Jalan Hidup Mencapai Taqwa

Salam..

Tulisan ana menyentuh hal ini adalah dipetik daripada sebuah buku yang ana beli sejak di bangku sekolah rendah bertajuk ”Bagaimana menjadi Insan Bertaqwa.”. Ana kupas sedikit isi-isi nya untuk manfaat bersama.

Ana, kita semua sering mencari-cari formula kebahagiaan dalam kehidupan dunia yang sementara dan berkekalan hingga akhirat yang selamanya. Apa yang akan ana kupaskan nanti adalah antara jalan hidup untuk mencapai kebahagiaan itu bagi diri individu. Semoga ana,kita semua dapat membentuk jalan hidup ini dan setiap sifat-sifat yang yang dituntut wujud dalam diri kita semua. Insya Allah.

Semoga kita dapat beramal dengan ilmu yang dipelajari. Sebab tiada gunanya pada ilmu yang tidak diamalkan, walau betapa hebat ilmu yang dipelajari. Beramal lah ilmu itu dalam diri, moga nur cahayanya terpancar dalam kehidupan kita.

--------------------

Taqwa adalah wasiat Allah yang paling utama, maka kita sebagai kaum muslimin hendaklah selalu mengabdikan diri untuk mencapai darjat ketaqwaan kepada-Nya demi kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Menurut sebahagian ulama, ada beberapa langkah penting bagi setiap Muslim menjadi orang yang bertaqwa.

1. Mengingati Allah (zikrullah)

Allah S.W.T sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang beriman untuk mencapai ketenangan hati dan jiwa dengan mengingatinya. Allah S.W.T berfirman, mafhumnya ;” Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan menginagti Allah. Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, maka hati merasai tenang.” (Ar- Ra’ad : 28)

Ketenteraman hati adalah asal utama kesihatan rohani dan jasmani seseorang. Mengingati Allah merupakan jalan yang baik bagi mengubat atau merawat hati dan jiwa manusia. Mengingati Allah atau zikrullah adalah dengan bertafakkur merenung kekuasaan Allah S.W.T, akan dapat membersihkan hati dan menambahkan keyakinan akan kebesaran dan ketinggian-Nya sehingga menumbuhkan sifat taqwa.

Mengingati Allah mempunyai dua pengertian;
a. Ingat, patuh dan ikhlas kepada Allah dan melaksanakan segala perintah-Nya.
b. Menyebut nama Allah dengan memuji, mengagungkan dan mensucikan Allah dengan segala sifat kebesaran, ketinggian dan kesempurnaaan-Nya
Mafhum firman-Nya;
”Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi sambil berkata : Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami dari azab siksa.” (Ali Imran)

”Ingatlah Tuhanmu dalam hatimu serta merendahkan diri dan takut dan bukan dengan suara yang keras, waktu pagi dan petang dan janganlah engkau termasuk ornag-orang yang lalai.” (Al- A’raf : 205)

Ingat atau zikir kepada Allah S.W.T adalah penting kerana dapat mendidik peribadi Muslim di mana segala sesuatu yang terjadi adalah atas kehendak Allah. Mengingati Allah memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia di mana dengan zikir, manusia akan mengenal Tuhannya mengenai diri sendiri dan kelemahan kita. Dengan mengingati Allah akan lahir suatu keyakinan bahawa ketaatan yang diperbuatnya adalah merupakan kurnia Allah dan dengan taufik-Nya. Dengan demikian terhindarlah dari sifat ujub, bangga diri dan sebagainya.

Kalau manusia berada dalam keadaan maksiat, maka dengan mengingati Allah akan dapat membangkitkan kesedarannya untuk menjadi manusia mencintai Allah. Dengan demikian timbul keinsafan bahawa maksiat merupakan dinding yang membentengi antara dirinya dengan Allah S.W.T dan maksiat itu akan menjerumuskan ke jurang kebinasaan. Jika manusia dalam keadaan memperoleh nikmat, baik berupa harta benda, pangkat atau kedudukan serta kemewahan-kemewahan lainnya, dengan mengingati Allah akan menimbulkan keinginan untuk mensyukuri nikmat tersebut.

Di samping itu jika manusia mengalamai penderitaan, dengan mengingati Allah timbullah keyakinan bahawa penderitaan pada hakikatnya merupakan cubaan atau ujian ke atasnya yang dihadapi dengan penuh kesabaran, Allah akan memberi pahala yang berlipat ganda dan menghindarkan dirinya dari cubaan atau ujian.

Menurut Al-Faqih Abu Laith Al-Samarqandi; berzikir atau menginati Allah adalah amal ibadah yang paling unggul kerana setiap ibadah ditentukan kadar dan waktu, bahkan kadangkala dilarang tidak menepati waktunya atau melebihi ketentuannya, tetapi berzikir kepada Allah tiada ketentuan batas waktu dan banyak jumlahnya.

Berkata Ibnu Abbas r.a. ; Janganlah lepas-lepas dari berzikir itu, baik di waktu malam dan siang, di daratan atau lautan, di saat meninggalkan rumah atau di rumah, dalam keadaan kaya ataui miskin, waktu badan sihat atau sakit dan dalam keadaan sunyi atau orang ramai.

Kelebihan Mengingati Allah.
a. Dapat mententeramkan hati dan jiwa. Mafhum firman Allah;
”Dengan berzikir kepada Allah, hati menjadi tenteram. (Ar- Ra’ad :28)
Sabda Rasulullah s.a.w ; ”Mengingati Allah itu menjadi ubat hati.” (H.R Ad-Dailami dari Anas)

b. Allah S.W.T akan mengingatinya.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith qudsi ;” Allah Azzawajalla berfirman ; Aku sentiasa berserta hamba-Ku selama ia tetap berzikir kepada-Ku dan selama kedua-dua bibirnya, tetap bergerak untuk ingat kepada-Ku.”
(Hadith Qudsi riwayat Hakim dan Ibnu Hibban)

c. Dapat masuk syurga di akhirat
Rasulullah s.a.w. bersabda; ”Barangsiapa ingin berdiam di taman-taman syurga, maka hendaklah memperbanyakkan berzikir kepada Allah Azzawajalla.” (H.R. Tabrani)

d. Dapat meningkatkan ketaatan kepada Allah
e. Terpelihara dari melakukan perkara maksiat
f. Memperoleh taufik dan hidayat Allah
g. Dilindungi Allah dari gangguan syaitan
h. Memperoleh rahmat dari Allah

Secara kesimpulannya, haruslah difahami bahawa bagi orang beriman dan beramal soleh serta selalu mengingati Allah, maka dalam kehidupannya di dunia dan di akhirat akan memperoleh ketenangan dan kesejahteraan.

Menurut Al- Faqih Abu Laith Samarqandi bahawa syarat untuk mencapai taraf taqwa adalah dengan melaksanakan tujuh perkara penting iaitu;
a. Lisannya tidak pernah berdusta, mengumpat dan bicara yang sia-sia, melainkan hanya untuk berzikir kepada Allah, membaca Al- Qur’an dan belajar ilmu agama.
b. Perut tidak pernah makan dan minum, kecualiyang halal dan secukupnya dab tidak berlebihan.
c. Matanya tidak pernah melihat, kecuali yang dihalalkan dan menundukkan pandangannya bahkan menjadi peringatan bagi dirinya.
d. Tangannya tidak pernah berbuat sia-sia, kecuali untuk taat kepada Allah semata-mata.
e. Kakinya terpelihara daripada perbuatan maksiat
f. Hatinya penuh kasih sayang terhadap sesama Muslim, tidak bangga diri dan hasad dengki.
g. Ibadahnya dilandasi dengan penuh keikhlasan dan jauh dari riya’ dan nifa’.

** Insya Allah, ana akan sambung pada post akan datang. Topik; ”Mengerjakan Solah sunat”


Share/Bookmark

0 comments:

Katogeri



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Powered by Blogger.