HOT ! ~ Harga Sebuah Ketenangan..

Fitrah manusia sememangnya inginkan ketenangan.

Ketenangan dicari dan diburu oleh jutaan manusia di dunia pada hari ini. Terjadinya krisis di dunia pada hari ini kerana tiada ketenangan dan kasih sayang. Ketenangan adalah anak kunci pembuka gedung perasaan dan fikiran. Kita boleh membuka tabir-tabir perasaan manusia dengan ketenangan yang dimiliki. Kita juga boleh membuka lembaran fikiran manusia dan mengambil ilmu daripadanya.


Sebenarnya ketenangan itu menjadi kecemburuan orang, lebih-lebih lagi syaitan. Syaitan tidak dapat menguasai orang yang tenang. Demikian juga Yahudi, kafir dan munafik, mereka tidak dapat menguasai peribadi Muslim yang tenang. Ketenangan yang dimiliki apabila digunakan untuk menyuluh dan mengawal roh, perasaan dan jalan berfikir manusia, akan menghasilkan kesan yang hebat dan diluar jangkauan akal di dalam perlakuan mereka mengendalikan ekonomi, politik, pentadbiran dan kerja-kerja lain.

Ketenangan inilah yang dicari-cari oleh ahli fikir kerana mereka tahu bahawasanya idea yang hebat diwaktu tenang akan luar biasa kesannya kepada orang yang mendengar ucapan dan membaca tulisannya. Mereka yang mengeluarkan idea atau memerah fikiran di dalam keadaan jiwa gelisah dan tidak tenteram, sama seperti industri yang mengeluarkan bahan-bahan yang tidak bermutu atau rendah kualitinya. Besar kemungkinan barangan itu akan ditolak oleh piawaian. Kalau dipasarkan juga ke tengah masyarakat, harganya akan jatuh menjunam. Demikian harga buah-buah fikiran dari mereka yang resah gelisah.

Ketenangan itu sangat tinggi nilainya. Ia tidak diniagakan di Bursa Saham Kuala Lumpur atau Tokyo, juga tidak diniagakan di Wall Street. Tetapi diniagakan di dalam pasaran Kalbu Mukminin iaitu hati manusia di seluruh dunia dan sepanjang zaman. Ramai manusia yang cuba menanam modal untuk mengaut keuntungan yang besar iaitu ketenangan. Tetapi yang mencapai peringkat tenang itu sangat sedikit. Yang banyak ialah mereka yang salah menanam modal kerana ditipu oleh Bursa Saham Duniawi.

Sememangnya mata benda dunia itu diselaputi dengan keindahan dan ketenangan yang palsu. Firman Allah :

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia berbagai keinginan yang terdiri daripada wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binantang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan sesungguhnya kepada Allahlah tempat kembali yang baik (Syurga). Katakanlah: Inginkah aku khabarkan apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Untuk orang-orang yang bertaqwa (kepada Allah) pada sisi Tuhan mereka ada Syuga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Dan (ada pula) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambanya. Iaitu orang-orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman. Maka ampunkanlah segala dosa kami dan peliharalah kami dari siksa api neraka.”

(Ali Imran 17-23)


Ketenangan itu adalah harta kekayaan yang maknawi, yang abstrak, bukan zahiri. Bukan barang nyata yang dilihat oleh mata kepala. Tetapi ia berada di alam rasa yang luasnya lebih luas dari alam cakerawala. Untuk mendapatkannya adalah sangat sukar. Firman Allah:

“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang.”
(ar Raad: 28)


Mengingati Allah sehingga melahirkan tenang bukannya senang.
Ramai orang yang beribadah dan mengingati Allah, tetapi jiwa mereka kusut. Mengapa?. Kerana ibadah mereka itu tidak dijiwai dan dijagai adabnya. Tuntutan ibadah tidak dilaksanakan. Ramai manusia yang fikir apabila menunaikan ibadah kepada Allah, mereka telah melaksanakan tuntutan ibadah. Belum selesai lagi. Kerana tuntutan ibadah itu ada hubungannya dengan manusia. Ibadah melahirkan akhlak. Akhlak melahirkan kasih sayang dan kemesraan sesama manusia. Jikalau kasih sayang sesama manusia belum wujud di dalam diri kita, ertinya ibadah yang kita lakukan masih belum sempurna.
Kerana itu ramai yang kita lihat rajin sembahyang, rajin berpuasa, rajin pergi umrah tetapi hati mereka tidak tenang. Kenapa? Kerana mereka rajin pergi umrah tetapi jiran mereka kelaparan mereka tidak ambil tahu.
Mereka rajin bersembahyang, tetapi jiran mereka tidak ada pakaian, mereka tidak peduli. Tidak ada kasih sayang, tidak ada silaturahim. Maka hasilnya tiada keberkatan dan ketenangan. Kerana itu barang siapa yang memiliki ketenangan, hendaklah menghebah dan memberikannya kepada manusia yang lain yang memerlukannya.

Bagaimana caranya?
1) Melalui nasihat
2) Mendoakan orang yang gelisah itu supaya tenang
3) Menghadiahkan zikir, wirid dan tahlil
4) Menunjukan muka tenang kepada orang yang gelisah Itulah tuntutan yang perlu kita sempurnakan apabila kita telah diberi nikmat ketenangan.

Nikmat itu jikalau kita syukuri dan jagai dengan adab dan tertib akan ditambah oleh Allah s.w.t.Perbanyakkanlah berdoa dan beribadah kepada Allah semoga Allah memberikan kita ketenangan yang hakiki dan abadi. Amin ya Rabbal Alamin.

Wallahhua’lam.


(Sumbangan: Mohd Fathi - Mesir)
source: http://hasbollah.blogspot.com
Share/Bookmark

Please, Stop!

“Berlagak alim! Tapi jahat, berhati busuk dan keji.”

Status FB kadang-kadang mengundang amarah. Jika tidak dikawal, boleh menjadi medan perdebatan dan terbuka segala aib. Na’uzubillah.

Pedih juga bila ‘terasa’. Pertuduhan tanpa pertanyaan, pertimbangan dan bukti ‘agak’ menghiris perasaan ini. Mana mungkin tidak, seseorang yang menyukai, mengenali siapa kita, tiba-tiba melabel diri ini sebegitu rupa. Dan ana sedar..tanpa angin, pokok tidak akan bergoyang.

Ana memilih untuk diam,menghindar dan menganggapnya remeh. Kerana untuk mendatangkan saksi dan fakta sebenar, melibatkan aib beberapa individu.

Hairan, walaupun kita diam. Masih ada yang tidak berhenti meraih simpati, yang menjadi mangsa adalah si ‘pembela’ yang terburu-buru menghukum tanpa bukti. Ana serahkan urusan ini kepada Allah kerana ana bukan seorang narcissism, psychotic yang menggunakan bahasa agama. Keadilan Allah adalah haq, sesiapapun termasuklah ana tidak akan dapat melarikan diri.

Alhamdulillah, di suatu sudut ana bersyukur kepada Allah. Kerana ana punya teman-teman yang baik. Yang selalu mengajak solah berjemaah, ziarah. Tidak kurang juga Zarul yang selalu mengajak minum susu dan menjamah nasi. Asrul yang tidak lokek menyediakan pengangkutan. Hayat yang sentiasa mengikuti dan menyokong dalam apa jua aktiviti yang ana jalankan. Juga teman-teman lain yang dapat melihat dengan jernih siapa sebenarnya ‘ahmad fikry’. Jazakumullahu khairan katsiro.

Ukhuwah itu indah apabila semuanya kerana Allah. Seikhlas senyuman kanak-kanak,yang hanya senyum tanpa ada niat sebaliknya.

====================
TIPS HADAPI FITNAH
====================
Fitnah adalah suatu tuduhan palsu. Ianya tak benar. Kadang-kadang menyakitkan hati, kadang-kadang membangkitkan rasa marah membuak-buak, rasanya kalau jumpa sumber fitnah tu, nak aje kita luku kepala dia sampai lumat.

Dan macam-macam reaksi orang terhadap fitnah sebab Allah SWT menganugerahkan kita suatu kurnia yang disebut gharizatul baqa' (survival instinct). Dengannya kita mempertahankan status diri, jika kita benar mengapa perlu dibiarkan kepalsuan, jika kita tinggi mengapa biar kita dijatuhkan, jika kita mulia mengapa biar kita dihina.. demikianlah peranan gharizatul baqa', suatu potensi hidup (thaqatul hayawiyah) yang Allah ta'ala anugerahkan kepada setiap manusia. Bila difikir-fikirkan, rupa-rupanya ada beberapa teknik menghadapi fitnah. Boleh jadi ia berkesan, boleh jadi ia menjadi semakin menyeksakan. Antaranya,


1. Masuk kandang bersalah (defensif);

Teknik ini sering kali digunakan oleh pihak yang suka memanjangkan kes. Misalnya kita dituduh secara melulu tanpa sebarang bukti dan saksi. Ketika itu, dalam reaksi kepada fitnah tersebut kita menjawab, "BUKTIKAN!" Hahaha.. dengan kenyataan tersebut secara tak langsung kita telah masuk kandang bersalah dan minta dibicarakan. Dan dengan teknik ini,kadang-kadang yang tak bersalah boleh dijatuhi bersalah. Prosesnya semakin rumit dan rumit. Teknik ini popular dikalangan pemikir dangkal!


2. Serang balas; teknik ini agak aggresif.

Pihak yang difitnah benar-benar tak redha dan mengambil pendirian untuk tidak berdiam diri. Teknik serangan boleh jadi termasuk teknik defensif (seperti diatas) atau teknik offensif. Boleh pula offensif berlaku dalam dua keadaan; serangan fizikal seperti ambil kayu ketuk kepala tukang fitnah dan seumpamanya (hehe) atau serangan secara psikologi seperti mengeluarkan kenyataan berbentuk offensif.


3. Buat 'derk' je (buat dono);

Teknik ini agak susah untuk diapply, hanya orang yang hatinya keras macam batu saje yang berjaya gunakannya. Lagipun boleh jadi ia tidak syarie sekiranya fitnah berlaku diantara kaum muslimin. Jika orang-orang kafir yang mencetuskan fitnah terhadap Islam dan kaum muslimin, maka teknik ini boleh digunakan sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan sepertimana keadaan Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. d izaman awal dakwah (di Mekkah). Namun sekiranya telah ada kekuatan (tentera) seperti era kebangkitan Khilafah pasca hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, maka wajar orang-orang kafir diperangi sehingga tidak wujud fitnah terhadap Islam. Manakala jika ia melibatkan fitnah antara kaum muslimin, maka perlu ada pihak yang membetulkan keadaan sehingga fitnah itu padam. Ini adalah sebab kaum muslimin saling memuhasabah sesama sendiri dalam konteks amar maaruf, nahiy mungkar dan sikap saling berkasih sayang. Kita diharamkan menanam sikap assobiyyah dalam diri kita; "Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah yang dikatakan assobiyyah? Jawabnya, bahawa engkau menolong kaummu dalam kezaliman" [HR Abu Daud dari Watsilah bin Asqa] Maksudnya, kalau kita nampak saudara (seIslam) kita buat salah (zalim) maka wajib kita hentikannya.Kalau buat dono, nanti terkena dosa bersyubahat, na'uzubillahi min zaalik.


Saya senaraikan semula teknik menghadapi fitnah :
1. Defensif - buktikan !
2. Ofensif - serangbalas ( kenyataan ilmiah atau jahatnya fitnahkan kembali )
3. Pasif Ikut Keadaan - buat derk masa lemah dan ofensif bila mampu

Saya nak tambah satu lagi,
4. Sabar - serah pada Allah terus.Yang saya maksudkan ialah SABAR KETIKA MENGHADAPI FITNAH SAHAJA. Bukan duduk diam jika diserang secara fizikal dan bukan buat tak tau kalau berlaku kezaliman depan mata.

FITNAH ADA 4 HALA:
1. KITA DIFITNAH ( kita jadi mangsa )
2. KITA DIKUNJUNGI JURU FITNAH
3. KITA MEMBAWA FITNAH ( percaya dan membuat keputusan darinya )
4. KITA MENYAMBUNG FITNAH ( percaya dan menceritakan pada yg lain )

SIAPA YANG PALING MALANG?
Yang menjadi mangsa fitnah dan terpaksa mendengar fitnah tidak berapa malang. Jika kita sabar, insyaallah mendapat pahala dan membersihkan dosa. Yang paling malang adalah JURU FITNAH, MEMBAWA FITNAH dan MENYAMBUNG FITNAH.Mereka bertiga bankrap di akhirat dan sangat lama dalam api neraka. Di dunia lagi pelbagai bala akan ditempuhi mereka jika mangsa adalah orang yang rapat dengan Tuhan.

CARA MENGELAK DARI DIFITNAH
1. Untuk mengelakkan diri kita dari menjadi bankrap akhirat dan mendapat sial di dunia, seharusnya kita mengelakkan perkumpulan yang ramai kaki fitnah.
2. Jika sampai juga siaran fitnah pada diri kita, PERIKSA TERLEBIH DAHULU. Jangan melulu. Sabar.
3. Elakkan lubok maksiat dan elak dari suasana yang Tuhan benci.
4. Meminta perlindungan Tuhan ; Membaca Doa Pagi dan Doa Petang ; Ayatul Kursi semasa keluar dan masuk rumah ; Ayat Tawakkal semasa keluar rumah ; Surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas sebanyak 3 kali sebelum tidur.
5.JANGAN jadi Juru Fitnah, Membawa Fitnah dan Menyambung Fitnah.


Allahumma ini a 'uzubika minal hammi wal hazan..

Share/Bookmark

Politic? Jeng3..

Assalamu'alaikum...

Tajuk post yang ditunggu sebahagian rakan..hehe.

Al maklum, dalam dunia siber ana tidak menyentuh soal politik. Namun tidak bermakna ana mengambil sikap ketidakpedulisme.

Ana sering merujuk kepada pelajaran konsep siasah dalam Islam. Melihat kepada rukun-rukun, syarat dan adab dalam terbinanya dasar konsep siasah Islam. Malah, sebahagian teman sudah biasa dengan muzakarah dan perbualan berasaskan politik semasa. Medan yang terpakai lebih bersifat persekitaran. Saling berhujah untuk meneguhkan keyakinan siasah berlandaskan taqwa.

Sering juga ‘terbakar’ dengan penafian segelintir pihak terhadap hukum Islam. Menceduk minum air longkang ‘kejahilan’ sebagai penghilang dahaga ‘kemakmuran’. Namun setiap kali jari jemari ligat mencipta debat, terbayang wajah garang guru yang menjegil. Lantas ana bimbang jika hujah dari insan jahil ini bisa mengundang perpecahan. Bergema suara guru mengingatkan “Kamu bukan ahlinya!”

Alhamdulillah,wujud para tokoh yang mendukung kebenaran dengan hujah dan fakta yang nyata. Penerimaannya berbalik kepada ‘keterbukaan’ penglibat sama ada bersikap mensyukuri atau memilih untuk membutakan diri daripada kebenaran.

Siasah terbentuk dari jiwa bertaqwa, yang dasarnya beriman kepada Allah dan beramal dengan perintahNya. Jalannya sentiasa menuju kepada keharmonian sejagat iaitu ajaran hanif yang syumul, ISLAM dengan panduan Al-Quran dan Sunnah.

Sentiasalah kita berislah, memperbaiki diri dalam mendekati Allah SWT.
Share/Bookmark



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.
Powered by Blogger.