Nukilan Hati..


Assalamu'alaikum..

Suatu hari, saya pulang ke rumah menaiki motosikal di lebuhraya. Pemandangan menghijau di sekitarnya indah. Pepohon yang berakar teguh memenuhi lantai bumi, lambaian dedaun yang dihembus angin. Rumput yang beralun, awan yang luas terbentang..cuaca pagi yang mendung dari terik mentari.

Sesetengah dari kita mengabdikannya dalam kata-kata..Sesetengah dari kita mencorakkan dalam lukisan kanvas..Sesetengah dari kita menukilkan dalam usaha pemuliharaannya....

Subhanallah..

Pemandangan yang 'biasa' ini menjadikan saya merenung, tidaklah dijadikan semua ciptaan ini melainkan untuk manusia berfikir.

untuk Bagaimana kita melihat segala ciptaan Allah yang Maha Besar ini dengan mata hati..

untuk bagaimana kita membenarkan Keagungan Allah ini tertancap teguh dalam keyakinan kita dalam beramal..

untuk bagaimana kita berfikir watak peranan kita sebagai hamba-Nya..

Seringkali kita terlepas pandang..

Seringkali kita lalai dan leka..

Seringkali kita terlupa..hakikat sebenar kewujudan kita, dan alam yang dianugerahkan Allah.

Kita sedia maklum duri ranjau dalam kehidupan kita.Menjadikan kita tidak terlepas daripada masalah hidup yang menuntut kematangan.Terbinanya 'siapa' kita adalah hasil daripada ujian-ujian hidup ini.

Saya sering meneliti siri pembersihan hati dari kitab-kitab tasawuf.Amal kehidupan kita di dunia mencorakkan peribadi kita.Hati yang terjaga bersih adalah daripada hati yang sentiasa waspada.Waspada dari tipu daya syaitan, kerosakan nafsu dan pergantungan makhluk.

Dalam mengenal kedudukan diri, hitunglah keberadaan hati.

Bagaimana kita mendakwa di puncak, sedang kita masih bertapak di kaki bukit?

Bagaimana kita mendakwa cintakan Allah, sedang amal belum tertuju pada-Nya?

Setelah jujur dengan diri, dapatlah kita mengenal keadaan diri.akan mengapa kita berdusta bercinta,mengharap dan takut..sedangkan kita tidak bersungguh, tidak memohon dan tidak menghindar..agar menitis semahal air mata taubat, yang darinya terhapusnya api neraka.

Diri boleh menzahirkan seribu ketaatan,

Diri boleh mengungkapkan seribu lafaz penyesalan,

namun tidak bagi hati..kerana hati terkandung kebenaran walau disembunyi..yang dibongkar oleh Yang Maha Mengetahui.

Kekasih..deminya kita berkorban segala.

deminya kita perit merindui.

deminya kita tidak jemu mengharap.

kita ghairah mendamba perhatiannya.

begitulah halnya jika Allah menjadi Kekasih hati.yang hakiki dan abadi.yang kekal dan yang maha benar segala janji.

Renungkan..

wahai hati..Benar atau dustakah amalan diri?

dalam mendekati Allah,dalam menghampiri mati..

Saya menangis..

kerana jika dilukiskan kehidupan ini..

adakah terlakar keindahan amalan penghuni syurgawi? atau sebaliknya?

Allahumma ya Allah..hidayah-Mu ku pohon.bantu dan permudahkan segala urusan....untuk daku mengenal dan bercinta dengan-Mu.

amiin..amiin..ya Rabbal 'alamiin..

ahmad fikry


Share/Bookmark

0 comments:

Katogeri



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Powered by Blogger.