Siapa Soleh?

Bukit H, Sg Petani


Petang kelmarin mengambil Firdaus untuk jogging di bukit H. Sekadar berjalan mendaki bukit dan bersembang-sembang. Sesekali menghela nafas panjang kerana kepenatan.

Apabila melihat kepada pemandangan atas bagi sekitar Sungai Petani, teringat kepada teguran seorang arif kepada Khalifah apabila melihat umat yang melakukan tawaf semasa dia di atas bukit.
"Kami hanya dipertanggungjawabkan oleh amalan kami, tetapi kamu wahai amirul mukminin, akan dipertanggungjawabkan oleh sekalian dari mereka (sambil menunjuk ke arah umat di bawah bukit)" Khalifah menangis tersedu-sedu lantaran teguran itu memikirkan nasibnya di akhirat. Saya terdiam memikirkan juga nasib saya di akhirat dan mereka yang berada di bawah tanggungan saya.

Antara inti perbualan adalah berkaitan bagaimana mahu menentukan pilihan kepada fikrah jemaah yang ingin diikuti. Berbual berkaitan tasauf,tarikat dan fahaman lain yang mencabang.
Pesan guru,
"Kesolehan yang sebenar adalah bagi mereka yang paling dekat dengan sunnah Rasulullah SAW."
Ya..sesungguhnya tiadalah manusia lain yang lebih dekat dengan Allah SWT melainkan kekasih Nya, Rasulullah SAW. Dalam surah al-Ahzab, ayat 21, maksudnya “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu”

Selain itu,saya berkongsi pengetahuan akan terjemahan kitab-kitab tasauf dan ciri-ciri golongan tarikat yang sesat. Perbincangan menjurus kepada fahaman *wasabi, *syieh, dan juga *ahhbas yang banyak merunsingkan orang awam. (*bukan ejaan sebenar)Juga berkaitan penipuan sejarah yang telah dilakukan golongan syiah.

Beramallah dengan ilmu yang bermanfaat, semoga kita beroleh rahmat. Insya Allah.

Sedikit petikan daripada;

Khutbah Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah.

Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi hari tidak akan sampai ke petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian ditengah-tengahnya.

Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat.

Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira ? Saya berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin.

Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahi tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka ? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya.

Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : “Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga” Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang.


'Kindness is a language which the deaf can hear & the blind can see'


Share/Bookmark

0 comments:

Katogeri



Dimanakah lagi 'kegelapan' pada jiwa yg mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Powered by Blogger.