Al Azwaju Shalihah (Part 4)

-------------------------

Nizam menuju ke arah Hanif yang tertidur lena. Nizam melihat dekat bekas jahitan luka di dahi Hanif. Sedikit bengkak. Nizam tersenyum melihat Hanif . Masih diingat kejadian semalam apabila Hanif mengamuk tidak mahu disapu luka di dahinya dengan madu asli. Nizam akur dengan kehendak adiknya walaupun ingin sekali menyapunya berdasarkan fakta yang dikaji oleh kumpulan pensyarah USM yang mengatakan madu dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka.

Tangan Nizam bergerak untuk mengelus rambut adiknya tetapi terhenti kerana bimbang Hanif akan terjaga dari tidur di atas kerusi di ruang tamu rumahnya..

“Abang..Abang dah nak pergi sambung kerja ke?” Nizam menoleh melihat adik sulungnya, Sarah yang sedang membuka kasut sekolah.
“A’ah.. kalau ye pun masuk rumah tu, bagilah salam dulu.” Nizam bangun menuju rak kasut. Dicapainya kasut hitam bertumit dan dikeluarkan stoking di dalamnya.
“Assalamu’alaikum!! Sarah bagi salam selalu tak berjawab, itu yang Sarah terlupa tu.” Sarah menarik stoking di kakinya.
“Wa’alaikummussalam.. Bagi salam, malaikat jawab. Tak bagi salam, jin syaitan tumpang Sarah masuk.” Ucap Nizam selamba sambil duduk menyarung stoking.
“Hisyh abang ni..!!” Sarah menolak abangnya sambil berlari-lari anak menuju ke dapur memanggil-manggil Ummi. Dalam keadaan duduk, Nizam cuba mencapai kaki Sarah tetapi tidak sempat untuk mencubitnya. Sarah menjerit mengelakkan diri dan ketawa.

---------------------------

“Hakim! Cikgu nak ikut Hakim balik rumah, boleh tak Hakim? Cikgu nak tengok Hanif.” Rayu Safi dengan manja. Hakim dipegangnya kerana dia tahu kanak-kanak ini aktif bergerak.
“Boleh Cikgu, Hakim pun nak tengok juga. Nanti Hakim bagitau ayah Hakim.” Hakim menggaru-garu kepalanya.
“Ye? Nanti Cikgu dengan Cikgu Yusni ikut ayah Hakim dari belakang ye? Hakim tak tengok Hanif ke semalam?” Tanya Safi kepada muridnya itu.
“Tengok. Hanif menangis takmau abang Nizam bubuh ubat. Kepala dia luka, cikgu. Kat sini.” Hakim menggariskan dahinya dengan jari.
Safi ingin bertanya lagi namun terlihat Cikgu Yusni sedang melangkah ke arah mereka. Safi menunjuk ke arah Yusni dan berkata pada Hakim,” Itu Cikgu Yusni dah datang. Bila Ayah Hakim nak sampai?” Tanya Safi.
“Nanti ayah Hakim sampailah.” Jawab Hakim sambil menyambut Ckgu Husni. Dia begitu gembira kerana dua orang guru ingin mengikutinya pulang. Hakim menuju ke arah gerai kecil milik makcik Saerah di sebelah kanan pagar sekolah. Yusni dan Safi berjalan mengikuti Hakim. Hakim sedikit bangga berjalan diikuti guru-guru kelasnya diperhatikan murid-murid yang lain.

Hakim begitu seronok apabila Safi membayar keropok lekor yang diambilnya. Hakim sempat menjeling beberapa sahabatnya yang kemudian berpusu-pusu menghampirinya. Mereka berkejaran. Tidak lama kemudian, ayah Hakim datang dengan memandu kereta Nissan Sunny. Hakim meluru pergi dan melambai-lambai menghentikan kereta ayahnya dari jauh.
“Aktif sungguh si budak Hakim ni.” Yusni merungut. Safi tersenyum, “Di kelas, dialah hero. Budak-budak, Yusni. Jom kita pergi dekat ayah Hakim. Nanti entah apa diberitahu Hakim pula.” Ujar Safi sambil melangkah pergi dengan menarik lengan Yusni.

”Assalamualaikum Cikgu. Cikgu nak tengok Hanif ya?” tanya ayah Hakim, Rahimi dengan tersenyum. Safi mengangguk. ”Pakcik ke Abang?” terdetik pertanyaan di fikiran Safi. Mahu dipanggil apa ya pada ayah Hakim ini.

”Wa’alaikummussalam. Boleh ye Pakcik? Kami ikut belakang ye? Kereta kami kancil putih itu.” Cakap Yusni menunjukkan menunding ke arah kereta kancilnya. Safi mengangguk.

”Oh..ok. Cikgu berdua ikutlah saya.” pinta Encik Rahimi.

”Baiklah, terima kasih ya.” jawab Yusni. Kemudia Safi menuju mengikut Yusni ke raha kereta kancil itu. Yusni kemudian masuk dan memakai tali pinggang keledar diikuti Safi di sebelahnya. Yusni memulakan perjalanan apabila melihat kereta Encik Rahimi mula bergerak ke memasuki jalan raya.

---------------------------


Encik Rahimi tidak menunggu singgah di rumah Hanif. Sekadar menurunkan Hakim yang berjalan menemani Safi dan Yusni. Hakim berjalan beriringan memegang tangan Yusni. Dia menunjuk-nunjuk dengan jarinya rumahnya dan rumah Hanif. Ketibaan mereka disambut oleh Makcik Saadiah, ibu Nizam. Mereka saling melafaz salam.

Safi menyambut tangan Makcik Saadiah dan menciumnya, diikuti Yusni. Yusni kemudiannya menyerahkan sedikit buah tangan yang dibeli sebelumnya.

”Hanif macam mana Mak Cik?” Tanya Safi.
”Alhamdulillah, Hanif dah baik Cikgu. Cuma selalu merengek bila dia rasa sakit. Dia banyak tidur. Pening katanya.” jawab MakCik Saadiah.
”Di kepala lukanya, makcik.. Syukurlah tak ada apa-apa. Saya risau juga. Maafkan saya sebab masa itu, saya tidak sempat nak buat apa-apa. ” kata Yusni, sesal.
”Nak..Dah takdir Allah begitu. Jangan salahkan diri. Lagipun Nizam dah ceritakan semuanya kat makcik. Nizam pun ada niat nak minta maaf dengan Yusni sebab bawa Yusni bersama masa kejadian hari itu. Memang dia tidak terfikir tentang fitnah yang mungkin terkena pada Yusni.” ujar Mak cik Saadiah sambil mengusap-ngusap bahu Yusni. Yusni terasa selesa dengan keramahan dan kelembutan Makcik Saadiah. Memang wajar Nizam punya sifat kasih yang tinggi, warisi dari ibunya mungkin. Nizam...

”Em! Er..Nizam dimana makcik? Kerja?” tanya Yusni mematikan lamunannya.
”Ya, dia kerja. Jaga pusat rawatan yang dibuka dengan temannya kat lot kedai depan masjid tu. Tunggu ya? Makcik nak suruh Sarah buatkan air minum.” kata Makcik Saadiah dan memanggil-manggil Sarah.

Yusni memandang sekeliling dinding di ruang tamu rumah Nizam. Tiada potret keluarga yang dilihatnya. Safi pula menuju ke arah rak buku yang terletak di dinding ruang tamu. Dia mengagak di rumah ini punya ahli yang suka membaca. Safi membelek-belek kandungan buku yang ada tersusun di dalam rak tersebut. Dia mencapai sebuah buku yang terletak di bahagian novel, ”Di Atas Sejadah Cinta” karya Habiburrahman el Shirazy.

Yusni bangun dari kerusi menuju ke Safi. Dia menggeletek Safi yang leka membaca. Safi buat tak endah dengan kehadiran Yusni.

”Baca apa tu?” tanya Yusni.
”Ni haa..buku koleksi cerpen ni. Best tau. Dulu ada sebuah tapi dah pinjamkan dekat orang.” cakap Safi sambil meletakkan kembali buku tersebut. Dia senyum kepada Makcik Saadiah yang melangkah menuju mereka berdua.

”Itu anak makcik lah tu, Nizam. Suka sungguh membaca buku. Boleh dikatakan selalu juga dia beli buku. Macam-macam. Dia cukup marah bila adik-adiknya ambil buku tidak menyimpan balik. Itu sebabnya dia susun dalam rak tu.”

Safi dan Yusni mengangguk dan bersama menemani Makcik Saadiah duduk di atas kerusi. Safi dapat melihat Hanif yang terhendap-hendap dari ruang ke laman tengah rumah. Hati Safi terdetik bahagia. Lucu dengan sikap pemalu Hanif.

”Amboi Hanif..sombong dengan cikgu ya? Jumpa cikgu pun taknak. Cikgu nak baliklah macam ni.” usik Safi. Yusni tersedar dan memandang ke arah Hanif. Kelibat Hanif kini cuma tinggal tangannya yang memegang bucu dinding,bersembunyi. Yusni tersenyum.

”Hanif..mai jumpa cikgu cepat. Kasihan dekat cikgu penat datang jumpa Hanif. Mai sini Hanif. Cikgu nak jumpa dengan Hanif ni.” pujuk Makcik Saadiah.

Hanif menyuakan wajahnya. Kelihatan luka dahinya yang telah berjahit. Tetapi mukanya masih kelihatan berseri-seri. Jernih dan tulus.

Yusni bergegas berlari-lari anak ke arah Hanif. Dia mencapai tangan Hanif. Safi cuma memandang kelibat Yusni.

”Mari sini. Hanif macam mana? Sihat? Sakit lagi ke kepala Hanif?” tanya Yusni. Dia seakan begitu rindukan pada anak murid yang telah ditimpa kemalangan di hadapannya. Hanif yang menegurnya dengan gembira sebelum dilanggar. Hati Yusni dirundum pilu melihat bekas luka di dahi Hanif. Pasti meninggalkan parut.

Hanif cuma mengangguk. Dia kemudiannya mengikuti Yusni yang memimpin tangannya ke arah ummi dan Safi. Hanif malu. Dia asyik menunduk.

----------------------------

Usai menziarahi Hanif di rumahnya, Yusni dan Safi berangkat pulang. Ternyata malu Hanif hanya sekejap. Hanif banyak berbual dengan Safi tentang lukisan yang diwarnanya. Tambah bersemangat Hanif menunjukkan demontrasi mewarna di hadapan cikgunya apabila dipuji. Wajah ceria Hanif sedikit sebanyak melegakan runsing di hati Yusni. Dia gembira melihatkan Hanif yang agak rapat dengan Safi.

”Safi..lama aku tak dengar khabar kau dengan Syafiq...?” tanya Yusni memulakan perbualan mereka saat Yusni sedang memandu kereta pulang.
Safi agak terkejut dengan pertanyaan tiba-tiba Yusni namun segera tersenyum dan berkata dengan penuh semangat,” Kami dan putus tunang Yus, dah 2 minggu. Maaf tau aku tak bagitahu kau.”
Yusni terbeliak. ”Haa? Dah putus? Ya Allah kenapa pula Safi? Sampai hati kau tak bagitahu aku.” rajuk Yusni.
”Yus..bukan tak mahu bagitahu. Cuma aku taknak ingat semua tu. Memang tiada jodoh antara kami. Syafiq tak sabar nak menikah awal, takut mengundang fitnah. Aku pun hairan kenapa dia tak boleh bersabar. Masa merisik dulu katanya sanggup tunggu aku habis belajar. Sekarang lain pula jadinya.” luah Safi, perlahan.
”Laa..kenapa taknak menikah awal? Boleh menimang cahaya mata awal,ambil ijazah dengan anak...hehe” usik Yusni. Safi geram dan terus mencubit lengan Yusni. Yusni tergesa-gesa meminta maaf.

”Aku nekad nak habiskan pengajian aku dulu,Yus. Baru fikir bab berumah tangga. Syafiq pula yang tak sabar. Takut fitnah. Padahal kami jumpa pun tak pernah. Masa hari pertunangan itu je. Pelik aku, fitnah apa yang dimaksudkannya?” Safi menambah lagi luahan hatinya, merungkaikan persoalan yang membelenggu hatinya.

”Safi..safi..Syafiq tu lulusan Al Azhar, hafiz Quran. Fitnah yang dimaksudkan tu mungkin dari kehendak hati dia untuk menikah. Mungkin dia bimbang kejernihan hati dia terganggu sebab kemaruk pada kau. Mungkin sedikit mengganggu kehidupan dia. Itu sebab dia nak cepat menikah. Kenapa kau tak bawa berbincang?” tanya Yusni.

”Dah bincang..tapi entahlah Yusni. Mungkin bukan jodoh kami.” jawab Safi lirih.

Yusni memerhatikan sahabatnya Safi. Dia tidak bernada usik lagi. Dia benar-benar prihatin dengan Safi. ”Kau ok, Safi?” tanya Yusni, lembut.

Safi mendongakkan kepala. ”Ya Ustazah Yusni. Ok,alhamdulillah. Jangan risau lah, Yus. Sekali petik, sepuluh yang datang tau. Hehe...”

”Hehe..kau ni Safi. Sepuluh apa? Katak puru? Hehehehe...” Yusni membidas.

Safi geram lantas mencubit paha kiri Yusni sekuatnya.

-------------------------------

Usai solah isyak, Nizam berjalan pulang dari surau yang berhampiran dengan rumahnya. Hanif tidak mengikutinya kerana umminya masih lagi risau Hanif mungkin masih belum sembuh sepenuhnya. Bimbang Hanif pitam di tangga surau. Nizam percaya tiada apa yang perlu dirisaukan pada Hanif namun ummi memang punya naluri seorang ibu yang penyayang, merisaukan anak-anaknya.

Dalam perjalanan pulang, Nizam mendongak kepala melihatkan hamparan langit malam. Kebiasaan Nizam untuk memerhatikan bulan dan bintang sepanjang perjalanan pulang dari surau ke rumahnya. Mentasdiqkan dalam hati betapa kecilnya dia di alam ciptaan Allah yang Maha Luas. Akan betapa hebatnya Allah yang mentadbir sekelian alam. Maha Suci Allah.

"Subhanallah..tidaklah Engkau menjadikan semua ini dengan sia-sia. Sebagai peringatan bagi mereka yang mahu berfikir." Nizam muhasabah dirinya dan terus melangkah pulang ke rumahnya. Sinaran cahya bulan menerangi sepanjang perjalanannya.


"Assalamu'alaikum." Nizam menolak pintu sliding rumahnya dan menariknya lalu menutup kembali. Salamnya dijawab para ahli keluarganya. Dilihatnya majlis Ta'alim di rumahnya sedang berlangsung. Sarah meneruskan bacaan kitab Riyadh As Salihin di hadapan Ummi, dan Zulaikha dalam keadaan duduk yang masih bertelekung. Kelihatan Hanif duduk menyandar di ribaan Ummi. Dia terlena. Nizam menuding jarinya supaya Sarah meneruskan bacaannya.

"Ummi, Abah belum balik lagi ummi?" tanya Nizam sambil menghempaskan tubuhnya duduk ke atas kerusi di ruang tamu. Nizam melakukan sedikit senaman untuk melegakan sengal-sengal di bahu dan lehernya. Sarah meneruskan bacaan kitab.

"Belum lagi Zam. Katanya ada mesyuarat ajk masjid malam ni. Lewat sikit la kot balik." jawab Ummi.

Nizam membaringkan tubuhnya di atas kerusi itu. Badannya terasa lenguh-lenguh lantaran dia sibuk menghadap komputer seharian menguruskan akaun pusat rawatannya untuk akhir bulan. Nizam meluruskan tangannya dan mengeliat. Dia membaca perlahan ayat-ayat Al Quran yang dihafaznya.

Nizam menguis Zulaikha dengan hujung jarinya. Zulaikha memandang abangnya dan mengangguk kepala berisyarat tanyakan mengapa. "Dah berapa Hadith ustazah Sarah kita baca?" tanya Nizam. Zulaikha bernada perlahan, "enam kot.."

Nizam bingkas bangun dan mengeliat. "Allah..." Keletihan yang ditanggung badannya masih lagi terasa. Nizam menggelosor turun dari kerusi dan berganjak kedudukan ke sebelah Sarah. Sarah terus membaca menyudahkan maksud Hadith yang dibacanya.

Sabda Rasulullah s.a.w ; ”Rasulullah bertanya kepada sahabat : tahukah kamu apa yang dimaksudkan akan ghibah ? Mereka menjawab : Allah dan rasulnya lebih mengatahui. Maka sabda Rasulullah s.a.w : iaitu kamu membicarakan tentang saudara kamu berkenaan apa yang tidak ia sukai. kemudian mereka berkata : Bagaimana dengan apa yang diperkatakan itu ada pada dirinya . sabda Rasulullah s.a.w : jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan, maka bererti kamu mengumpatinya, dan jika apa yang kamu katakan itu tidak terdapat pada dirinya, maka bererti kamu telah menuduhnya “( Hadith riwayat Muslim )

Nizam kemudiannya mencapai kitab di tangan Sarah dan Sarah mula beralih tempat menghadap abangnya. Dengan lafaz Bismillah dan selawat, Nizam memulakan tazkirahnya.

"Alhamdulillah..lahirnya kita ke dunia, Allah telah berikan kita nikmat yang paling mahal dan berharga, iaitu nikmat iman dan Islam...Tetapi tiada jaminan untuk kita mati dalam keadaan beriman kepada Allah. Dengan sifat Rahim Allah, Allah berkenan kekalkan kita dalam hidayahNya, dalam suasana yang disukaiNya, tetapi tiada jaminan untuk kita kekal dalam suasana ini sekiranya kita tidak bersungguh mengerjakannya.

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 214)

Ummi, Sarah,Zulaikha yang abang sayangi..yakin dan percayalah dunia yang kita huni ini sementara, urusan akhirat yang dikhabarkan Allah itu pasti. Bagaimanakah keadaannya jika kita pulang menghadap Allah dalam keadaan iman yang tidak sempurna, bekalan amal yang tidak mencukupi? Sedangkan masa yang kita ada tidak kita gunakan untuk lebih dekat padaNya, tidak kita peruntukkan untuk faqih dalam mengenaliNya, tidak kita lapangkan untuk berikhlas dalam amalan padaNya...

Sentiasa semaikan rasa takut dan harap pada Allah. Allah Maha Mengetahui. Allah Maha melihat hati setiap makhluk yang terdapat kesombongan yang dapat membatalkan amal baik. Allah Maha melihat hati-hati setiap makhluk yang tunduk dan takut padaNya yang dengannya Allah kekalkan hidayah dalam dirinya dan memudahkan jalan taubat dan mengampuninya.

Ummi, adik-adik yang dikasihi..sampai masanya hayat kita di dunia akan berakhir dan dibangkitkan untuk hayat di akhirat yang kekal. Sentiasalah berusaha untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan Dunia dan Akhirat....."

Nizam meneruskan sesi tazkirahnya sehingga ayah mereka, En Huzaifah pulang dan makan bersama-sama. Menikmati bihun sup kesukaan Zulaikha.

-----------------------------------------------



Nizam duduk berzikir di atas sejadahnya setelah selesai menunaikan solah sunat hajat dan taubat. Lehernya meremang, air matanya menitis. Doanya lirih dan terisak-isak.

"Ya Allah, hindarkan kami daripada melakukan maksiat. Lindungi kami dari ketamakan nafsu. Kekalkan kami dalam usaha agamaMu, berikan kami hidayah yang berterusan dengan sifat Rahim Mu, ampuni segala dosa-dosa kami...."

Air mata Nizam mengalir tiada henti di pipinya. Alhamdulillah, dia sangat bersyukur kerana Allah telah memilih dirinya pada jalan dakwah. Allah telah membelai jiwanya dengan taufik hidayah. Allah telah membuka penglihatan hatinya dengan basyirah. Allah telah memberikan kekuatan padanya untuk menanggung ujian mendatang. Laa hau la wala quwata illa billah..

Hikmahnya dakwah..yang dengannya membuatkan dia mengenal apa itu islah.
Lazatnya dakwah..yang dengannya memupuk rasa takzim dengan kebesaran Allah.
Hebatnya dakwah..yang dengannya dia mengerti apa itu mujahadah.

Air mata Nizam menitis laju.

Masih diingat tatkala kali pertama dirinya menangis hiba, sayu dan pilu kerana lalainya dalam mengenali Allah, ketika saat lidahnya kelu untuk memperkatakan kebesaran Allah.

Masih dikenang ciuman indah ummi di dahinya menuturkan bicara syahdu, "Ummi suka anak ummi berubah baik begini," walaupun sebelumnya dia memang menjaga solah dan akhlak.

Keindahan kesan tarbiyyah dakwah dalam diri, yang tak terungkap dengan kata, nikmat kebaikan kurniaan Allah yang tidak ternilai oleh segala isi dunia.

Nizam menekup mukanya. Alhamdulillah..

Nizam bingkas bangun dan menyiapkan tempat tidurnya. Memasang penggera telefonnya dan melangkah menutup lampu biliknya. Usai menyudahkan adab tidur cara Nabi Muhammad SAW, Nizam merebahkan badannya. Tiada henti dia mengucapkan kalimah syukur pada Pencipta yang Maha Pengasih. Nizam menyudahkan dengan kalimah tauhid dan mula memejamkan mata.

"Bismikallah humma ahya wa amut.."


-----------------------------------------------------
Share/Bookmark

0 comments:

Katogeri



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Powered by Blogger.