Seorang Hamba

As Salam

Dalam duduk bersandar di tiang masjid sambil mendengar kuliah Ustaz, permulaan pengajaran kitab semalam sangat menarik. Antaranya mukaddimah yang Ustaz sampaikan dalam pengertian setiap gelaran bagi pengarang kitab.

Hamba Allah yang Fakir lagi Hina

HAMBA

Pengertian hamba yang mentaati segala suruhan tanpa bantahan. Ulama silam telah meletakkan diri sebagai hamba yang bebas daripada persekutuan selain Nya. Hanya kepada Allah SWT sahajalah Dzat yang layak disembah.

Pengakuan sebagai hamba Allah yang benar-benar tunduk patuh pada segala perintah dan larangan Nya.

Bukan sebagai hamba nafsu.
Bukan sebagai hamba harta.
Bukan sebagai hamba syahwat, pangkat, kedudukan dan sebagainya.


FAKIR

Mengharap.
Kita sedia maklum pengertian fakir miskin yang membawa kepada pengharapan atas kesenangan golongan kaya dan pemberian zakat. Dalam pengertian fakir, Ustaz menjelaskan bahawa fakir merupakan keadaan benar-benar mengharap.

Fakir yang dicintai oleh Rasulullah SAW dan para ahlul baitnya adalah para fakir yang sangat-sangat mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Ustaz juga turut menyentuh maqam fana' dan baqa' dalam tasawwuf. Bagaimana seseorang yang begitu mengharapkan keredhaan Allah sehingga menjadi sesuatu yang asing pada pandangan masyarakat. Mereka yang fana' dengan kecintaan kepada Allah SWT menjadi mudah tersentuh dan begitu mengambil berat kepada amalan hidupnya dalam mencapai keredhaan Allah.

Yang dikatakan menjadi pelik pada kebanyakan orang itu adalah apabila sekiranya berjumpa dengan seseorang yang kerap menangis, merintih kerana fana' terhadap kecintaannya kepada Allah, takutkan dosa dan rindukan pertemuan denganNya. Mereka yang tidak memahami perasaan (fana') yang dirasai si fulan itu memandang asing pada kelakuannya.

Dalam fana', dia hadir menghadap Allah setelah menafikan segala sesuatu selain Allah dalam hatinya yang telah menjadikan dia tidak memandang, memerhatikan atau menyaksikan keberadaannya sendiri.

HINA

Yakni tidak sombong dan bongkak. Para Ulama silam telah meletakkan diri pada kedudukan serendah-rendahnya di hadapan Allah SWT. Penuh rasa ta'zim dalam menghayati Kebesaran dan Keagungan Allah SWT.

dan kerana itu kita melihat pengarang kitab mengenalkan dirinya sebagai seorang hamba Allah yang fakir lagi hina.

Atas huraian ustaz tersebut, saya merasakan betapa pengenalan saya terhadap seorang hamba Allah itu tidak sebanding dengan pengertiannya.

Persoalan demi persoalan, adakah saya tergolong dalam hamba Allah yang fakir lagi hina?

Ighfirli ya Allah..




Pemahaman Lalai

Pengajaran bertujuan untuk menyedarkan mereka yang lalai.

Lantas apakah itu lalai?

Ustaz menerangkan bahawa apa yang dikatakan lalai itu adalah sikap untuk tidak mengambil berat, sikap tidak bersungguh.

Golongan cerdik pandai, pemikir , pendakwah, akademik, pemimpin tidak terlepas daripada bersikap lalai.

Lalai dalam mengambil berat soal agama.
Lalai dalam mengambil berat soal ibadah.

"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah al-Ma'un : ayat 4-5]


Sesetengah Ulama menafsirkan golongan yang lalai dalam solah ini disebut golongan yang tidak khusyuk dalam solah. Ustaz pula mengikut tafsiran yang dikatakan lalai itu adalah makna zahir yang menunjukkan sifat tidak mengambil berat, tidak bersungguh dalam menunaikan solah.

Kerana hukum fekah tercapai melalui zahir sedangkan soal hati adalah hanya dalam pengetahuan dan perhitungan Allah SWT.

Tidak mengambil berat dalam solah yang tergambar pada zahirnya.
Sekejap datang solah berjemaah, sekejap tidak.
Sekajap solah penuh tertib, sekejap sepantas kilat.
Sekejap solah penuh tawaduk dan membaca dengan tartil, sekejap tidak.

inilah yang dikatakan mereka yang lalai dengan solah.

..dan penutup kuliah yang menarik.

Insya Allah, semoga orang yang mendengar lebih faham daripada orang yang mengajar.
Wallahu'alam

Ighfirli Ya Allah..
Astaghfirullah, Innahu kana Ghaffaran..

Share/Bookmark

0 comments:

Katogeri



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Powered by Blogger.