AL AzWaJu ShaLiHaH - Part 5

-------------------------------


Pagi yang indah. Burung-burung berterbangan dengan siulan yang bersahutan. Deru angin lembut menghembus dedaun pohon yang mekar menghijau. Embun pagi yang menitis dan mengering dipancar cahaya fajar.

Safi bangun dari lenanya. Dia beristighfar halus kerana telah tertidur di atas sejadahnya dalam keadaan bertelekung. Dia terlena selepas doanya di waktu subuh. Safi bingkas bangun mengemaskan sejadah dan membuka telekungnya. Rambutnya yang panjang disisip dengan jari jemarinya. Safi sedikit mengeliat. Safi berjalan menuju ke arah dapur.

"Mak.." tegur Safi apabila melihat kelibat ibunya mengemaskan sinki air.
"Safi...itu kat atas meja ada kuih mak beli tadi. Anak dara tak boleh tidur lepas subuh selalu tau, nanti tak laku." perli ibunya, Puan Fatimah.
"Biar tak laku mak,.." Safi mencapai sebiji donut dan memakannya. Sambil menuangkan air tea panas ke dalam cawan.
"Isy..Takkan Safi nak duk berkepit dengan mak aje? Taknak Kahwin?" cakap ibunya.
"Mak ni..Kahwin..kahwin..kahwin.. Safi bukan taknak kahwin mak, cuma biar jodoh Allah yang tentukan." Safi menghirup sedikit air tea dalam cawan. Panas.
Puan Fatimah menunduk seketika.. "Apa yang kurang pada Syafiq, Safi? Safi pasti ke dengan pilihan Safi? Bukan mudah nak dipinang lelaki macam Syafiq zaman sekarang ni." ibunya cuba memancing anak kesayangangnya untuk berbual dengannya.
Safi masih terus membaham donut. Dia sedar ibunya merisaukannya. Bimbang dengan pilihan jodohnya. Mungkin saja terkilan kerana jodoh yang baik, Ustaz lepasan Al Azhar telah memutuskan pertunangan mereka.
"Safi tahu mak, Syafiq memang lelaki yang baik. Sukar nak Safi gambarkan, Safi bersetuju untuk bertunang pada hari itu pun atas permintaan mak sekeluarga. Safi redha mak, cuma Safi dah letak syarat Safi, Safi nak abiskan pengajian Safi dahulu..Syafiq terlalu tergesa-gesa." ujar Safi tenang. Semalam telah dia lalui malam qiamulail untuk cekalkan hatinya dalam menghadapi segalanya.
"Sudah tu, Safi nak orang yang macam mana?" tanya ibunya.

Safi terdiam. Tidak pernah dia terfikirkan akan perkara itu. Cuma mungkin, terdetik dia mahukan seorang suami yang dapat mendidik dirinya, bersabar dengannya dan mengasihinya. Pernah beberapa kali ada lelaki yang cuba berkenalan lebih rapat dengannya, namun ditolaknya. Safi tidak berharap apa-apa kepada lelaki yang hanya mampu berbicara manis. Untuk itu, Safi berkelakuan keras dan tegas dengan lelaki ajnabi baginya. Menolak peluang untuk hatinya ditimpa penyakit serius...'angau'.

"Safi nak yang kaya lah mak! Yang Datuk2.. Keta Besar, Rumah Besar, Gaji besar. Mak pun boleh tumpang senang." kata Safi bersemangat. Terdengar Puan Fatimah tertawa.
"Ye lah, macam mak nak sangat tumpang senang kamu tu. Jangan-jangan nanti kahwin lelaki tua." usik ibunya.
"Tua lah bagus mak, dah mati nanti..dapatlah harta tu kat Safi. Janda kaya Safi, mak.." gurau Safi.
"hehe..iye lah. Degil. Mak cakap serius, Safi main-main. Safi..Safi.." Puan Fatimah mengelap kabinet dapurnya.
Safi tersengih. Dihirupnya air tea yang kini menjadi suam.
"Mak..jangan risau. Abis belajar nanti, ada jodoh, Safi bernikah. Insya Allah, anak mak ni tak jahat kat luar. Mak doakan Safi dapat jodoh yang baik ye mak?" ujar Safi.

Hati Puan Fatimah terasa lega. Dia percayakan anaknya, cuma risaukan dengan suasana masyarakat zaman kini. Dia berdoa agar anaknya terpelihara dari sebarang keburukan.


----------------------------------------------------

Safi membelek topik surat khabar pada hari ini. Dia melihat pelbagai isu yang timbul. Isu sosial semestinya. Sekadar menjenguk, Safi bangun tegak dari tunduknya dan masuk ke dalam kedai. Dicapainya sebungkus coklat dan menuju ke arah kaunter bayaran.

"Assalamu'alaikum.." ujar penjaga kaunter yang menegur Safi.
"Wa'alaikumussalam.." Safi tersenyum menjawab. Kelihatan penjaga kaunter itu sedikit merah mukanya. Dia terpesona dengan senyuman Safi yang berlesung pipit. Mungkin Safi tidak menyedari keasyikan yang melanda lelaki si penjaga kaunter tersebut. Matanya mengekori pergerakan Safi yang meninjau peralatan pembersih muka.

"Tak payah pakai pembersih muka pun takpe, muka dah comel.." suara lelaki itu sedikit mengejutkan Safi yang sedang memilih produk-produk pembersih wajah. Dia sedikit berkerut,hatinya berdesis perlahan, "Dasar lelaki, pantang terasa perempuan layan, nak naik miang.." Sayup di benak sanubarinya, Safi menyesal kerana kelihatan ramah di hadapan lelaki ajnabi baginya. Pada detik yang sama, fikirannya turut menangkap satu pengertian. Dia mengerti mengapa sahabat-sahabatnya yang lain agak 'keras' dalam bergaul dengan lelaki. "Kesian kalau lelaki angau tak sudah." Safi tersenyum sendiri ingatkan kata-kata sahabatnya , Nur Ilyia.

Safi buat endah tak endah. Diterusnya memilih dan melihat segala produk yang berada di situ. Lelaki itu menggandakan usaha untuk meraih perhatian Safi.

"Belajar ke Kerja?" Cuti hari ni? Duduk di mana?" semanis kurma lelaki itu mengontrol senyumannya. Sebolehnya mahu kelihatan seakan-akan bercahaya mukanya laksana jejaka terkacak.

Hati Safi mengeluh.. "Nyibuk!". Safi diamkan perasaan tidak senangnya. Nak jawab ke tidak? Serba tidak kena perasaannya.

Safi memilih untuk berdiam. Masih dia ingat pesan sahabatnya, "Kita kena tutup ruang dan peluang untuk syaitan menyusup. Boleh saja dalam kebaikan..terselit fitnah yang menakutkan. Jadilah seorang muslimah yang awas. Muslimah yang berwaspada pada sebarang perkara yang dapat menjerumuskannya ke arah maksiat."

Lelaki itu melemah semangatnya. Gadis yang cuba dipancing tidak melayaninya. Namun, ingatan kepada senyuman manis Safi awalnya kembali menghangatkan keazamannya sebagai seorang lelaki yang tidak mudah menyerah, yang pasti tidak terwujud dari konteks islami.

"Amboi....sombong. Tadi manis je senyum, nampak lesung pipit nya." Kata-kata yang sangat memanaskan hati Safi. "EH, pekena mamat nih?? gila?" Safi berkata sendiri. Dari wajah yang tenang mungkin sedikit menjadi mendung.

Safi mencapai beberapa barang. Kemudian diletakkan ke atas kaunter. "Tolong kira. Saya nak cepat sebenarnya ni."

Lelaki tersebut mengalah dan menjalankan tugasnya sebagai seorang penjaga kaunter yang berdedikasi. Safi membayar dan menggalas barangannya dan meluru keluar dengan laju.

"Terima kasih ye? Datanglah lagi." Lelaki itu mengusik. Pintu masuk kedai dikuak terbuka luas dan seorang lelaki melangkah masuk. Dia cepat-cepat mengelak dari dilanggar oleh langkah Safi yang seperti ribut. Lelaki yang memasuki kedai terdengar desis suara Safi. "Dasar Lelaki!!" Hairan tetapi tidak diambil peduli. Nizam terus melangkah masuk menuju ke arah bahagian minyak enjin.

-----------------------------------------------

Safi cuba menghidupkan keretanya berkali-kali. Entah apa masalahnya yang membuatkan enjin keretanya tidak mahu berfungsi seperti biasa. Safi marah. DUM !! Dia mengetuk kuat hadapan bonet kereta iswara miliknya. Digosok-gosok tangannya. Sakit.

Dia kembali masuk kedalam kereta dan cuba menghidupkan keretanya. Mulutnya tidak henti-henti menyalahkan kereta yang tidak bernyawa.

Nizam keluar dari kedai dan menangkap bunyi enjin kereta yang tersekat-sekat. Dipandangnya ke arah kereta tersebut dan terlihat seorang gadis sedang kalut berusaha menghidupkan kenderaannya. Antara mahu dengan tidak, Nizam pergi menuju ke arah Kereta tersebut. Nizam menyapa dari arah belakang.

"Kenapa dengan kereta?" Safi tersedar ada suara halus menyapanya. Dia menoleh dan melihat seorang lelaki yang sedang berpaling menuju ke arah hadapan keretanya. Berkemeja hijau muda.

"Entah lah, Datang tadi ok. Bila nak hidupkan, jadi begini pula." Ingin Safi melangkah ke depan dan bertanya lebih lanjut. Langkahnya terhenti apabila lelaki itu menyuruhnya membuka pintu bonet hadapan kereta.

"Sekejap..Cik tunggu sini sekejap. Saya rasa kereta Cik ni datang dari masalah bateri. Mungkin Cik membiar lampu hadapan kereta terbuka semalaman. Saya ambil kereta saya ke sini sekejap." Nizam mempercepatkan langkah menuju ke arah keretanya. Safi mati arah apabila terpaksa mengikut semua kehendak lelaki itu. Ingin juga dia melihat dan bertanya gerangan siapa yang membantunya. Mana tahu. Mungkin dari jenis manusia yang suka memeras duit selepas menghulur bantuan. Safi pasrah.

Dalam menunggu, Safi mendail telefonnya. Dia ingin menghubungi abangnya. Mana tahu kalau-kalau situasi memerlukan pengetahuan abangnya. Telefonnya tidak berjawab. Dia mendengus perlahan, "Tidur.." Sudah sememangnya rutin bagi abangnya yang bekerja shift malam. Safi melihat sebuah kereta Honda Civic EX meluru ke tepi keretanya. Dia melihat Nizam turun dari kereta dan seakan tidak memperdulikan kehadirannya di situ. Safi pelik dengan sikap lelaki ini.

-----------------------------------------------

Nizam mengemaskan barangnya. Enjin kereta Safi telah berjaya dihidupkan. Nizam melafazkan rasa syukur. Tangannya berlumur dengan minyak hitam. Dikesatnya pada kertas yang dicarik dari surat khabar lama.

"Aaa...terima kasih lah Encik. Kalau takda Encik, Saya tak tahu nak buat apa tadi." Safi memulakan bicara.

Nizam tersenyum. "Alhamdulillah. Dengan izin Allah , kereta ini boleh hidup. Kalau tidak, ke bengkel juga jawabnya. Masalahnya dari bateri, mungkin Cik lupa lampu hadapan telah bernyala semalaman." Nizam kembali berusaha mengurangkan kotoran di tangannya.

"Um..Mungkin. Lepas ni, ok ke kereta ni Encik?" tanya Safi kebuntuan.

"Tak..jangan matikan enjinnya. Cik kena terus ke bengkel untuk dia cas semula bateri kereta Cik. Bengkel terdekat saya rasa 5 kilometer dari sini. Arah sana." Nizam menudingkan jalannya. "Jalan terus, dia terletak di sebelah kedai hardware, bahan binaan."

Safi menangguk. Dia mengeluarkan dompetnya. "Encik nak charge berapa? Maaflah, kotor tangan,baju encik." Safi melihat Nizam mengesat-ngesat tangannya dengan kertas.

"Eh...tak payah. Saya nak tolong je. Kalau ada duit tu, sedekah orang susah. Baiklah ye, Saya ada hal sikit. Saya berangkat dulu. Ingat! jangan dimatikan enjin kereta tu, terus bawa ke bengkel. ya?" Nizam menutup bonet kereta Safi.

"Terima kasih ye Encik..? apa namanya ye? terlupa nak tanya.."
"Saya Zam." Nizam ingin mengeluarkan kad bisnes nya tetapi bimbang akan mengotorkan seluarnya dengan kesan minyak hitam. Dia tidak jadi memberi kad dan tersenyum.

"Baiklah ye, saya pergi dulu..Dah lambat rasanya. Jumpa lagi. Assalamu'alaikum."
"Wa'alaikummussalam..Terima kasih ye Encik Zam." Safi mengucapkan rasa terima kasihnya sekali lagi.
"Insya Allah." Nizam senyum dan menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat. Safi memahami dan membiarkan Nizam memulas stereng kereta Honda Civic EX memecut meninggalkannya.

Safi mengucapkan rasa syukur dan melangkah masuk ke dalam kenderaannya. Pesanan Zam untuk pergi ke bengkel diingatinya. Safi selesa dengan senyuman dan jasa penolong tersebut. Alhamdulillah..

-----------------------------------------

Nizam tersengguk-sengguk ketika mengikuti kursus. Dia berusaha menahan rasa mengantuknya pada waktu pagi tetapi kian hebat rasa mengantuk yang dirasai pada lepas waktu Zuhur. Nizam terlena dan terjaga saat kepalanya menunduk, jadilah Nizam tersengguk-sengguk di barisan kerusi hadapan.


"Setiap daripada kita perlu ada matlamat yang perlu dicapai. Dan perancangan untuk mencapai matlamat tersebut. Ingat!! Manusia tidak pernah merancang untuk gagal, tetapi GAGAL kerana tidak merancang. Perkara yang paling penting selepas merancang adalah melaksanakan apa yang dirancang. Dan menyerah kepada Allah akan segala ketentuan yang berdasar kepada kehendakNya."

Dr. Affandi melihat Nizam telah tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Dia menangguhkan ceramahnya kepada setiap pengurus cawangan untuk masa berehat. Disuruhnya keraninya, Siti menyediakan air minuman kopi. Nizam menggosok-gosok matanya dan beristighfar. Dia sedar semalaman dia tidak tidur menguruskan dokumen yang perlu dihantarkan kepada pembekal. Namun dia tetap menghadiri kursus tersebut kerana mahu meraih kesempatan yang ada untuk membina pengetahuan dalam bidang perniagaan tambahan buatnya. Syukur kerana Dr. Affandi sudi melantik premis milik dia dan sahabat sebagai salah satu cawangan perniagaan Dr. Affandi. Apa yang dia perlu berikan hanyalah komitmen.

----------------------------------------

"Biasalah, penerangan tentang produk knowledge ni memang bosan. Ramai yang mengantuk. Terutama sekali sheikh ni." Dr Affandi menunding ke arah Nizam saat mereka semua sedang berehat menikmati hidangan minum petang.

"Uhuk,uhuk..Saya tak tidur semalam Pak Di. Sibuk mengurus dokumen. Hari ini kena serah dekat pembekal." jawab Nizam. Sememangnya Dr. Affandi sangat senang orang membahasakan dirinya sebagai 'Pak Di'.

"Tak tidur langsung?"
"A'ah..tak tidur langsung. Banyak semua dokumen tu. Itu sebab yang saya tak tahan mengantuk petang ni." Nizam menghirup air kopi yang dipegangnya.

Dr. Affandi mengoyakkan plastik bekas biskut. "Tak minum madu ke? Saya amal madu yang Zam bagi tu rasa lain lah..bertenaga. Berjaga pun tak letih." Dr Affandi menggayakan lengannya. Nizam tertawa kecil.

"Dah kalau sampai tak tidur langsung, mana tahan mengantuknya Pak Di." Nizam melihat jam di handphone nya. Waktu Asar akan masuk dalam masa setengah jam lagi.

"Baiklah...Baiklah...Kita sambung semula program. Cepat! Cepat! Masuk bilik penerangan." Dr. Affandi bersuara lantang dan melangkah sambil menyuapkan biskut ke dalam mulutnya. Nizam menuju masuk ke dalam bilik air untuk membasuh mukanya.

-----------------------------------------

"Strategi dalam bahasa perancis disebut strategos yang bermaksud jeneral dalam perang. Jadi kita kena anggap diri kita sebagai jeneral. Rancang langkah-langkah yang mahu kita ambil untuk kita capai sasaran kita. Baru boleh kita menang. Apa yang saya kata tadi? Strategos!"

"Strategos!" ucap semua termasuk Nizam yang dalam keadaan mamai. Sisa mengantuknya masih belum hilang.

Telefon Dr. Affandi berbunyi. Ceramahnya terhenti sebentar. Dia meminta diri untuk keluar menjawab telefon buat seketika. Nizam bangun mengeliat dan melihat waktu di handphonenya. Lagi 10 minit untuk masuk waktu asar. Nizam melangkah meninggalkan majlis dan keluar di pintu yang sama dengan Dr. Affandi keluar. Memang niatnya untuk memberitahu Pak Di akan kehendaknya untuk bersolah di masjid terdekat terlebih dahulu.

Sebaik sahaja Nizam keluar, dia terserempak dengan Dr. Affandi yang telah sudah menjawab panggilannya. Dia menegur Nizam.

"Nak pergi mana? Tandas lagi ke? Kerap nampak..sejuk aircond ke? Nanti saya perlahankan." tanya Dr. Affandi dengan prihatin.

"Saya nak pergi solah berjemaah di masjid terdekat tu." jawapan Nizam membuatkan dahi Dr. Affandi berkerut.

"Nanti pun boleh solah,Nizam. Kt pejabat ni pun ada surau. Lepas habis program nanti, Nizam pergilah solah. Kenapa Nizam nak keluar sekarang?" tanya Pak Di.

"Hurm..bukan apa Pak Di. Macam yang Pak Di kata tadi, kita perlu ada matlamat. Saya pun ada matlamat. Jadi saya kena usahakan lah untuk capai matlamat saya." jelas Nizam.

"Matlamat apa Nizam?"

"Matlamat akhirat..seboleh-bolehnya saya hendak sangat nanti dibangunkan dalam golongan pemuda yang hatinya tertaut pada masjid atau dalam golongan pemuda yang menjaga solahnya, soal macam mana jaga solah tu..Pak Di boleh tanya alim ulamak. Saya sekarang ni tengah cuba sedaya mungkin untuk capai matlamat itu.. Insya Allah." Nizam senyum.

"Matlamat akhirat...?" bisik hati kecil Dr. Affandi. Terusik.

--------------------------------------------------------
Cengkerik saling bersahutan. Cahaya rembulan menerangi malam yang sunyi. Lampu-lampu jalan dikelilingi oleh kekaltu yang terpesona dengan cahayanya. Sesekali sayup-sayup kedengaran bunyi televisyen dari rumah penduduk kampung. Kucing-kucing yang bercakaran. Suasana malam yang biasa dalam sebuah kampung.

Nizam duduk bersandar di sebatang tiang surau. Biji tasbih dilepaskannya. Jari tangan kanannya melurut bahagian kelopak mata dan menekup mukanya. Tidak cukup menyandar, Nizam cuba berbaring. Kepalanya dihadapkan ke kiblat. Tangannya diluruskan dan Nizam mengeliat. Ingin sekali dia beriktikaf lebih lama di surau itu tetapi dia masih belum kebal terhadap serangan nyamuk yang banyak.

Allahumma ya Allah...lafaz Nizam perlahan. Sedikit demi sedikit ceramah Ustaz Zaki cuba diingatinya. Perkara-perkara penting yang dipelajarinya cuba diucapkan kembali. Nizam bercakap sendiri, sebagai sebuah tazkirah untuk dirinya. Seperti kebiasaan amalan para sahabat r.anhum yang sentiasa muhasabah dirinya. Bagaimana kisahnya Saidina Abu Bakar yang sentiasa takut pada hari penghisaban, ingin menjadi seperti rumput yang diragut binatang ternak. Sebagaimana Saidina Umar yang mencemeti dirinya mengingatkan dosa-dosanya yang lalu.

”Nizam, jika seseorang riya’ atas ketaatannya, maka pengaruh ketaatan ini tidak sampai kepada pohon keimanan di dalam hati malah hanya sampai kepada pohon keriya’kan. Takabbur pada ketaatan itu akan menyuburkan lagi sehingga menumbuhkan pohon kesombongan di depan hati, dan bercambah benih pohon-pohon ujub dan nifaq.”

”Nizam..andai kamu tidak melakukan itu..tetapi kamu melakukan ketaatan dengan kelalaian, maka akan tumbuh pohon kelupaan. Seiring dengan berlalunya waktu dan kelupaan manusia akan dirinya, pohon-pohon ini akan tumbuh di dalam hatinya dan membentuk penutup tebal di depan mata hati dan mencegah masuknya cahaya ketuhanan kepadanya hingga hati menjadi tertutup dari Allah.”

Astaghfirullah..Nizam muhasabah dirinya. Benar atau nifaq? Tulus atau dusta? Ikhlas atau pamer? Nizam sangat resah dan bimbang menghisab segala amalannya. Bimbang pada kesempurnaan agama, adakah wujud dalam kehidupannya.

Nizam tidur mengiring. Dibayangkan bagaimana sukarnya pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat r.anhum untuk memperoleh iman yang jitu pada Allah SWT. Teringat pula kata-kata Ustaz Zaki pada kisah Ibrahim Adham, seorang ahlullah.

”Pernah suatu ketika, sedang Ibrahim Adham enak berzikir di atas tilamnya yang empuk di dalam singgahsana mahligai miliknya, dia mendengar seseorang sedang bergerak di atas bumbungnya. ’Hei! Siapa kamu? Buat apa kamu di atas bumbung istana ku?’ Dan jawapan orang yang berada di atas bumbungnya,’Aku mencari unta ku.’ Ibrahim Adham kehairanan.”

”Maka dijawab kembali kepada orang itu,’Mustahil, mana mungkin kamu dapat mencari untamu di atas bumbung istanaku.’ Dan jawapan terakhir dari orang yang mencari unta tersebut, ’Tindakan kamu lagi mustahil, bagaimana mungkin kamu dapat mencari Allah hanya dengan duduk berzikir di atas tilammu yang empuk.’ Dan dari situ bermulalah pengembaraan Ibrahim Adham bermujahadah mencari Tuhannya.”

Nizam kembali muhasabah dirinya. Apakah mujahadah atau pengorbanan yang telah dia lakukan untuk mengenali Allah Azza Wajalla? Matanya mula basah. Dia benar-benar rindukan Tuhannya. Adakah penutup tebal telah menghalangi hatinya daripada makrifat kepada Allah? Nizam berdoa agar segala urusannya dipermudahkan. Berdoa agar segala dosanya diampunkan dan taubatnya diterima. Berdoa agar segala keinginan dan keperluannya terlaksana, dengan cara yang halal...sehingga dia menjadi dekat dengan Allah SWT.

Nizam bangun. Dia bersedia untuk pulang ke rumah. Sebelum melangkah keluar, Nizam menghadap ke arah papan kenyataan surau dan membaca sebuah kisah cinta. Sungguh, walaupun berulang kali Nizam membaca kisah cinta ini..air matanya tidak pernah kering dari mengalir. Seringkali air matanya bercucuran ketika menghayati pengorbanan insan mulia dalam sebuah kisah cinta yang sejati. Nizam sebak.

------------------------------------------------


SEBUAH KISAH CINTA SEJATI



Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.

Pagi itu,walaupun langit telah mulai menguning,burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap.Pagi itu,Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah,
"Wahai umatku,kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya.Kuwariskan dua perkara pada kalian,Al Qur'an dan sunnahku.Barang siapa mencintai sunnahku,bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku,akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.Saidina Abu Bakar as SiddiQ menatap mata itu dengan berkaca-kaca,Saidina Umar al-Khattab dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.Saidina Usman bin Affan menghela nafas panjang dan Saidina Ali b Abi Talib menundukkan kepalanya dalam-dalam.Isyarat itu telah datang,saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat,tatkala Saidina Ali dan Saidina Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar.Disaat itu,kalau mampu,seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi,tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup.Sedang didalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,"Maafkanlah,ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku,orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu,Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah,dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara,dialah yang memisahkan pertemuan di dunia.Dialah malakul maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri,tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril,jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka,para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega,matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khawatir,wahai Rasul Allah,aku pernah mendengar Allah berfirman
kepadaku:
'Kuharamkan syurga bagi siapa saja,kecuali umat Muhammad telah berada di
dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat,saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik.Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh,urat-urat lehernya menegang.

"Jibril,betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh.

Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup,melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik,kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah,dahsyat nian maut ini,timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku,jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin,kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Saidina Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uusiikum bis salati,wa maa malakat aimanukum,peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan,sahabat saling berpelukan.Saidatina Fatimah az-Zahra' menutupkan tangan di wajahnya, dan Saidina Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii,ummatii,ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku"

Dan,berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran
itu. Kini,mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma solli 'ala
Muhammad wabaarik wa salim 'alaihi. Betapa cintanya Rasulullah kepada
kita.

-----------------------------------------------

Nizam meletakkan tangannya pada papan kenyataan tersebut setelah usai membaca kisah yang berulang kali dikhatamnya. Dia tertunduk menangis. ” Ya Allah... sampaikan salam rindu dan kasihku pada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.”
Nizam berterusan menangis, menyedari kehidupannya ibarat jauh panggang dari api dengan kehidupan yang dituntut oleh Rasulullah SAW. Nizam tidak jadi pulang dan berniat iktikaf di surau tersebut. Tidak lama kemudian, Nizam memulakan solah taubatnya. Dia cuba mewujudkan perasaan seolah-olah tiada esok baginya, seolah-olah itulah solahnya yang terakhir. Ya Allah...

--------------------------------------------

Nizam menggosok matanya. Penglihatannya yang masih samar melihat ke arah jam. Pukul 3.30 pagi. Nizam melafazkan doa dan mengusap mukanya. Dia bangun dan melangkah menuruni tangaa surau. Nizam bersedia mengambil wudhu dan menyegarkan dirinya yang masih lagi mamai. Dia tidak mahu tewas kepada kehendak nafsunya untuk terus pulang dan sambung tidur di rumah.

-----------------------------------------------------

Solah tahajud yang panjang...sambil menghayati ayat-ayat yang dibacanya, Nizam dengan khusyuk terus tenggelam bersama rasa khaufnya pada kehebatan Allah SWT. Nizam menunaikan solah tahajud dengan rakaat yang lama. Dia memanjangkan rukuk dan sujudnya. Sesekali solahnya terganggu dengan nyamuk-nyamuk lapar yang menyerbu kakinya. Gatal menyelubungi rongga-rongga rasa kakinya. Nizam cuba bertahan sambil membayangkan betapa dahsyatnya kekhusyukkan para sahabat r.anhum dalam solah. Biar disengat lebah mahupun dipanah..mereka tetap utuh dalam berhubungan dengan Allah melalui solah. Suatu hadiah yang teramat besar nikmatnya bagi mereka adalah solah.

Nizam semakin larut dalam solahnya..

*********************************

Seorang wanita yang sedang memangku anak lelaki kecil melihat ke arah Nizam sambil tersenyum. Seorang kanak-kanak perempuan berdiri di samping wanita tersebut. Wanita yang berkulit kuning langsat sedang tersenyum manis ke arahnya. Sangat indah senyumannya yang berlesung pipit..seorang wanita yang seakan dikenali olehnya, Nizam cuba mengecam wajah bidadari itu..namun wajahnya semakin samar..dan terus samar..

Astaghfirullah...Nizam terjaga. Dia mengusap mukanya beberapa kali sambil terus beristighfar. Dia sedar dirinya telah terlena saat sedang berzikir. Mengingatkan mimpinya, Nizam berulang kali beristighfar. Sedetik, dia cuba mengembalikan ingatannya terhadap wajah siapakah yang telah ditatap dalam mimpi itu. Dia hampir pasti pernah melihatnya. Nizam merenung ke arah sejadah, dia beristighfar beberapa kali.

----------------------------------------------------------

Nizam adalah seorang yang amat pemalu dengan perempuan. "Sepatah perkataanku pada seorang perempuan adalah sama dengan 1000 patah perkataanku pada lelaki." kata Nizam dengan nada bergurau dengan sahabatnya. Memang benar, Nizam amat menjaga jaraknya pada pergaulan dengan kaum hawa. Setiap kali didekati oleh kaum hawa, kepalanya terasa seperti mengembang, darahnya menjadi gemuruh, kata-katanya mulai gagap. Sering Nizam berusaha mengelak dari bertemu dan bergaul dengan perempuan.

Al-kisah, pada waktu kecil..Nizam pernah mengalami demam panas selama beberapa hari. Sepanjang demam panasnya itu, Nizam bermimpi perkara yang sama saban waktu. Mimpi buruknya ialah saat dia bersama keluarganya di padang pasir, tiba-tiba sekelian keluarganya mula berjalan jauh darinya. Puas dia mengejar dan memanggil namun keluarganya seakan tidak mendengarinya dan tidak berpaling. Keluarganya pergi jauh dan semakin jauh..Nizam yang kecil kewalahan. Kemudian Nizam merasakan kakinya mula tenggelam. Dia ditelan oleh pasir jerlus! Nizam menjerit meminta tolong tetapi tidak dipedulikan. Hati Nizam terasa teramat sebak seakan nyawa telah tiba ke penghujungnya...

Astaghfirullah..Nizam kembali mengingati mimpi waktu kecilnya. Setelah sekian lama mencari dan mengkaji, Nizam mendapat tafsir mimpi dari sebuah perpustakaan. Dia tidak tahu petanda keluarganya meninggalkannya, namun mengetahui sedikit tafsir berkaitan dengan dia tenggelam ditelan bumi. Tafsir mengatakan bahawa dia akan disusahkan oleh wanita dalam hidupnya..

Nizam beristighfar lagi. Dia sedar semua ini bukanlah berkaitan dengan mimpi itu. Tapi dia lebih selesa begitu. Dia amat menghormati kaum hawa. Sungguh, darjat wanita yang soleh lebih tinggi dari 1000 orang lelaki soleh. Wanita yang menjaga dirinya tidak tergambar kemuliaannya di sisi Allah. Menjaga jarak hubungannya dengan wanita adalah suatu penghormatan untuk mereka.

Nizam tersenyum sendirian. Siapakah yang akan memahami fikirannya yang sebegini. Namun Nizam berhati-hati agar tidak terjerat dalam godaan syaitan. Dia tahu, pengaruh wanita mungkin amat kuat pada hatinya jika dia tidak berhati-hati.

"Zaza, cuba kau kenyit mata dekat Zam sikit..nanti mesti dia gelabah..hehe"
"A'ah..kau cuba Zaza. Aku nak tgk juga muka Zam tukar warna jadi merah."
Usikan kawan sekolah menengah sering diterimanya. Zam menjadi tidak kisah kerana dia tahu dengan menghormati seseorang dari kaum hawa, dia akan dihormati sebegitu. Tersangat jarang dia diganggu. Tambahan Nizam bukanlah antara jejaka kacak yang menjadi perhatian. Nizam bersyukur sepanjang tempoh itu, dia tidak bersangkutan dengan mana-mana budaya couple.

---------------------------------------------------

Nizam kembali ke alam realiti. Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Nizam berzikir memuji Keagungan Allah. Kemudian dia menarik beg bimbit kecil di penjuru tiang dan mengeluarkan buku catatan kecil dan pensil. Nizam mula menulis sesuatu ;

Zalimkah diri utk menahan
pesonanya seorang ajnabi,
dari memanah hatiku?

Zalimkah diri utk tertib
menjaga sgala kesempurnaan,
dlm solah menyembahNya?

Zalimkah diri utk menangis
pada keseronokan maksiat,
dari sebati menutupi jiwaku?

Zalimkah diri
kerna menutup ruang
pada api nafsu,
dari membuak-buak?

Sebenarnya,
hakikat zalim itu adalah
diri dengan rela menyediakan..
tempatnya di neraka.



Nizam membacanya berulang kali. Setelah puas, Nizam menyimpan kembali buku dan pensilnya. Cukuplah sekadar tulisan tersebut sebagai muhasabahnya pada pagi itu. Nizam bersedia menunggu waktu Subuh. Solah witir telah dilakukannya. Kini, dia duduk berzikir menunggu waktu solah.

--------------------------------------------

---------------------------------------

Usai Subuh berjemaah dengan Pak Cik Sudin, siak surau kampung, Nizam berjalan pulang ke rumah. Suasana masih lagi sepi dan udara yang sejuk dan lembab. Nizam merenung ke arah langit. Entah mengapa, setiap kali dia menoleh ke arah bintang..hatinya damai. Setiap kali dia melihat ke arah hamparan langit malam, rasa takzim pada kebesaran Allah serta merta menguasai dirinya.. Entah mengapa, Nizam merasakan seolah-olah mahukan hatinya seluas hamparan langit itu. Nizam seolah-olah mahu terbang bersama rasa syahdunya cinta Allah di hati ini. Ingin sekali dia melaungkan bergema seluruh hamparan langit itu bahawa dia benar-benar rindukan Penciptanya. Air mata Nizam mengalir tanpa sedar ..bukan sedih atau pilu..tetapi terdetik gembira.."Kalaulah begitu keadaannya..."

Nizam mengawang-gawangkan tangannya. Dirinya bergabung dengan rasa takzim pada kebesaran TuhanNya..tiada siapa yang memerhatikannya pagi subuh itu, Tetapi Nizam segera terasa malu..malu pada Pencipta yang Maha Melihat. Tertunduk dan tersenyum sendiri.

"Ya Allah...aku rindu.." lafaznya perlahan mengusap titik air di matanya.

-------------------------------------

Surah Yaasin dari komputer di ruang tamu rumahnya kedengaran perlahan melalui speaker. Rumah Nizam diterangi lampu. Alhamdulillah, semuanya siap menunaikan solah subuh berjemaah. Abah mereka masih belum pulang dari masjid. Dahulunya, puas Nizam menekankan pada adik-adiknya untuk bersiap menunaikan solah subuh berjemaah sebelum melengkapkan diri ke sekolah. Dari muka yang muncung masam, akhirnya bidadari-bidadari kecil itu tidak lagi malas mengenakan telekung putih setiap kali Ummi memanggil. Pemandangan jemaah bidadari ummi dan adik-adiknya bertelekung putih amat mendamaikan. Rasa syukur menusuk dalam, menerjah sanubarinya. Benarlah..sebaik-baik pekerjaan itu adalah yang dilakukan dengan istiqomah walaupun sedikit. Nizam tidak perlu lagi berlakon menjadi seorang abang yang 'brutal'.

Saat pulang dari pengajiannya dulu, Nizam pernah di'boikot' oleh adik-adiknya lantaran selalu menganggu enak tidur mereka. Seringkali terdengar suara garang, manja dan kelakar abangnya mengejutkan tidur mereka. Dimulakan dengan 'amaran' dari surah-surah yang dimainkan melalui speaker. Nizam akan masuk ke dalam bilik dan mengejutkan adik-adiknya. Jika masih liat, Nizam dengan murah hatinya mengusap muka dik-adiknya dengan air ais yang sejuk. Tetapi setelah memicit hidung dan bermain-main di sekitar wajah. Tidak terhitung banyaknya Nizam dijerkah adik-adiknya.

Nizam tersenyum. Hanya dengan kasih sayang dapat lenturkan hati ahli keluarganya. Syukurlah Allah memberikan kekuatan untuk dia bersabar dengan perangai-perangai yang buruk dan menggantikannya dengan keadaan yang lebih baik.

Nizam mengimbau kembali sumber inspirasi dan keazaman membentuk suasana iman di rumahnya.

-----------------------------------------------

Saat ketika Nizam agak asyik memerhatikan suatu program yang berlangsung di rumah seniornya. Nizam ditepuk dari belakang.

"Aihh...awat yang ralik sangat duk merenung tu? Tengok sapa Zam..?" Abang Subri mematikan keasyikannya. Namun hati Nizam masih berbunga.

"Seronok tengok suasana macam ni. Damai rasa. Semua berkumpul. Yang perempuan masuk bersama-sama dalam rumah, sementara para suami di luar ambil alih tugas menjaga anak. Program untuk para wanita. Antara penceramah dengan para wanita dipisahkan dengan satu hijab yang tebal. Para wanita bersama aktiviti ilmiah dan tazkiyatun nafs dari dalam, sementara para suami yang kalut menjaga anak..hehe. Baik sungguh depa melayan tetamu yang baru serta. Damai rasa." Nizam melihat seorang bapa yang ditarik janggutnya oleh teman anaknya yang berusia 5 tahun. Si bapa bertukar menjadi singa paling kelakar dan ganas menerkam. Mereka bertempiaran lari.

Abang Subri juga tersenyum. Dia amat faham jiwa anak muda ini. Sememangnya, aktiviti kerohanian islami sebegini semakin jarang-jarang wujud dalam jadual harian masyarakat umum.

"Nizam..setiap keluarga perlu pada makanan rohani. Amat penting sekali wujud suasana begini dalam rumah kita. Barulah hati terasa damai, anak-anak dengar cakap dan rahmat berlimpah ruah masuk ke dalam rumah. Rumah Qur'ani impian, wujudnya amalan rumah-rumah para sahabiah zaman Nabi SAW. Lahirnya generasi-genarasi yang terbaik sepanjang zaman."

"Rumah Qur'ani Idaman........" Hati Nizam terusik dengan kata-kata itu. Mulai dari hari itu, Nizam mempasak teguh keazaman untuk mencapainya.

-------------------------------------------------

"Assalamu'alaikum.."
"Wa'alaikumussalam.." jawab Sarah sambil mengusung bajunya yang telah diseterika masuk ke dalam bilik dalam keadaan masih bertelekung.
"Sarah...sini kejap. Mari tengok dekat hidung abang ni. Rasa gatal-gatal. Tengokkan apa yang buat gatal ni." Nizam menggaru-garu hidungnya.
"Sarah sibuk lah abang. Nak siap pi sekolah ni. Tengoklah cermin!"
"Alah...kejap jer. Abang tak nampak tengok cermin." Nizam meminta.
"Mana???? Mai nak tengok!!!" Sarah mencebik, meluat dengan perilaku abangnya, Nizam.

Nizam menunjukkan wajahnya. Sarah melihat sekilas dan berpaling. "Takdak apa pun." Sarah mula membuka telekungnya.

"Ye ke? hurm...abang rasa mungkin sebab abang makin bertambah hensem sikit la pagi ni. Sebab tu rasa gatal-gatal hidung."

"PERASAN !!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!" Sarah geram namun cuba menahan tawanya.

Ummi di dapur sudah tersenyum dengan keletah mereka adik beradik. Nizam memang kerap mengusik adik-adiknya. Merekalah harta yang paling bernilai baginya. Harta yang tiada gantinya.

"Hidung abang penyek macam cucuq lempeng.." celah Zulaikha menyindir..

Ummi dan Sarah berderai ketawa...

------------------------------------------------
Share/Bookmark

0 comments:



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.
Powered by Blogger.