mesir pun ditolaknya...hehe” Yusni bingkas bangun dan melarikan diri. Dia tahu Safi akan benar-benar geram dengan perkataannya itu.

”Yusssniii !!!!!!!!!!!!!”

------------------------------------

Safi melepaskan beg tangannya di atas katil. Ibunya masih lagi mengikuti pengajian di pondok. Asrama kecil ini adalah tempat persinggahannya apabila Safi pulang menjenguk ibunya. Safi menghempaskan badannya ke atas katil usang itu. Berkeriut bunyinya.

Safi menyumbatkan earphone mp4 ke telinganya. Lagu kumpulan nasyid terkenal yang digemarinya. Safi meniarap dan mengeluarkan laptop melalui beg galas. Dihidupkan dan dimasukkan password. Bahagian ”My Picture” diklik. Puluhan gambar keluar memenuhi skrin laptopnya.

Safi kemudiannya melihat satu persatu gambar di dalam folder miliknya. Di klik satu bahagian. Beberapa gambar lelaki yang dihiasi frame-frame cantik dipaparkan. Memang hobi Safi untuk menghiasi gambar kenalan lelakinya di laptop. Gambar-gambar abang angkatnya dan juga kenalannya. Tidak banyak.

Gambar itu kemudian ditatapnya. Perwatakan setiap individu dalam gambar itu diingati. Gambar-gambar itu diberi nama ’cekodok’ , ’cucuq udang’, ’cucuq badak’ dan sebagainya. Safi kembali baring dan merenung kata-kata Yusni.

”Tapi kan Safi..yang akan hadir dalam hidup kita cuma seorang lelaki. Yang akan tunaikan tanggungjawab dia sebagai suami. Dalam hati kita sudah tidak boleh wujud ruang untuk lelaki lain tau..dialah imam, dialah pembimbing, dialah kekasih.. Kemuliaan dan kehormatan kita hanya halal untuk dia. Semoga Allah berikan sebaik-baik suami kepada kita, Safi...”

Safi memadam semua gambar itu. Dia merasa cemburu dengan Yusni yang dapat menjaga dirinya dari keterlibatan dengan mana-mana hubungan lelaki ajnabi baginya. Sekadar di luaran dan tidak menjengah ke dasar hati. Safi mengakui dia tidak menyimpan hati untuk mana-mana lelaki tetapi tidak menafikan seringkali memuja dan memperkatakan perwatakan lelaki yang dikenalinya. Membandingkan antara si lelaki A dengan si lelaki B. Pendek kata, bila tibanya soal percakapan mengenai lelaki sesama teman sekuliah..dia akan turut serta. Tidak seperti Yusni yang akan segera menghindar.

Safi bangun. Menggenggam tangannya. Azam baru dengan semangat yang baru. Untuk berubah menjadi muslimah yang terbaik. Untuk mendamba cinta Allah. Untuk menyediakan dirinya untuk dimuliakan oleh lelaki pertama yang akan meyentuhnya, suaminya... ”Chaiyok! Chaiyok!” kata Safi dengan penuh semangat.

”Buat apa cakap sorang-sorang tu? Buang tebiat?!” tegur ibunya yang melepaskan tudung sejurus selepas menutup pintu yang tadinya terbuka. Ibunya baru pulang dari pengajian.

Safi tertawa dan menuju ke arah ibunya. Bersalaman dan mengomol pipi ibunya dengan kasar. ”Muah..Muah...Caaayang Mak.”

--------------------------------------


Hari ini Nizam cuti. Pusat rawatan yang diuruskan dia bersama teman-temannya dipertanggungjawabkan kepada seorang remaja lelaki lepasan STPM. Hanya aktiviti jual beli yang berlaku, manakala aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma akan ditangguhkan sebentar. Ada agenda yang perlu Nizam dan rakan-rakan seusaha perlu uruskan. Mencari prospek-prospek yang akan menyambut tawaran program dakwah! Mereka akan mengadakan program di sebuah perkampungan pedalaman selama beberapa hari. Nizam diberikan senarai nama prospek yang perlu diziarahinya untuk panggilan susulan. Apabila terlihat nama seorang sahabatnya, Nizam menanda nama itu terlebih dahulu dan memulakan usaha ’mengurat’.

Nizam meninggalkan masjid dengan menunggang motosikal Honda EX5. Destinasinya adalah rumah Pak Cik Ikbal. Dia ingin membawa Pakcik Ikbal bersama.

”Assalamu’alaikum..Pakcik Ikbal”

Makcik Bedah keluar dari penjuru tingkapnya. Melihat-lihat siapakah gerangan yang memanggil suaminya. ”Wa’alaikummussalam..siapa tu?”

”Saya Ahlong.. nak kutip hutang. Hehe..”

”Ohh..Zam! Hutang takda,Zam. Batang penyapu adalah, nak? Hehe.. Pakcik Ikbal kamu takdalah Zam..pergi ziarah rumah anak saudaranya tadi. Petang nanti baliknya. Ada hal apa Zam?” Makcik Bedah sedia maklum yang Nizam tidak akan masuk ke rumah jika dipelawa sekiranya Pakcik Ikbal tiada di rumah.

”Ye ke? Zam ingat nak ajak Pakcik Ikbal ronda-ronda naik moto hari ni. Takpelah Makcik, kirim salam sayang kat Pakcik. Zam pergi dulu. Assalamu’alaikum.”

”Wa’alaikummussalam..baik-baik minta hutang tu..hehe..”

Nizam tersengih sambil terus memandu motosikalnya ke atas jalan. Destinasinya adalah rumah Rohaizat. Sahabat yang dikenalinya ketika melakukan program di kawasan perumahan tempat tinggalnya.

-----------------------------------------------

”Assalamu’alaikum Izat!” Nizam memberhentikan motosikalnya bersebelahan dengan Rohaizat yang sedang membasuh kereta. Nizam menongkat motosikal dan berjalan menuju ke Izat. Izat sudah sedia mengeringkan tangannya dengan tuala danmenyambut tangan Nizam.

”Wa’alaikummussalam ya sheikh. Lama tak jumpa?” Izat memulakan bicara.

”Ye lah, lama tak jumpa anta. Dah jadi ahli parlimen ke sekarang?” gurau Nizam pada Izat. Izat tergelak besar. Walaupun tidak kenal begitu rapat, namun mereka dapat berbual dengan baik.

”Baru habis belajar, Zam. Tengah cari kerja sekarang. Hang duk buat apa sekarang ni Zam?” tanya Izat sambil mempersilakan Nizam duduk. Mereka berdua duduk di atas bangku kayu panjang.

”Berniaga sikit-sikit. Ana berkongsi dengan teman buka pusat rawatan tempat lot kedai depan masjid nu..Anta sihat?” Nizam mengeluarkan minyak wanginya. Dicalit di tangannya sedikit dan disuakan pada Izat sedikit kemudian disimpan.

”Alhamdulillah..oklah tu. Tapi bukan ke hang belajaq bidang kejuruteraan dulu? Macam mana hang leh berniaga pula?” tanya Izat yang berminat.

”Dah rezeki Allah,Izat. Kalau rezeki di penjara, ke penjara lah tempatnya..hehe. Lagipun ana memang minat juga berniaga. Iman macam mana? Sihat?” Nizam mencelah tanya.

”Iman? Lemah sikit lah Zam. Hang bukan taktau, suasana zaman sekarang ni, macam-macam godaannya.” jawab Izat sambil tersengih.

”Elok benarlah tu. Anta pun ada masa marilah join program kami dekat Kampung Buluh. Kita sama-sama cas iman, ana pun lemah juga. Nanti ramai budak-budak muda dekat sana boleh belajar dari Rohaizat. Insya Allah?” Nizam memancing Izat.

”Insya Allah..tapi tak semua orang ada ilmu macam hang, Zam. Tak semua orang baik macam hang..” ucap Izat, perlahan.

Hati Nizam terusik mendengarkan perkataan Izat itu. Dia cuba mendalami maksud Izat.. ”Kenapa Anta kata macam tu? Di dahi ana tak ada pun tertulis ana lebih bagus dari anta..dan kat dahi anta pun tak ada pula ana lihat ada tulis anta lagi teruk dari Ana? ” tanya Nizam tersenyum. Izat terdiam.

”Izat..ana sendiri pun tak pernah dapat pendidikan agama yang formal,sekolah menengah biasa je. Ilmu yang kita dapat tu datang dari sini...” Nizam menunjukkan ke arah dadanya dan dada Izat.

"KEMAHUAN dan KESUNGGUHAN kita. Sejauhmana kita bersunguh-sungguh berusaha untuk mendekatkan diri kita pada Nya. Sejauhmana kita bersungguh-sungguh untuk menggapai cinta Nya, mendapat redha Nya.

Tidak wujud kesungguhan tanpa kemahuan, Izat. Bila kita mahu, kita akan bersungguh-sungguh mendatangi majlis-majlis ilmu, pengisian-pengisian rohani.. kita akan faqih dalam mencari Nya, dalam meraih pandangan redha Nya. Dan bila kita berusaha dan bermujahadah di jalanNya, Allah akan buka pintu-pintu hidayah.

..Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. [ Muhammad :: 7 ]

Allah pandang kemahuan dan kesungguhan kita, Muhd Rohaizat bin Shuib. Kan anta dah kena ceramah free..hee” Nizam mengosok-gosok bahu sahabatnya itu.

”Terima kasih Zam. Hang banyak nasihat aku.” Izat bercakap sambil menepuk lutut Nizam. Nizam tersenyum dan mendekat ke arah Izat.

”Ana sayangkan anta kerana Allah. Esok-esok mungkin tiba giliran anta menasihati ana. Hidup ni tak lari dari saling menasihati,Izat. Kita sama-sama jadi sahabat dunia akhirat.” Nizam memeluk Izat dan menepuk-nepuk perlahan belakangnya. Tautan ukhwah fillah sesama mereka dieratkan.


-----------------------------------


Selepas menziarahi Rohaizat, Nizam memandu pulang kerumahnya. Kata-katanya kepada Izat sebentar tadi terngiang-ngiang di fikirannya. Nizam tidak henti-henti bertanyakan soalan kepada dirinya sendiri..

”Mahukah kamu pada Allah?”
”Bersungguhkah kamu kepada Allah?”

Bersama kelajuan motosikalnya, air matanya menitis melintang di pipi, kemudian hilang bersama deru angin.

Ya Allah, kenalkan kami kepada Mu sehingga kami benar-benar mengenali Mu...


--------------------------------------

Safi memegang besi di sisi tangga dengan kuat. Kepalanya terasa bagaikan mahu pitam, nafasnya termegah-megah. Namun terus melangkah untuk menuju ke kelas 3 Murni. Dia menyesal kerana tidak mengambil cuti pada hari itu. Sejak awalnya dia merasakan sakit-sakit di seluruh tubuhnya. Langkahnya diperhatikan oleh seorang lelaki di bawah dan bergegas menuju ke arahnya.

”Safi..ok ke?”

Safi melihat lelaki yang cuba membantunya. Ustaz Yusof. Safi berusaha sebaik mungkin menunjukkan dia ok.

”Ya Ustaz, Saya ok.” ujar Safi perlahan lalu terus melangkah. Ustaz Yusof mengikuti belakangnya, bimbang Safi kembali berkeadaan seperti tadi yang seakan mahu jatuh.

Safi mengeluh. Rasa segannya kepada Ustaz Yusof tidak dapat dielak, tambahan pula Cikgu Rosnani pernah bercerita kepadanya yang Ustaz Yusof sangat berminat dengan Safi dan ingin meminangnya. Mereka semua masih belum mengetahui yang Safi pernah putus tunang dan masih belum terbuka hatinya untuk bernikah. Dia ingin menghabiskan pengajiannya terlebih dahulu. Hanya Yusni yang akrab menjadi teman berkongsi. Safi mempercepatkan langkah dan Ustaz Yusof kembali menuruni tangga menuju ke destinasi sebelumnya.

--------------------------------------------

Apabila Safi masuk ke kelas, Safi menjawab salam yang diberikan muridnya dan membuat mimik muka yang melucukan. Seluruh kelas yang hairan dengan kelakuan Safi terus ketawa berdekah-dekah. Paling ketara sekali adalah Hakim. Dia ketawa sambil menepuk-nepuk mejanya dengan kuat.

”Hakim !! Ketuk ketampi 10 kali sebab buat bising.” tegas Safi. Seluruh kelas terdiam menahan ketawa. Hakim perlahan-lahan keluar sedkit dari tempat duduknya dan memulakan denda yang diterimanya sambil tertawa mengeluh. Safi tersenyum. Semua murid sedia maklum dengan perwatakan kebudak-budakan guru mereka yang suka ’membuli’ mereka dan bergembira bersama. Kehadiran Safi benar-benar menceriakan hati mereka, seorang cikgu yang dikasihi.

”Hari ini cikgu tak larat. Siapa bising, Cikgu lempar dia ke luar tingkap. Ada faham?!” Safi meniru-niru gaya lakonan filem P. Ramlee.

Seluruh murid tertawa. ”Faham Cikgu!”

---------------------------------------------

Petang itu, Yusni yang menyedari keadaan Safi tidak seperti biasa. Safi sekadar duduk menyandar dan memejamkan mata sepanjang pemanduannya ke rumah.

”Safi..are you allright?” tanya Yusni sambil menggosok-gosok bahu Safi yang seakan terlelap.

”Im okay, Yus.” jawab Safi yang tidak mengendahkan sangat kerisauan Yusni. Yusni memperlahankan kenderaannya, memberi lampu isyarat dan berhenti.

”Safi jangan nak tipu Yus. Yus tahu Safi tak sihat. Yus pun tahu Safi tu takut nak jumpa doktor kan?” tanya Yusni kepada Safi dengan serius. Safi mengeluh kerana dia tidak berupaya mengelak dari sahabatnya yang satu ini.

”Ye..ye..Safi tak berapa sihat sangat. Safi rasa penat dengan pening-pening je Yus. Lepas bangun tidur nanti Safi ok lah. Yus jangan risaulah.”

Yusni mengeleng-geleng, memang Safi adalah seorang yang degil. Memang takkan menang kalau berdebat dengannya. Yusni memberikan lampu isyarat lalu menyusur keluar pulang ke rumah.

------------------------------------------------------


Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Betapa ramai daripada kalangan orang yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang beribadah malam yang tidak mendapat apa-apa ibadahnya kecuali berjaga malam."

Nizam mendongakkan kepalanya. Sesekali beristighfar. Dia sudah sering terlena setiap kali bacaan kitabi pada pagi itu. Setiap kali mendatangi majlis seperti itu, ada sahaja rasa mengantuk datang menguasai. Cuba tatkala mengadap laptop melayari internet, insya Allah selagi tidak mencecah dua jam, mata tidak akan kuyu. Nizam beristighfar lagi dan lagi.

Nizam melihat di samping kanan dan kirinya. Hazrul dan Amirul mendengar Rizman yang sedang membaca keterangan hadith, terselit rasa bersalah. Seharusnya dia menunjukkan contoh yang baik pada anak muda yang sudi memberi masa mengikut program mencintai masjid dan bulam Ramadhan. Mereka dengan tekun dan perasaan penuh takzim menyambut setiap butiran kata dari pembaca. Wajah mereka terpancar kesungguhan.Nizam menggambarkan wajahnya sekarang ini mungkin sahaja suram dan mamai. Nizam mengangkat tangan mengundur diri untuk membasuh muka.

"Astaghfirullah hal a'zim.." Nizam menceduk air di kolah dan membasuh wajahnya. Ditampar-tampar pipinya untuk menghilangkan sisa rasa mengantuk yang masih ada.

Nizam kembali ke majlis taalim kitabi dan duduk di samping Rizman. Rizman yang memahami maksud kedatangan Nizam mula memberhentikan bacaannya selepas keterangan mafhum hadith diberikan.

"Abang minta maaf ya adik-adik sebab terlelap tadi. Sepatutnya menjadi tugas abang memantau adik-adik tapi nampaknya adik-adik kena pantau abang pula. Kan? Ketuk abang kalau abang terlena."

Hazrul, Amirul dan Rizman masing-masing tersengih.

"Firman Allah dan sabda Nabi punya nur. Nur yang akan melembutkan hati-hati. Nur yang memberikan sakinah dalam jiwa. Nur yang padanya ada keberkatan wahyu, yang dengannya membuatkan kita celik mata hati basyirah kita, mengenal yang haq dan bathil. Itu sebabnya kita perlu jadikan satu amalan untuk sentiasa mendengar ayat-ayat Al Quran dan hadith Nabi s.a.w. Supaya hati kita tidak lalai dan alpa."

"Hazrul baca Al Quran banyak mana sehari? Amirul?" tanya Nizam. Mereka berdua cuma tersenyum menunduk dan melihat satu sama lain.

"Ulama' pesan satu juzuk sehari atau pun sekurang kurangnya seratus ayat, ataupun sekadar satu halaman mengikut kemampuan kita." Nizam melihat kedua-dua wajah anak muda dihadapannya lantas menyambung, " ..dan kalau itu pun kita tidak mampu.. capailah Al-Quran, cium dan doa,'Ya Allah, berilah aku hidayah untuk mencintai ibadah membaca Al-Quran. ' Adik-adik fahamkan? Kalau tak faham, abang nak try speaking.."

Hazrul dan Amirul tersenyum, mereka mengangguk. "Faham abang. hehe."
Rizman ikut tersenyum, dia sedia maklum perwatakan Nizam yang sedikit 'loyar buruk' berkadar untuk menarik hati remaja belia.

"Maafkan abang kerana terlelap tadi. Tetapi untuk menghormati ayat-ayat Al-Quran dan Hadith Nabi ada adab-adabnya. Sebaiknya, adik-adik dalam keadaan bersih berwudhu. Duduk mendengar dengan membawa sifat tawajuh, takzim,tasdiq dan tawadhuk. Tawajuh ialah dengan memberi perhatian pada perkara yang disampaikan. Takzim adalah membesarkan dengan hati akan maksud firman Allah dan Hadith Nabi. Tasdiq pula adalah membenarkan cahaya-cahaya Al Quran dan Hadith memasuki hati dan terserap menjadi amalan. Manakala tawadhuk pula adalah mendengar dengan perasaan rendah diri pada Allah Azza Wajalla."

Nizam menggosok-gosok matanya. Ternyata rasa mengantuknya masih belum sirna. Berkali-kali dia beristighfar. Dia hairan dengan dirinya, saat dirinya adalah 'orang baru' dalam amal dakwah, dia dapat tawajuh dalam setiap amal yang dilakukan.

"Maaf abang ye dik. Asyik tersengguk-sengguk aje pagi ni."senyum Nizam.

"Abang bangun solah tahajjud awal semalam, mana tak hilang mengantuknya." Rizman mencelah. Memang dia sedar saat mamainya semalam, dia melihat Nizam berjubah putih sedang mengerjakan solah. Waktu dia sedang sedap lena dan kembali menyambung tidurnya.

"Mana Rizman tahu..tanya Hazrul ni. Abang tidur berdengkur sebelah dia. Siap berirama lagi.. kan Hazrul kan? Entah-entah Hazrul berbulu dekat abang?"cuit Nizam pada Hazrul. Hazrul tersenyum, memang dia tahu yang Nizam tidak tidur sebelahnya semalam tetapi kata-kata Nizam melucukan.

Nizam cepat-cepat memutuskan sesi perbualan mereka dan kembali fokus.

"Alhamdulillah..kita akan adakan program di Kampung Buluh ini selama 4 hari. Ini adalah atas permintaan penduduk kampung sini. Kita tak mampu lagi nak masuk ke kawasan pedalaman, tapi Insya Allah..kita akan meraih pengalaman yang berguna disini. Dalam pukul 11 pagi nanti, pasukan akan dibentuk untuk mencari sasaran-sasaran anak muda yang berlepak di tepi-tepi jalan. Pelajar yang dah datang tu kita akan serahkan pada Ustaz Hambali dengan Haji Hazmah. Jangan jemput datang makan..sebab apa??.." tanya Nizam.

"Sebab bulan puasa..." Hazrul dan Amirul seiringan menjawab. Mereka tersengih.

"Haaa...tu baru dengar 3,4 hadith pun dah pandai dah..boleh jawab pun"gurau Nizam.

Hazrul, Amirul dan Rizman tertawa kecil.

"Insya Allah,program yang kita aturkan selama 4 hari ini sama-sama lah kita jaga diri kita untuk taat dengan jadual yang telah dibuat. Tenaga kerja kita seramai 12 orang,so tak jadi masalah untuk kita berganding bahu berkongsi tugas. Lagipun orang-orang kampung sini semua baik-baik. Banyak sungguh juadah berbuka puasa kita semalam, ye tak? Kita buat mee goreng je, tapi yang datang macam-macam. Boroi je perut abang ni haa.." Nizam menunjukkan badannya yang kurus. Masing-masing tertawa.

Tidak beberapa lama, datang sekumpulan remaja. Mereka bersedia untuk ikut serta dalam program yang telah dirancangkan. Nizam bangun dan meminta Rizman meneruskan majlis kitabi sambil Nizam mencari Cikgu Khairuddin untuk memberi sedikit taaruf pada pelajar dan bapa-bapa yang hadir.

"Ya Allah..terimalah ibadah puasa kami, terimalah solah berjaga malam kami..ameen..ya Rabbal A'lamin."

Doa Nizam perlahan, menghisab diri akan mafhum hadith yang didengarinya tadi. Nizam tidak lupa dalam bicaranya.

----------------------------------------------------------------
Share/Bookmark

0 comments:

Katogeri



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Powered by Blogger.